|
Tasek Gelugor: “Saya rasa teruja menjadi peserta majlis akad nikah beramai-ramai. Kenangan ini akan kekal seumur hidup,” kata Mawar Che Ani, 26, antara lapan pasangan yang menyertai majlis akad nikah baramai-ramai di Masjid Pokok Machang, di sini, semalam.
Mawar yang juga kakitangan Pos Malaysia Berhad melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Al-Mahdy Musa, 26, kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang selepas berkenalan enam bulan.
Menurut Mawar, dia menyertai majlis akad nikah ramai-ramai itu berikutan ia dianjurkan buat julung kalinya oleh Biro Muslimah Kariah Masjid Pokok Machang, selain dia sendiri anak kariah di situ.
“Saya gembira dan bersyukur kerana semuanya berjalan lancar,” katanya.
Selain Mawar dan Al-Mahdy, pasangan lain ialah Nurul Fashihah Musa, 26, dengan Mohd Shahrul Isa @ Othman, 33, Nor Sakirah Mohd Saad, 22, dengan Noor Azli Hassan, 31, dan Siti Asiah Mohamad Nasir, 27, dengan Mohamad Jasri Radzuan, 26.
Pasangan lain, Nor Dalila Abu Hassan, 26, dengan Mohd Nazmi Mohd Nasir, 27, Siti Noor Afifah Ahmad, 21, dengan Muhamad Asyraf Ahmad, 22, Nurul Izzati Azemi, 24, dengan Muhammad Syukur Saleh, 26, dan Nur Aminaazreen Mohamad, 23, dengan Junaidi Murad, 35.
Majlis berlangsung selama dua jam dengan majlis akad nikah dilakukan Penolong Pendaftar Perkahwinan Kawasan Tasek Gelugor Musa Hamsan dan dihadiri lebih 500 tetamu, termasuk keluarga pengantin lelaki dari luar kariah.
Timbalan Pengerusi Masjid Pokok Machang Ramli Kamis berkata, program berkenaan dianjurkan pihaknya bertujuan mengeratkan silaturahim sesama ahli kariah, selain menggalakkan anak muda berkahwin.
Read here: http://www.hmetro.com.my/myMetro ... /Article/index_html
|
|