JOHOR BAHRU- Malaysia akan dapat melihat lebih banyak pameran pelbagai watak animasi Jepun dalam masa terdekat jika rancangan Animation International (M) Sdn Bhd berjaya.
Syarikat itu memegang hak perdagangan dan promosi untuk Doraemon di Malaysia dan Singapura. Ia merancang membawa lebih banyak watak animasi Jepun ke negara ini.
Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan kepada pameran Doraemon di Kuala Lumpur dan Johor Baharu, syarikat itu sedang berbincang dengan beberapa pemberi lesen Jepun, kata Pengurus Pemasaran dan Acaranya, Kelvin See.
"Kami melihat kepada watak animasi Jepun yang mempunyai peminat yang ramai di sini dan merancang untuk menganjurkan pameran pada pertengahan tahun depan di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di Ekspo 100 Gajet Rahsia Doraemon di Johor Baharu City Square di sini, hari ini.
Antara watak animasi Jepun yang mempunyai peminat ramai di Malaysia ialah Crayon Sin Chan, Ultraman, Sailormoon dan Chibi Maruko Chan.
Pameran Doraemon di Johor Baharu sejak 28 Ogos itu telah menerima 150,000 pengunjung.
Sempena perayaan Krismas ini, pengunjung boleh memberi sumbangan kepada rumah anak yatim dengan membeli dua mainan mewah Doraemon dengan harga satu.
Mereka boleh membawa pulang satu dan mendermakan yang lagi satu.
See berkata, syarikat itu menyasarkan 500 mainan mewah akan dapat diagihkan kepada kira-kira 10 rumah anak yatim terpilih di sini. - Bernama
Last edited by Mary_jane on 6-12-2014 12:52 AM
|