|
Honda City 30 kilogram lebih ringan
Kurang geseran komponen enjin bantu tingkat penjimatan
Honda City 2014 yang baru dilancarkan minggu lalu dibangunkan baru sepenuhnya dengan platform yang turut direka semula, dan akan dikongsi dengan model Jazz generasi terbaru.
Mengulas tentang model ini lagi, Ketua Projek Utama Honda City, Kazunori Watanabe menjelaskan bahawa dengan model terbaru ini juga Honda berupaya mengurangkan berat keseluruhan kereta ini sehingga 30 kilogram berbanding model lamanya.
“Di atas sebab ini, serta penambahbaikan terhadap faktor geseran komponen enjin, kami juga dapat meningkatkan kecekapan dan penjimatan enjinnya,” jelas beliau. Menyentuh tentang sistem transmisi CVT serba baru yang digunakan pada model terbaru ini; “CVT terbaru ini dilengkapi dengan ‘torque converter’ untuk menjadikannya lebih cekap, serta penggunaan pelincir yang lebih likat, kami mampu mengurangkan geseran pada gear sekali gus memperbaiki tahap kecekapan penggunaan petrol,” tambah Kazunori.
Brek dram
Berkaitan penggunaan brek dram untuk roda belakang pula berbanding penggunaan brek cakera pada model generasi sebelumnya, beliau menjelaskan bahawa dengan segala pembaharuan yang dilakukan terhadap model baru ini, termasuk berat keseluruhan yang berkurangan, penggunaan brek dram yang disediakan itu adalah sama prestasinya berbanding brek cakera pada model generasi lama. “Ini juga mengambil kira adanya ciri kawalan kestabilan kenderaan (VSA) bagi City baru ini, ia sebenarnya akan bertindak dengan ciri keselamatan yang lebih cekap,” tambah beliau. Penggunaan brek dram bahagian belakang ini ditawarkan bagi City di semua pasaran di seluruh dunia.
Honda City 2014 ini juga disifatkan mempunyai ruang kabin yang sangat luas, mampu menandingi beberapa model-model dari segmen C dan D lainnya. Untuk mendapatkan hasil berkenaan, Kazunori menjelaskan, Honda menyusun semula rekaletak bahagian ruang enjin bagi membolehkan papan pemuka dianjak ke depan. Termasuk dengan peningkatkan ketinggian ruang kepala, Honda City memberikan ruang yang cukup mengkagumkan, baik bagi penumpang depan mahupun penumpang belakang.
Penjimatan
Empat faktor utama digariskan oleh Kazunori sebagai faktor utama yang berhasil memberikan penjimatan kepada Honda City generasi keempat ini; penggunaan transmisi CVT, pengurangan berat keseluruhan, pengurangan geseran komponen enjin serta reka bentuk aerodinamik. Dengan ini, ia jauh lebih cekap berbanding model generasi ketiganya.
Pelancaran
Dengan tempahan pra-pelancaran yang mencecah kepada 1,800 bagi tempoh sebulan, Honda City 2014 dengan rasminya dilancarkan minggu lalu, dengan varian paling asas, City S, dijual pada harga permulaan RM75,800. Tiga lagi varian dijual pada harga berikut; City S+ (RM78,800), City E (RM83,800) dan City V (RM90,800).
|
|