|
Chukai: Memilukan apabila seorang mekanik tidak sempat menyerahkan baju baru kepada dua anak dan bayi yang bakal lahir tidak lama lagi selepas motosikal Honda EX5 ditunggangnya merempuh seekor lembu menyebabkannya maut kira-kira jam 8 malam kelmarin.
Kejadian di Kilometer 131.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Titian Berayun, Kijal, dekat sini, berlaku ketika mangsa Mohd Nurul Hafizul Mohd, 30, dalam perjalanan dari rumah ibunya di Kampung Ibai Penunjuk, Kijal, dekat sini, ke rumah mentuanya di Kampung Gong Chengal, Kemasik, dekat sini.
Sebaik tiba di tempat kejadian seekor lembu muncul melintas jalan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh haiwan berkenaan.
Akibat rempuhan kuat itu mangsa tercampak di tengah jalan lebih 10 meter dari motosikal ditunggangnya dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala lembu berkenaan turut mati.
Ibu mangsa, Madiah Mokhtar, 54, berkata, sehari sebelum itu arwah sepatutnya pulang ke rumah mentuanya menemui isteri, Noor Zalwati Mohd Yusoff, 33, yang sarat mengandung sembilan bulan serta dua anaknya berusia dua dan empat tahun.
“Arwah yang bekerja di sebuah bengkel kereta di Kampung Mak Lagam, dekat sini, pulang ke rumah saya pada jam 5.30 petang kelmarin (Sabtu) dan memberitahu sudah membeli baju anaknya yang bakal lahir pada bila-bila masa, tetapi terpaksa menangguhkan kepulangannya ke rumah mentua kerana letih.
“Selepas bermalam di rumah saya, dia terus pergi bekerja seperti biasa keesokannya. Ketika itu, saya pelik juga kerana dia beritahu sangat sayang kepada anak tetapi tidak pergi menemui mereka atas alasan letih,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman, di sini, kelmarin.
Menurutnya, selepas pulang dari kerja jam 5.30 petang kelmarin, arwah pulang ke rumahnya terlebih dahulu dan keluar semula kira-kira jam 7.45 malam memberitahu ingin ke rumah mentua menemui keluarganya sebelum dia dikejutkan dengan berita anaknya terbabit kemalangan 15 minit kemudian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Read here: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakibawamatirindukepadaanak_isteri/Article/index_html
|
|