KUANTAN, 13 Nov (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar tayar sebuah treler yang tercabut dan bergolek masuk ke laluannya
di Km 10 Jalan Kuantan-Bypass, Pelabuhan dekat Gebeng malam tadi.
Mangsa, Mohd Amran Asparudin, 25 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan
di Eco Tower Gebeng dekat sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah
di kepala dan badan.
Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, DSP Mohd Noor
Yusof Ali berkata, nahas jam 11.30 malam itu berlaku semasa mangsa yang
beralamat di Kampung Peramu dekat sini dalam perjalanan dari arah Pelabuhan
menghala ke Kuantan.
"Sebelum kejadian, satu tayar belakang sebelah kiri treler terbabit yang
dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Pelabuhan telah tercabut dan bergolek
masuk ke laluan bertentangan.
Pada masa sama mangsa yang dari arah bertentangan kebetulan lalu di situ
telah melanggar tayar tersebut menyebabkan dia hilang kawalan lalu terjatuh ke
atas jalan," katanya kepada Bernama hari ini.
--LAGI
POLIS-MAUT 2 (AKHIR) KUANTAN
Beliau berkata, siasatan awal mendapati jalan di situ lurus dan semasa
kejadian cuaca baik juga terdapat lampu jalan di lokasi kemalangan.
Katanya, tayar treler yang tercabut itu juga didapati berada di dalam longkang bahu sebelah kiri jalan dan pemandu treler terbabit tidak cedera.
Mohd Noor berkata, siasatan juga mendapati treler tersebut membawa muatan
bijih besi dan mangsa memakai topi keledar serta memiliki lesen memandu yang
sah.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk
bedah siasat dan polis akan membuat ujian darah dan air kencing ke atas pemandu
treler terbabit.
"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"
katanya.
-- BERNAMA
QA NF MK
|