|
Che Ta borong kelengkapan bayi di London
- Che Ta dan suaminya, Zain Saidin.
KEHIDUPAN selebriti ini sememangnya serba mewah malah, sebelum ini dia pernah diberi jolokan, 'High Maintanance Artist'.
Lihat sahajalah dari segi penampilan pelakon Kiah Pekasam ini, malah dia sering berkunjung ke London untuk membeli barang-barang keperluannya.
Bukan sahaja untuk diri sendiri, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta, ini juga turut memilih Kota London sebagai lokasi untuk membeli barang-barang bayinya.
Menurut Che Ta menerusi perbualan WhatsApp, dia kini sedang berada di London bersama suaminya, Zain Saidin.
Malah, tujuan pasangan suami isteri ini ke sana adalah untuk memberi kelengkapan bayi mereka yang bakal lahir pada pertengahan Oktober nanti.
"Buat masa ini, kami dah mula beli barang bayi sikit-sikit. Masih ada banyak masa lagi untuk persiapan sepenuhnya," katanya.
Tambah Che Ta, memandangkan usia kandungannya semakin bertambah dan membesar, dia turut mengurangkan aktiviti seni termasuk menghadiri majlis-majlis hiburan.
"Saya memang dah 'stop' menghadiri majlis hiburan. Begitu juga dengan kerja-kerja penggambaran.
"Cuma, penggambaran rancangan, Primadona sahaja yang masih berjalan," jelasnya.
Sibuk di butik
Walaupun merancang untuk berehat panjang dan memberi ruang kepada diri sendiri dalam melalui tempoh kehamilan, namun Che Ta tetap sibuk dengan perniagaan.
Menurut Che Ta, dia tetap berdepan dengan kesibukan di butik Padusi, hasil perkongsian bersama adik beradiknya, Ayu Raudhah dan Rubytah.
"Setiap minggu, kami akan memperkenalkan rekaan terbaharu. Malah, baru-baru ini, kami juga turut menyertai KL International Hijab Fair (KLIHF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
"Alhamdulillah, dari segi sambutan pula, ia amat menggalakkan walaupun baharu sahaja diperkenalkan pada tahun lalu.
"Kini, saya tengah merancang untuk mencari stokis di Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura," katanya lagi.
|
|