|
Noraizah menunjukkan gambar Shahrin yang tidak pulang ke rumah hampir dua minggu lalu bersama poster mengenai kehilangan anak kelimanya.
JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal terlalu bimbang terhadap keselamatan anak lelakinya yang masih gagal pulang ke rumah mereka di Flat Taman Desa Mutiara hampir dua minggu lalu selepas keluar bersama dua rakannya.
Menurut, Noraizah Abdul Rahim, 40 anak kelimanya dari enam beradik itu, Mohd Shahrin Firdaus Mohd Hila 12, meminta izin untuk keluar sebentar pada 14 November lalu, kira-kira jam 11.00 pagi dan berjanji akan pulang semula secepat mungkin.
Mohd Shahrin Firdaus atau dipanggil Shahrin telah meminta izin dengan ibunya untuk keluar bersama dua rakan karibnya iaitu Aiman Al-Amin Abdullah, 13, dan Mohd Syazwan Mohd Fadzil yang tinggal di blok bersebelahan dengan kediaman mereka.
“Sebelum keluar rumah Shahrin sempat minta izin dan saya pesan supaya dia pulang cepat. Ketika itu saya langsung tak terfikir perkara ini berlaku kerana dia keluar dengan rakan-rakan.
“Apabila dia masih tidak pulang bila hari sudah malam, saya jadi risau,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Noraizah berkata, khuatir sesuatu perkara yang buruk menimpa anaknya itu, dia mengambil keputusan membuat laporan polis pada keesokan harinya selepas kejadian di Balai Polis Bandar Dato’ Onn, di sini selepas usaha mencari Shahrin tidak berhasil.
“Saya tidak putus berdoa supaya mereka berada dalam keadaan selamat, saya amat risau kerana ketika meninggalkan rumah Shahrin keluar sehelai sepinggang.
“Kami terus mencarinya di rumah rakan-rakannya dan turut edar serta tampal poster mengenai kehilangan Shahrin dan rakannya itu. Dua hari selepas Shahrin hilang, abangnya (Mohd Redzuan) terserempak ketiga-tiga mereka di Taman Daya, sedang berjalan kaki.
“Disebabkan abangnya hanya menunggang motosikal bersama seorang rakan, dia menahan sebuah teksi untuk menghantar Shahrin, Aiman dan Syazwan ke rumah dan mengikuti dari belakang.
“Bagaimanapun, belum sempat abangnya sampai, dia ternampak Shahrin dan rakan-rakannya turun dari teksi dan terus melarikan diri semula dan tidak pulang ke rumah. Redzuan cuba mengejar tetapi tidak berjaya dan hingga ke hari ini (semalam) Shahrin masih gagal ditemui, “katanya.
Kali terakhir Shahrin kelihatan memakai baju- T lambang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan seluar pendek hitam paras lutut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan menerima laporan polis berhubung kehilangan tiga remaja terbabit.
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/ibu-resah-anak-hilang-dua-minggu-1.336743
[url=]
[/url]
|
|