Belum pun surut orang bercerita mengenai permohonan cerai Yatt Hamzah, Sha dengar pula rumah tangga pelakon Boy Iman dikatakan bakal berakhir. Ada dakwaan mengatakan situasi hubungan Boy dan isterinya ibarat telur di hujung tanduk dan tidak boleh diselamatkan lagi. Terkejut juga Sha dengan dakwaan ini, malah ada khabar angin mengatakan Boy dan isterinya tidak lagi tinggal sebumbung. Sha cuba belek akaun Instagramnya dan tertarik dengan satu gambar yang dimuat naik pelakon ini, kira-kira dua minggu lalu. Menerusi gambar bersama anaknya, Boy meluahkan rasa rindu terhadap buah hatinya itu yang sudah lama tidak bersua muka.
Boy turut tulis dia akan menemui zuriatnya dan walau apa pun terjadi, si comel itu tetap anaknya. Kata-kata yang ditulis itu seolah-olah mengiyakan desas-desus itu, namun kita tidak boleh terlalu cepat membuat kesimpulan tanpa mendengar penjelasan tuan punya badan. Ada sumber memaklumkan, isteri Boy juga tidak lagi meletakkan perkataan ‘datin’ di profil Instagramnya. Adakah itu petanda rumah tangga mereka memang ada masalah? Jika benar, harap jangan buat keputusan tergesa-gesa dan pertimbangkan terlebih dulu sedalam-dalamnya atau dapatkan bantuan keluarga serta mereka yang arif. Apapun, kita nantikan saja penjelasan Boy mengenai perkara ini.
|