|
Edited by GhostWalking at 19-3-2015 03:35 PM
Kes jenayah
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki hilang pertimbangan sehingga sanggup bertindak menikam jirannya dalam satu kejadian di Kampung Atas Tol, di sini, awal pagi semalam, kerana mendakwa tidak tahan dengan sikap mangsa yang suka menjaga tepi kain keluarganya.
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 1.30 pagi dan ketika itu mangsa yang juga pesara guru bersama ahli keluarganya berada dalam rumah sebelum dikejutkan oleh suara jeritan seperti orang sedang mengamuk di luar pagar kediaman mereka.
Menurut sumber, selepas terkejut dengan situasi itu, suami mangsa menjengah ke luar rumah dan ternampak kelibat suspek yang juga jiran mereka sedang mengamuk di depan rumah sambil memaksa mereka membuka pintu pagar.
"Selain itu, suspek yang bertindak seperti orang kurang siuman turut mengeluarkan kata-kata ugutan mahu membunuh mangsa dan keluarganya kerana tidak puas hati dengan jirannya yang didakwa suka jaga tepi kain keluarganya.
"Bimbang perkara tidak diingini berlaku, suami mangsa mengambil keputusan berdiam diri dalam rumah. Bagaimanapun suspek berjaya menceroboh masuk kawasan rumah dan seterusnya memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang," kata sumber berkenaan.
Menurutnya, bagi menyelamatkan diri, mangsa bersama suami serta pembantu rumahnya menyembunyikan diri di belakang pintu sehingga yakin suspek telah keluar dari rumah mereka.
Katanya, tekaan mereka meleset kerana sejurus keluar dari tempat persembunyian, suspek terus menyerang dan menikam mangsa pada bahagian rusuk menggunakan sebilah pisau sebelum melarikan diri.
"Suami mangsa tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu, terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan dan seterusnya membuat laporan di Balai Polis Chendering," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
Idris berkata, hasil siasatan awal, suspek mengaku telah menelan beberapa biji pil kuda sebelum menyerang mangsa dan keluarga dan hasil saringan awal ke atas urin suspek didapati positif dadah.
"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 459 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah sehingga menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
"Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.
[url=]http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/lelaki-mengamuk-tikam-jiran-1.369927
[/url]
|
|