Berlin: Bekas pemimpin Soviet Mikhail Gorbachev semalam berkata, konflik Timur-Barat di Ukraine membawa dunia ke ambang Perang Dingin baru selepas 25 tahun kejatuhan Tembok Berlin.
Dalam ucapan di Brandenburg Gate, Berlin tokoh yang memainkan peranan penting memulihkan hubungan dengan Barat sehingga menyebabkan runtuhnya rejim komunis di Eropah Timur itu menuduh Barat, terutama Amerika Syarikat tidak memenuhi janji yang dibuat selepas 1989.
“Dunia di ambang Perang Dingin. Ada yang berkata ia sudah bermula, namun dalam keadaan ini, kita masih tidak melihat sebarang tindakan konkrit diambil Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai badan antarabangsa utama,” katanya.
Gorbachev, 83, turut mengecam Eropah kerana tidak lagi relevan sebagai kuasa besar dunia. “Daripada menjadi pemimpin perubahan dalam dunia global, Eropah berubah menjadi arena pergolakan politik yang dipenuhi persaingan dan konflik tentera. Akibatnya, Eropah semakin lemah manakala negara lain semakin berkuasa,” katanya.
Konflik di timur Ukraine itu mengakibatkan lebih 4,000 terbunuh sejak bermula dengan perbalahan pemisahan pro-Russia pada pertengahan April lalu.
Russia menuding jari kepada Barat, tetapi NATO mendakwa mempunyai bukti kukuh Russia adalah dalang sebenar konflik di Ukraine kerana membantu kumpulan pemberontak dalam konflik terbabit.
- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:06 AM
Canselor Jerman Angela Merkel memegang sekuntum ros ketika majlis peringatan Tembok Berlin di Bernauer Strasse, Berlin, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7839#sthash.5xGifYlE.dpuf
|