Wan Zaleha (kanan) menunjukkan cara membuat kuih telor kubis.
KUALA TERENGGANU – Seorang eksekutif kewangan di sebuah syarikat swasta sanggup berhenti kerja dengan gaji empat angka setelah melihat potensi dan kejayaan dalam bidang perniagaan makanan bermula sejak tiga tahun lalu.
Wan Zaleha Wan Muda, 40, memilih untuk menjual kuih telor kobis secara sepenuh masa.
Mungkin bagi sesetengah orang nama kuih yang bentuknya seakan-akan martabak itu agak pelik dan mungkin mengelirukan orang ramai, namun kuih itu dipercayai menjadi kegemaran kerabat diraja Terengganu suatu ketika dahulu.
Wan Zaleha berkata, disebabkan kuih tersebut tidak popular berbanding kuih tradisional Terengganu yang lain, ia telah memberikan ilham kepadanya untuk mengkormesialkan resipi yang diwarisi daripada ibunya itu kepada umum.
Usaha ibu kepada dua anak berusia antara 10 hingga 12 tahun itu nyata tidak sia-sia apabila dia kini mampu menjana pendapatan yang agak lumayan dengan hanya menjual kuih berkenaan di kedai, selain turut menerima tempahan.
“Sebelum ini, kesibukan bekerja menyekat saya untuk mengambil tempahan kuih telor kobis dalam kuantiti yang agak besar. Setelah melihatkan perniagaan ini boleh pergi jauh, saya nekad mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
“Dengan hanya bermodalkan RM35 saya mampu mendapat pulangan sekali ganda pada hari pertama membuatnya. Saya begitu teruja dan yakin perniagaan ini dapat pergi jauh dan mengambil keputusan melakukannya dengan serius,” kata anak jati Seberang Takir itu.
Wan Zaleha berkata, pada hari biasa dia mampu menghabiskan antara lima hingga enam kilogram tepung di mana sekilogram tepung dapat menghasilkan 15 biji kuih telor kobis.
“Pada Ramadan lalu pula, jualan meningkat dan kami tidak menang tangan untuk menyiapkan tempatan dengan menggunakan kira-kira 15 hingga 20 kilo tepung,” katanya yang turut dibantu adiknya (Wan Azizah Kamaliah Wan Muda, 30).
Cara agak rumit
Menjelaskan proses penghasilan kuih telor kobis, Wan Zaleha menyatakan caranya agak rumit kerana memerlukan adunan tepung yang dibuat secara sangat teliti agar tidak ditembusi minyak.
Manakala untuk membuat intinya pula katanya, dia perlu menggunakan isi ikan segar dalam kuantiti yang agak banyak dan kobis pula perlu dihiris halus-halus sebelum dapat dijual secara sejuk beku dengan harga RM3 sebiji.
Wan Zaleha berkata, dia kini menyasarkan untuk menjadi pengeluar utama produk itu suatu hari nanti dan kini sedang mencari tempat yang sesuai bagi membina kilang untuk menjadi pengeluar kuih telor kobis di negeri ini.
“Untuk mencapai hasrat itu, saya memerlukan modal yang mencukupi. Sebelum ini, saya pernah mendapat bimbingan dan bantuan modal daripada Mardi sebanyak RM10,000 untuk membeli mesin.
“Oleh itu, dalam usaha mengembangkan perniagaan yang baru bertapak ini saya mengharapkan agensi-agensi berkaitan sudi memberikan bantuan dalam bentuk modal mahupun bimbingan kepada kami,” katanya.
Menurut Wan Zaleha, melihat kepada permintaan jualan kuih telor kobis yang mendapat tempat di kalangan penduduk setempat, membuatkan suaminya juga nekad membantu secara sepenuh masa di kedai miliknya di sini.
Sementara itu, suaminya, Che Engku Ahmad Muazzam, 40, yang pada mulanya tidak yakin dengan keputusan isterinya itu, turut mengambil keputusan berhenti kerja sebagai penyelenggara pendingin hawa untuk membantu isterinya secara sepenuh masa.
Che Engku juga menyifatkan keputusan yang mereka buat iaitu berhenti kerja nyata berbaloi dan kini sedang merancang secara bersama untuk melebarkan sayap perniagaan dengan hasrat menjadikan perniagaan mereka dikenali di negeri ini.
Read here:
http://www.sinarharian.com.my/ed ... k-berniaga-1.304546