KUALA LUMPUR 27 Mei - Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) tidak melihat bankrap sebagai pilihan pada peringkat ini ,sebaliknya akan berusaha gigih mempercepatkan lagi proses baik pulih untuk membantu syarikat mencatat untung pada tahun depan. Pengarah Komersial MAS, Dr. Hugh Dunleavy (gambar) berkata, pemulihan syarikat sedang berlaku dan insiden kehilangan pesawat MH370 tidak menjejaskan langsung proses tersebut. Beliau berkata, insiden itu hanya menjadi gangguan terhadap operasi syarikat dan MAS komited untuk memperbaiki keadaan itu. Tambahnya, kajian semula operasi tersebut akan mengambil masa sehingga tiga bulan dan untuk melaksanakan perubahan mungkin memerlukan enam hingga sembilan bulan. "Sekarang adalah masanya untuk melihat semua aspek model perniagaan kami dengan lebih dekat, seterusnya menambah baik dan menjadikannya lebih efisien seboleh mungkin. "Bagi model perniagaan yang dilihat kurang penting atau dirasakan syarikat lain boleh melakukannya secara efisien, kami (MAS) perlu memikirkannya semula," kata beliau yang dipetik oleh Bloomberg hari ini. Berikutan dengan kenyataan Dunleavy, harga saham MAS meningkat 2.85 peratus atau setengah sen ketika waktu rehat tengah hari, paras tertinggi dalam 11 hari. Dunleavy berkata, jumlah tempahan dari China turun kira-kira 50 peratus hingga 60 peratus selepas insiden MH370 yang membawa majoriti penumpang dari negara itu. Beliau berkata, MAS mempunyai rancangan untuk kembali meraih keuntungan tetapi berpendapat ia tidak boleh dicapai pada akhir 2014. "Saya percaya dengan apa yang dilakukan oleh syarikat buat masa ini, kami sedang merangka pelan perniagaan, menyusun semula pelan sedia ada dan melihat semua peluang yang ada supaya sasaran pada 2015 dapat direalisasikan," katanya.
|