Kota Kinabalu: Dua penghuni sebuah rumah yang menyangkakan berlaku gempa bumi terkejut apabila bahagian hadapan rumah mereka dirempuh lori pasir yang dikatakan mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan dalam kejadian di Taman Fook Tin Luyang, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang, kedua-dua gadis lingkungan 20-an bernasib baik apabila tidak cedera kerana berada jauh dari bahagian depan rumah mereka. Sumber berkata, pemandu lori berusia 34 tahun juga tidak cedera.
Menurutnya, difahamkan, ketika kejadian, lori bermuatan pasir itu dalam perjalanan menghantar pasir ke kawasan berhampiran. “Sebaik mengundurkan lori ke kawasan berbukit, jentera berat itu mengalami masalah brek sebelum hilang kawalan dan terus meluncur ke bahagian hadapan rumah terbabit.
“Berikutan rempuhan itu, bahagian pagar dan bumbung hadapan rumah berkenaan rosak teruk,” katanya. Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua gadis berkenaan berada di dalam bilik masing-masing dan hanya menyedari kejadian itu sebaik terdengar bunyi dentuman.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:17 AM
LORI pasir merempuh rumah di Taman Fook Tin Luyang, Kota Kinabalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4657#sthash.wZCrJG3z.dpuf
|