Lebih malang, orang Melayu tetap tidak sedar akan bahaya tersebut kerana masih lagi leka bercakaran, sedangkan kaum minoriti terutamanya orang Cina begitu giat menyusun strategi bagi merampas kuasa politik negara ini.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, ketika berdepan ancaman Malayan Union, walaupun orang Melayu masih lagi dijajah, tetapi mereka bersatu sehingga akhirnya berjaya menyebabkan British akur.
“Hari ini orang Melayu berpecah dan diperalat hingga suara yang asalnya majoriti bertukar menjadi minoriti dan suara daripada kaum minoriti pula yang menjadi kuasa penentu. Tapi malangnya orang Melayu tidak sedar dan tidak ambil peduli.
“Sekarang orang Cina nampak peluang merampas kuasa politik, mereka bersatu di belakang DAP dan mempergunakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Pas yang ghairah ke Putrajaya tanpa sedar siapa sebenarnya meraih untung.
“UMNO pula (ketika ini) sudah hilang pengaruh kepimpinan dan genggamannya,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan Kelima Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini hari ini.
Yang turut hadir sama Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abd. Rahman Abu Bakar.
Menginsafi bahaya yang sedang dihadapi, Abdul Hamid mengingatkan Perkasa agar jangan menjadi penyebab bertambahnya perpecahan orang Melayu, sebaliknya beliau menyarankan supaya badan itu terus menyokong UMNO.
Katanya, Perkasa selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbesar bumiputera hendaklah menarik penyokong atas pagar menyertai UMNO dan mencari jalan bagi mewujudkan kerjasama antara parti itu dan Pas demi Melayu.
“Kita cuba perbetulkan UMNO tapi jangan sesekali kerana marahkan nakhoda, kita bakar kapal. Itu kerja orang bebal yang mengamuk dan tidak berfikir. Tapi malangnya kerap kali orang Melayu bertindak secara sedemikian rupa,” jelasnya.
Terdahulu, Abdul Hamid mene-rima Anugerah Bintang Perkasa Negara iaitu anugerah tertinggi NGO tersebut daripada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali atas sumbangan serta ketokohannya dalam bidang perundangan negara.
Beliau individu kelima menerima anugerah itu selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor; Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub dan Tengku Razaleigh Hamzah.