|
PENGACARA dan pelawak terkenal, Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim, 31, mengungguli Anugerah MeleTOP Era 2015 (AME 2015) yang diadakan Stadium Putra Bukit Jalil.
Johan memenangi anugerah utama, Top Top MeleTOP (Lelaki), di samping memenangi tiga kategori lain iaitu Penyampai Radio MeleTOP, Program Radio MeleTOP, dan Artis Lawak MeleTOP.
Kemenangan Johan pada malam itu bukan sahaja memberi kejutan buat Johan, tetapi banyak pihak lain, sehingga ada yang menyifatkan kemenangannya pada malam itu sebagai 'diam-diam ubi berisi'.
Ia sekali gus memperlihatkan Johan merampas takhta yang di pegang oleh rakan baiknya, Zizan yang memenangi Top Top Meletop (Lelaki) pada AME2014.
Malah dalam AME yang lalu, Zizan mengungguli empat anugerah daripada enam pencalonan yang diterima.
Berkongsi perasaan atas kemenangannya pada malam itu, Johan berkata, dia sejujurnya tidak menyangka akan memenangi sebarang anugerah apatah lagi bagi kategori utama kerana lebih memberi fokus terhadap tugasnya pada malam itu.
"Sejujurnya saya hadir pada malam ini kerana tugas sebagai pengacara dan fokus saya adalah untuk melunaskan tanggungjawab sebagai pengacara AME2015 dengan baik.
"Malah ada ketikanya untuk beberapa kategori, saya tidak tahu pun siapa pemenang kerana sibuk bertukar baju dan sebagainya.
"Jadi bila saya menang, saya terkejut dan hampir hilang kata-kata atas kemenangan ini selain rasa syukur kepada Allah dan peminat yang mengundi.
"Apa pun saya amat menghargai undian peminat ini kerana setiap trofi yang saya menangi menyimpan nostalgia yang tersendiri buat saya untuk diimbau pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui media.
Menyifatkan kemenangannya pada malam itu sebagai rezeki buat isteri dan anak-anak, Johan berkata, dia amat bertuah kerana mempunyai keluarga yang banyak menyokong kariernya pada malam ini.
"Untuk pengetahuan anda, pengkritik nombor satu saya adalah isteri saya, Ozlyn Wati, yang sentiasa memberi komen jujur dan dapat berterus terang apa keburukan dan mengkritik diri saya terutama dalam hal kerjaya kerana dia nampak semua kelemahan saya.
"Manakala peminat nombor satu saya adalah anak-anak saya. Kalau di rumah, saya tak tonton TV kerana anak-anak kerap memainkan siaran melibatkan saya.
"Kejayaan saya malam ini (Ahad) mungkin rezeki saya yang dah mendirikan rumah tangga, rezeki untuk isteri dan anak-anak.
"Jadi saya cadangkan kepada sesiapa yang ada niat nak berkahwin, silakan kerana Allah dah tetapkan rezeki untuk setiap umatnya dan anda pasti memilikinya," jelasnya.
Ayda Jebat terkejut
Sementara itu, pelakon yang terkenal menerusi watak Armel Aisya dalam drama bersiri Rindu Awak 200%, Ayda Jebat mengakui tidak menjangka akan memenangi kategori utama Top Top MeleTOP (Wanita).
Ujar Ayda, dia yakin kategori itu akan dimenangi oleh Datuk Siti Nurhaliza yang sebelum itu telah memenangi kategori Bintang Online MeleTOP dan Penyanyi MeleTOP.
"Ketika pengacara mahu mengumumkan pemenang kategori Top Top MeleTOP (Wanita), saya sempat bermain telefon bimbit kerana tidak merasakan saya akan menang.
"Jadi bila nama saya disebut, saya sangat terkejut. Apa pun saya berterima kasih pada peminat yang bersusah payah mengundi saya sehingga ke tahap ini.
"Menang atau kalah, saya akan kekalkan momentum kerja saya seperti sekarang kerana saya tidak mahu menjadi artis mee segera, yang hilang selepas menyerlah menerusi satu produk," ujarnya yang menegaskan tidak memenangi kedua-dua kategori itu kerana bergelar duta Aura White.
Pemenang bagi kategori utama AME2015 iaitu Top Top MeleTOP memenangi wang tunai RM10,000 berserta sebuah trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang bagi setiap kategori menerima wang tunai sebanyak RM5,000 dan trofi.
sumber:sinar harian
|
|