|
Pengorbanan Adi Putra Demi Orang Kelainan Upaya
Tidak seperti watak-watak yang pernah dilakonkannya sebelum ini, peranan sebagai seorang lelaki yang pekak dan bisu menerusi filem Isyarat Cinta benar-benar mencabar Adi Putra.
Demi merealisasikan watak tersebut, Adi Putra sanggup mengorbankan masa berbulan-bulan untuk mempelajari bahasa isyarat di pusat Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Sebagai Iskandar, seorang yang kelainan upaya pendengaran dan bisu, saya perlu bertutur menggunakan bahasa isyarat.
“Ia bukan sesuatu yang mudah kerana sebelum ini, saya tidak tahu langsung berbahasa isyarat. Tapi demi menghidupkan watak ini, saya sanggup berulang-alik selama enam bulan ke Pusat OKU di Brickfields, Kuala Lumpur.
“Meskipun pada mulanya, agak susah untuk saya berbahasa isyarat. Namun setelah berbulan-bulan saya mempelajarinya di institut berkenaan, akhirnya saya boleh juga menggunakan bahasa isyarat,” kata aktor ini ketika ditemui di Tayangan Gala Isyarat Cinta di Cathay Cineplex, eCurve, Mutiara Damansara, Selangor.
Meskipun sudah mendapat latihan asas pertuturan menggunakan bahasa isyarat, namun Adi Putra akui tidak begitu yakin untuk beraksi di hadapan kamera tanpa bimbingan dan pantauan daripada orang yang berpengalaman.
“Walaupun saya sudah belajar bagaimana berbahasa isyarat tetapi saya tetap mahu dipantau oleh orang yang expert dalam bidang ini.
“Jadi, semasa saya jalani penggambaran, ada seorang kelainan upaya pendengaran yang hadir di lokasi penggambaran untuk membantu saya agar bahasa isyarat yang saya gunakan tidak salah.
“Pendek kata, ia bukan satu proses yang mudah. Tetapi saya puas hati kerana dapat menghidupkan watak seorang kelainan upaya yang mampu hidup seperti orang lain walaupun tidak berupaya mendengar dan bisu.
“Oleh itu, saya berharap sangat agar peminat semua datang menonton filem Isyarat Cinta. Tonton sendiri apa yang telah saya usahakan ini,” ujar Adi Putra lagi.
Menerusi filem arahan Bade Haji Azmi ini, Adi Putra digandingkan dengan Liyana Jasmay dan Fizo Omar.
Filem terbitan RK Screen Sdn. Bhd. milik bersama Datuk Rosyam Nor dan Datuk Dr. Kelvin Tan ini akan mula ditayangkan pada 19 Mac ini.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|