PERNAH mempunyai sejarah cinta, Awie dan Erra kini lebih terbuka dan bersikap profesional demi karier masing-masing.
SEWAKTU melihat senarai barisan pelakon utama filem berjudul Warna Cinta Impian terbitan Touchtronic Entertainment, ada sesuatu yang cukup istimewa apabila ia menggandingkan dua ikon popular tanah air iaitu Awie dan Erra.
Nama aktor dan aktres itu pernah menjadi sebutan ramai dahulu menerusi kisah cinta mereka dalam filem Sembilu, Sembilu 2 dan Tragedi Oktober.
Ironinya, percintaan mereka turut berlaku di luar bidang kerja serta pernah mengikat tali pertunangan dahulu.
Namun begitu, kisah cinta mereka itu sudah tinggal sejarah dan masing-masing mempunyai haluan hidup sendiri, tetapi ia bukanlah satu halangan untuk mereka terus digandingkan dalam mana-mana filem.
Biarpun pernah berlakon bersama selepas cinta mereka berakhir seperti filem Maria Mariana 2 dan Cuci, ternyata pembabitan Awie dan Erra dalam Warna Cinta Impian agak menarik perhatian umum.
Ini kerana mereka belum pernah bersatu di dalam filem sejak sekian lama, sementelah status Erra sebagai seorang ibu tunggal setelah bercerai dengan suaminya, Engku Emran manakala Awie pula berhadapan dengan masalah rumah tangga yang dialaminya sekarang bersama isterinya, Rozana Misbun.
Mengulas mengenai pembabitan Erra yang turut membintangi filem berkenaan, Awie atau pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman itu menyatakan bahawa tiada sebarang masalah buat dirinya kerana masing-masing bertindak secara profesional.
Tegasnya, apa yang berlaku antara dirinya dan Erra dahulu sudah menjadi sejarah dan tidak harus diungkit lagi. Malah, dia bersyukur kerana masih ada lagi pihak yang terus memberikan kepercayaan kepada mereka.
"Tiada apa lagi yang perlu diperkatakan antara hubungan saya dan Erra. Meskipun kami pernah bercinta dan bertunang sebelum ini. Kini, kami sudah ada kehidupan masing-masing dan sebagai rakan, saya sentiasa mendoakan kebahagiaannya.
"Tidak dinafikan dahulu saya memang agak rasa kekok kalau berjumpa dengannya, tetapi sekarang kami sudah boleh bergurau dan saya anggap Erra merupakan salah seorang kawan baik saya," ujarnya yang sebelum ini bergandingan dengan Erra menerusi konsert Teaterikal Suara Kita pada Mac lepas.
Menceritakan pembabitan awal dalam filem itu, Awie yang juga merupakan vokalis Wings berkata, semuanya bermula dengan pertemuan bersama pihak Touchtronic Entertainment beberapa bulan lalu.
"Sebenarnya, saya pernah menolak untuk berlakon dalam filem ini disebabkan sudah terikat dengan beberapa pekerjaan yang lain. Jadi, saya bimbang kalau tidak mampu memberi sepenuh komitmen kalau menerimanya.
"Bagaimanapun, pihak penerbit masih lagi berkeras mahu saya berlakon. Setelah melihat kesungguhan mereka yang tidak berhenti memujuk, akhirnya ia telah membuka pinta hati saya untuk berlakon," ujarnya.
Selain itu, Awie menyatakan, antara faktor yang membuatkannya memberi persetujuan untuk terbabit dalam filem berkenaan setelah penerbit bersetuju memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.
Antaranya, penerbit akan bersikap terbuka untuk menerima pandangan yang diberikan oleh para pelakon agar perjalanan cerita yang akan dipaparkan menjadi lebih menarik dan memenuhi cita rasa penonton.
"Saya tidak kata yang jalan cerita filem ini kurang bagus, tetapi sebagai pendatang baharu dalam industri perfileman tempatan, mereka perlu mendengar dan mempertimbangkan setiap idea yang diberikan," jelasnya.
|