CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9037|Reply: 17

Sejarah Rusia

[Copy link]
Post time 16-5-2014 12:03 PM | Show all posts |Read mode




Sejarah Rusia bermula dengan kisah silam kaum Slav Timur dan Fino-Ugrik. Sebuah negara bernama Garearíki ("alam bandar-bandar") yang berpusat di Novgorod ditubuhkan oleh seorang penghulu Varyag bernama Rurik pada tahun 862 (permulaan tradisi sejarah Rusia).

Kievan Rus', negara Slav Timur bersatu yang pertama, ditubuhkan oleh pewaris Rurik, Oleg dari Novgorod pada tahun 882.

Negara ini memeluk agama Kristian daripada Empayar Byzantium pada tahun 988, maka bermulanya persepaduan kebudayaan Bizantium dan Slav yang mencorakkan budaya Rusia selama seabad yang seterusnya.

Kievan Rus' akhirnya cerai-berai akibat Serangan Mongol terhadap Rus' pada tahun 1237–1240. Ketika itu, munculnya sebilangan kuasa serantau, khususnya Novgorod dan Pskov, yang merebut warisan budaya dan politik Kievan Rus'.

Selepas abad ke-13, Moscow mulai mendominasi bekas pusat kebudayaan itu. Menjelang abad ke-18, Duci Agung Moscow berkembang menjadi Empayar Rusia yang terbentang luas dari Komanwel Poland-Lithuania ke arah timur hingga Lautan Pasifik.

Peluasan wilayah ke arah barat mencelikkan lagi kefahaman Rusia akan betapa terpisahnya dariada seluruh Eropah, sekaligus memecahkan keterpencilan yang dialaminya pada awal peluasan.



Rejim demi rejim yang bersilih-ganti pada abad ke-19 menangani tekanan sedemikian dengan pembaharuan yang tidak bersungguh-sungguh serta penindasan. Perhambaan di Rusia dimansuhkan pada tahun 1861, tetapi pemansuhan itu tercapai atas dasar-dasar yang tidak menyebelahi kaum petani dan terus menghangatkan lagi tekanan untuk berrevolusi.

Dari masa pemansuhan perhambaan hingga meletusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, pembaharuan Stolypin, perlembagaan 1906 dan Duma Negara melakukan perubahan ketara pada ekonomi dan politik Rusia,tetapi tsar (maharaja) masih tidak sanggup melepaskan pemerintahan autokrasi atau berkongsi kuasa.




Revolusi Rusia pada tahun 1917 dicetuskan oleh keruntuhan ekonomi, kelelahan daripada berperang, dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap sistem kerajaan autokratik, sehingga pemerintahan beraja diganti oleh kerajaan sementara campuran liberal dan sosialis sederhana, tetapi kegagalan dasar-dasar mereka menyebabkan tampuk pemerintahan jatuh di tangan Bolshevik Komunis pada 25 Oktober.

Selama tahun 1922 hinga 1991, Rusia merupakan anggota terbesar Kesatuan Soviet, sebuah negara berasaskan ideologi komunisme yang juga terdiri daripada belasan republik sosialis yang berjiran dengannya di Eropah Timur dan Asia Barat dan Tengah.

Bagaimanapun, pendekatan sosialisme yang diamalkan oleh Kesatuan Soviet berbeza-beza dari zaman ke zaman, bermula dengan ekonomi campuran dan kepelbagaian masyarakat dan kebudayaan pada tahun 1920-an yang digantikan oleh ekonomi perancangan pusat dan kezaliman zaman Joseph Stalin hingga "zaman genangan" pada 1980-an. Pada tahun-tahun terawalnya, pentadbiran Kesatuan Soviet berasaskan pemerintahan satu parti Bolshevik atau Komunis mulai tahun 1918.

Bagaimanapun, menjelang akhir 1980-an, akibat kelemahan struktur ekonomi dan politik yang makin meruncing, kepimpinan Komunis melakukan pembaharuan besar-besaran yang menyebabkan tumbangnya Kesatuan Soviet.

Semenjak ditubuhkan pada tahun 1991, Persekutuan Rusia diakui sebagai pewaris sah kepada Kesatuan Soviet di mata dunia. Bagaimanapun, Rusia kehilangan taraf kuasa terbesarnya kerana berdepan dengan cabaran getir dalam usahanya untuk membentuk sistem politik dan ekonomi pasca-Soviet yang baru.

Dengan menggugurkan ekonomi terancang sosialis dan pemiliknegaraan harta dari zaman Soviet, Rusia cuba membina ekonomi yang berunsur kapitalisme pasaran tetapi tidak kurang mendapat hasil yang memilukan. Sehingga hari ini, Rusia mewarisi banyak kesinambungan budaya politik dan struktur sosialnya daripada zaman silam tsar dan Soviet.
Sejarah awal

Tulang manusia moden terawal berusia 35,000 tahun ditemui di Rusia, di Kostenki dekat tebing Sungai Don. Pada zaman prasejarah, kawasan steppe yang luas terbentang di Rusia Selatan merupakan tempat tinggal puak-puak pastoral nomad. Sisa-sisa tamadun steppe ini ditemui di tempat-tempat seperti Ipatovo, Sintashta, Arkaim, dan Pazyryk, yang menyimpan kesan-kesan terawal perang berkuda yang diketahui, salah satu ciri-ciri cara hidup berpindah-randah.

Mengikut baharian klasik, Steppe Pontik-Kaspia dikenali sebagai Scythia. Sejak abad ke-8 SM, para pedagang Yunani Purba membawa tamadun mereka kepada emporium-emporium perdagangan di Tanais dan Phanagoria. Pada abad ke-3 hingga ke-6 M, Kerajaan Bosporus, sebuah tatanegara Keyunanian yang mewarisi jajahan-jajahan Yunani,dikalahkan oleh serangan nomad yang diterajui oleh puak-puak yang suka berperang seperti Hun dan Avar Eurasia. Sebuah bangsa Turkik yang bergelar Khazar memerintah kawasan steppe lembangan hilir Volga yang terletak di antara Laut-Laut Kaspia dan Hitam sehingga abad ke-8.

Nenek moyang kepada orang Rusia moden ialah puak-puak Slavik yang dipercayai berasal daripada kawasan perhutanan Rawang Pinsk.Lama-kelamaan, kaum Slav Timur menduduki Rusia Barat dalam dua gelombang: satu berpindah dari Kiev ke arah kawasan yang kini Suzdal dan Murom, dan satu lagi dari Polotsk ke arah Novgorod dan Rostov. Mulai abad ke-7, kaum Slav Timur membentuk majoriti penduduk Rusia Barat dan lambat-laun mengasimilasikan kaum-kaum Fino-Ugrik secara damai, termasuk Merya, Muromia, dan Meshchera.


Last edited by pestol on 16-5-2014 12:09 PM

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 16-5-2014 03:12 PM | Show all posts

Duci Agung Moscow

Duci Agung Moscow

Negara pewaris Kievan Rus' yang paling kuat ialah Duci Agung Moscow ("Moscovy" dalam babad Barat) yang mula-mulanya sebuah wilayah Vladimir-Suzdal. Ketika masih berada dalam taklukan Mongol-Tatar, Moscow dengan liciknya mula meluaskan pengaruhnya di Rusia Barat pada awal abad ke-14.

Kehidupan memang perit ketika itu kerana terpaksa mengharungi serangan Mongol-Tatar, apalagi hasil pertanian merosot sejak bermulanya Zaman Air Batu Kecil. Sama dengan seluruh Eropah, Rusia dilanda wabak sekali setiap lima atau enam tahun mulai tahun 1350 hingga 1490. Namun begitu, disebabkan kepadatan penduduk yang kurang serta tahap kebersihan yang lebih memuaskan (kerana amalan mandi wap lembap banya yang berleluasa), kemerosotan kependudukan akibat wabak tidak seteruk di Eropah Barat, dan jumlah penduduk di Rusia kembali ke tahap sebelum wabad seawal tahun 1500.

Diterajui oleh Putera Dmitry Donskoy dari Moscow dengan bantuan Gereja Ortodoks Timur, tentera bersatu negeri-negeri Rusia melakukan kejayaan penting ke atas penjajah Mongol-Tatar dalam Pertempuran Kulikovo pada tahun 1380. Lambat-laun, Moscow menyerap negeri-negeri di sekitarnya, termasuklah bekas negeri lawan ketatnya seperti Tver dan Novgorod. Beginilah Moscow menjadi kuasa teraju utama dalam proses penyatuan semula dan peluasan Rusia.

Ivan III (yang Agung) mengakhiri sisa-sisa kekuasaan Angkatan Kencana, menyatukan seluruh Rus' Tengah dan Utara ke dalam penguasaan Moscow, serta menjadi yang pertama untuk meraih gelaran "Adipati Agung Segala Rusia". Selepas kejatuhan Constantinople pada tahun 1453, Moscow menuntut pewarisan pusaka Empayar Rom Timur. Ivan III mempermaisurikan Sophia Palaiologina, anakanda saudara maharaja Byzantium terakhir, Constantine XI, lalu menerapkan lambang helang berkepala dua dalam jata baginda dan juga negara Rusia.


Kerajaan Tsar Rusia

Ketika mengusahakan gagasan Rom Ketiga, Adipati Agung Ivan IV (yang "Hebat" atau "Ganas") secara rasminya dimahkotakan sebagai Tsar ("Caesar") pertama Rusia pada tahun 1547. Tsar mengisytiharkan kanun undang-undang baru (Sudebnik 1550), menubuhkan badan perwakilan feudal pertama di Rusia (Zemsky Sobor) serta memperkenalkan sistem pengurusan kendiri setempat di kawasan luar bandar.

Sepanjang zaman pemerintahannya yang berlarutan, Ivan IV nyaris menggandarkan perwilayahan Rusia yang sudah agak besar dengan mengilhakkan tiga kekhanan Tatar (sisa tinggalan Angkatan Kencana), iaitu Kazan dan Astrakhan sepanjang Sungai Volga, dan Kekhanan Sibirea di Siberia Barat Daya. Maka pada lewat abad ke-16, Rusia berubah menjadi sebuah negara antara benua yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai etnik dan agama.




Bagaimanapun, kerajaan Tsar dilumpuhkan oleh kegagalan Perang Livonia yang berlarutan ke atas campuran Poland, Lithuania, dan Sweden demi laluan mudah ke kawasan perdagangan pantai Baltik. Pada masa yang sama, kaum Tatar dari Kekhanan Krimea, satu-satunya pewaris Angkatan Kencana yang tinggal, terus menyerbu Rusia Selatan. Demi memulihkan kekhanan Volga, warga Krimea dan sekutu mereka dari Uthmaniyyah menyerang Rusia tengah dan juga mampu membakar kota Moscow pada tahun 1571. Bagaimanapun, pada tahun berikutnya, tentera penyerang yang besar itu ditewaskan secukup-cukupnya oleh warga Rusia di Pertempuran Molodi yang menghapuskan ancaman perluasan Uthmaniyyah-Krimea ke dalam Rusia buat selamanya. Bagaimanapun, serangan Krimea berterusan hingga akhir abad ke-17, namun pembinaan perkubuan baru merentasi Rusia Selatan, seperti Garisan Abatis Besar, menyempitkan kawasan yang terdedah kepada serangan tanpa putus-putus.

Kematian putera-putera Ivan menandakan berakhirnya Wangsa Rurik yang lama pada tahun 1598, ditambah pula dengan kebuluran 1601–03 yang menyebabkan Rusia dilanda perang saudara, pemerintahan pengaku raja serta campur tangan kuasa asing ketika Zaman Penderitaan pada awal abad ke-17. Sesetengah kawasan Rusia diduduki oleh Komanwel Poland-Lithuania, termasuk Moscow.

Pada tahun 1612, bangsa Poland akhirnya dipaksa berundur oleh kor-kor sukarelawan Rusia yang diketuai oleh dua orang perwira negara, iaitu seorang saudagar bernama Kuzma Minin dan Putera Dmitry Pozharsky.

Wangsa Romanov mewarisi takhta pada tahun 1613 atas keputusan Zemsky Sobor, maka negara ini memulakan pemulihannya dari kemelut secara beransur-ansur.

Rusia meneruskan peluasan wilayahnya sepanjang abad ke-17, iaitu zaman Kossak. Kossak merupakan kaum pahlawan yang tersusun kepada masyarakat ketenteraan yang seakan-akan lanun dan peneroka Dunia Baru.

Pada tahun 1648, golongan petani Ukraine menyertai Kossak Zaporozhia untuk menentang pemerintahan Poland-Lithuania dalam Pemberontakan Khmelnytsky atas sebab penindasan sosial dan keagamaan yang dialami di bawah pemerintahan Poland. Pada tahun 1654, pemimpin Ukraine, Bohdan Khmelnytsky, menawarkan supaya Ukraine dinaungi oleh Tsar Rusia, Aleksey I.

Penerimaan tawaran ini oleh Aleksey menimbulkan satu lagi Perang Rusia-Poland (1654–1667). Akhirnya, Ukraine terpecah di sepanjang Sungai Dnieper, meninggalkan bahagian barat (atau Ukraine tebing kanan) di bawah pemerintahan Poland dan bahagian timur (Ukraine tebing kiri dan Kiev) di bawah pemerintahan Rusia. Kemudian, pada tahun 1670–71, puak Kossak Donpimpinan Stenka Razin melancarkan pemberontakan besar-besaran di kawasan Volga, tetapi dipatahkan oleh bala tentera Tsar.

Di timur, penjelajahan dan penjajahan kawasan Siberia yang terbentang luas di Rusia diterajui oleh kaum Kossak yang berburu demi bulu dan gading yang bernilai. Peneroka Rusia bertolak ke arah timur terutamanya sepanjang Laluan Sungai Siberia. Menjelang pertengahan abad ke-17, kini terdapat petempatan Rusia di Siberia Timur di Semenanjung Chukchi di sepanjang Sungai Amur , serta di pantai Pasifik. Pada tahun 1648, Selat Bering di antara Asia dan Amerika Utara diseberangi buat julung kalinya oleh Fedot Popov dan Semyon Dezhnyov.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-5-2014 03:18 PM | Show all posts

Empayar Rusia



Empayar Rusia

Di bawah pemerintahan Peter Agung, Rusia diisytiharkan sebagai sebuah Empayar pada tahun 1721, sambil diakui sebagai sebuah kuasa dunia. Peter yang memerintah dari tahun 1682 hingga 1725, menewaskan Sweden dalam Perang Utara Besar lalu memaksa negara lawan itu menyerahkan Karelia Barat dan Ingria (dua kawasan yang dihilangi oleh Rusia pada Zaman Penderitaan),dan juga Estland dan Livland, sekaligus menjamin laluan Rusia ke laut dan perdagangan laut.[40]Di Laut Baltik, Peter menubuhkan ibu kota baru bernama St. Petersburg yang kemudiannya bergelarJendela ke Eropah buat Rusia. Usaha pembaharuan Peter Agung menyerikan Rusia dengan pengaruh kebudayaan Eropah Barat.

Pemerintahan puteri Peter I, Elizaveta pada tahun 1741–62 menyaksikan Rusia terjebak dalam Perang Tujuh Tahun (1756–63). Dalam pertempuran ini, Rusia mengilhakkan Prusia Timur untuk masa yang singkat dan juga menawan Berlin. Bagaimanapun, selepas Elizaveta mangkat, kesemua taklukan ini dipulangkan kepada Kerajaan Prusia oleh Peter III dari Rusia, seorang penyokong Prusia.

Yekaterina Agung yang memerintah pada 1762–96, menyaksikan Zaman Kesedaran Rusia. Baginda meluaskan penguasaan politik Rusia ke atas Komanwel Poland-Lithuania lalu menyerap kebanyakan wilayahnya ke dalam Rusia ketika Pemecahan Poland, sekaligus mengalihkan sempadan Rusia ke arah barat hingga Eropah Tengah. Di selatan, selepas berjaya memerangi Empayar Uthmaniyyah dalam Perang Rusia-Turki, Yekaterina meluaskan lagi wilayah Rusia hingga Laut Hitam lalu mengalahkan Kekhanan Krimea. Kesan kemenangan ke atas Uthmaniyyah, menjelang awal abad ke-19, Rusia turut menambah wilayahnya di Kaukasus Selatan. Ini berterusan dengan perampasan Finland oleh Alexander I (1801–25) daripada kerajaan Sweden yang lumpuh pada tahun 1809, serta Bessarabia daripada Uthmaniyyah pada tahun 1812. Pada masa yang sama, Rusia menjajah Alaska dan juga mendirikan petempatan di California, misalnya Fort Ross.

Pada tahun 1803–06, kali pertamanya orang Rusia berlayar mengelilingi bumi, disusuli lagi oleh ramai lagi penjelajah laut Rusia yang handalan. Pada tahun 1820, sebuah ekspedisi Rusia menemui benua Antartika.

Dalam perikatan dengan pelbagai negara Eropah, Rusia melawan Perancis yang diketuai oleh Napoleon.Serangan Perancis terhadap Rusia di kemuncak kekuasaan Napoleon pada tahun 1812, menemui kegagalan teruk kerana mudah dipatahkan oleh pertahanan yang amat kukuh serta musim sejuk yang melampau di Rusia, lebih-lebih lagi lebih 95% angkatan Grande Armée se-Eropah gugur.Tentera Rusia yang dipimpin oleh Mikhail Kutuzov dan Barclay de Tolly mengusir Napoleon dari negara lalu berarak merentasi Eropah dalam Perang Campuran Keenam sebelum memasuki Paris. Alexander I mengetuai perwakilan Rusia di Kongres Vienna yang menentukan peta Eropah pasca-Napoleon.

Para pegawai Perang Napoleon membawa balik gagasan liberalisme ke Rusia lalu cuba mengehadkan kuasa Tsar tetapi gagal dalam pemberontakan Disembris pada tahun 1825. Pada akhir pemerintahan yang Nikolai I(1825–55) yang konservatif, zaman kemuncak kekuasaan dan pengaruh Rusia di Eropah diganggu oleh kekalahan dalam Perang Krimea. Dari tahun 1847 hingga 1851, wabak besar taun Asiatik melanda seluruh Rusia dan meragut kira-kira sejuta nyawa.

Pewaris Nikolas, Alexander II (1855–81) melakukan perubahan besar dalam negara, termasuk pembaharuan pembebasan 1861. Pembaharuan Besar ini mendorong pengindustrian serta memodenkan tentera Rusia yang berjaya membebaskan Bulgaria daripada pemerintahan Uthmaniyyah dalam Perang Rusia-Turki 1877–78.

Pada lewat abad ke-19, bangkitnya ramai pergerakan sosialis di Rusia. Pada tahun 1881, Alexander II dibunuh oleh gerila revolusi lalu diwarisi oleh puteranya, Alexander III (1881–94) yang pemerintahannya kurang liberal tetapi lebih damai. Maharaja Rusia terakhir, Nikolai II (1894–1917) tidak berupaya mencegah peristiwa-peristiwa Revolusi Rusia 1905 yang dicetuskan oleh kegagalan dalam Perang Rusia-Jepun dan insiden demonstrasi yang dikenali sebagai Ahad Berdarah. Walaupun pemberontakan dapat dipatahkan, namun kerajaan terpasksa menyerahkan usaha pembaharuan besarnya, termasuk memberikan kebebasan bersuara dan berhimpun, membenarkan parti-parti politik, serta membentuk badan perundangan berwakil pilihan iaitu Duma Negara Empayar Rusia. Penghijrahan ke Siberia makin menjadi-jadi pada awal abad ke-20, terutamanya ketika pembaharuan agraria Stolypin yang menarik lebih empat juta penghuni ke Siberia pada tahun 1906 hingga 1914.

Pada tahun 1914, Rusia menyertai Perang Dunia Pertama sebagai balasan kepada pengisytiharan perang Austria ke atas sekutu Rusia, Serbia lalu berjuang di pelbagai medan pertempuran walaupun terpencil daripada sekutu-sekutunya dalam Pakatan Bertiga. Pada tahun 1916, Serangan Brusilov oleh Tentera Rusia nyaris menghancurkan seluruh tentera Austria-Hungary. Bagaimanapun, ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan yang sudah menular diburukkan lagi oleh perbelanjaan peperangan yang makin tinggi, pengorbanan yang makin ramai, serta desas-desus rasuah dan penderhakaan. Segala ini membentuk suasana Revolusi Rusia 1917.

Revolusi Februari memaksa Nikolai II supaya turun takhta; kemudian, baginda sekerabat dipenjarakan lalu dihukum mati ketika Perang Saudara Rusia. Pemerintahan raja diganti oleh sebuah parti campuran goyah yang mengakui dirinya sebagai Kerajaan Sementara. Manakala itu, wujudnya sebuah pemerintahan sosialis alternatif yang wujud di sampingnya, iaitu Soviet Petrograd yang berkuasa melalui majlis-majlis buruh dan petani lantikan demokrasi yang bergelar Soviet. Pemerintahan kuasa-kuasa baru ini hanya memburukkan krisis di negara daripada meleraikannya. Akhirnya, Revolusi Oktober pimpinan ketua Bolshevik, Vladimir Lenin, menggulingkan Kerajaan Sementara lalu membentuk negara sosialis yang sulung di dunia.




Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-5-2014 03:25 PM | Show all posts

Zaman Soviet



Zaman Soviet

Selepas Revolusi Oktober, terletusnya satu perang saudara antara gerakan Putih yang anti-komunis dan rejim baru dengan Tentera Merah. Rusia melepaskan wilayah Ukraine, Poland, Baltik, dan Finland dengan menandatangani Perjanjian Brest-Litovsk yang mengakhiri ketegangan dengan Kuasa-Kuasa Pusat pada Perang Dunia Pertama.

Kuasa Berikat melancarkan military intervention untuk menyokong tentera anti-Komunis tetapi gagal, manakala kedua-dua pihak Bolshevik dan gerakan Putih menjalankan kempen mengusir dan menghukum mati satu sama lain yang masing-masing dikenali sebagai Keganasan Merah dan Keganasan Putih.

Pada akhir perang saudara, ekonomi dan prasarana Rusia mengalami kerosakan teruk. Jutaan orang terpaksa meninggalkan Rusia, malahan kebuluran Povolzhye meragut seramai 5 juta nyawa.

Republik Sosialis Persekutuan Soviet Rusia (yang dipanggil Republik Soviet Persekutuan Sosialis Rusiaketika itu) bersama tiga lagi republik Soviet membentuk Kesatuan Republik Sosialis Soviet (KRSS) pada 30 Disember 1922. Daripada 15 republik Kesatuan Soviet, RSPS Rusia adalah yang terbesar dari segi keluasan serta diduduki lebih separuh jumlah penduduk KRSS, maka mendominasi kesatuan itu dari mula hingga hujung sejarahnya selama 69 tahun.

Selepas Lenin meninggal dunia pada tahun 1924, Joseph Stalin, seorang Setiausaha Am Parti Komunis yang terpilih, berjaya mematahkan semua kumpulan pembangkang dalam parti serta mengumpul sebanyak mana kuasa dalam tangannya.

Leon Trotsky, penyokong utama revolusi dunia, dibuang negara dari Kesatuan Soviet pada tahun 1929, dan gagasan Stalin tentang sosialisme dalam satu negara menjadi keutamaan. Pergelutan dalaman yang berterusan dalam parti Bolshevik berpuncak dalam Pembersihan Besar (1937–38), zaman penindasan besar-besaran yang menyebabkan ratus ribuan rakyat dihukum mati, termasuk ketua tentera yang disabitkan atas cubaan merampas kuasa.

Pemerintahan Soviet melancarkan sistem ekonomi terancang, pengindustrian sebuah negara kedesaan, serta pengkolektifan sektor pertaniannya. Pada zaman perubahan ekonomi dan sosial yang deras ini, jutaan rakyat dihantar ke kem buruh hukuman,termasuk ramai tahanan politik, dan jutaan lagi diusir ke kawasan terpencil dalam Kesatuan Soviet.

Kecelaruan pertanian negara dalam peralihan serta dasar-dasar negara yang kejam dan bencana kemarau membawa kepada kebuluran 1932–1933.

Walaupun terpaksa membayar harga yang mahal sekali, Kesatuan Soviet berubah daripada sebuah ekonomi agraria menjadi kuasa perindustrian besar dalam masa yang singkat.



Dasar Beralah Great Britain dan Perancis terhadap pengilhakan Ruhr, Austria dan Czechoslovakia oleh Adolf Hitler membesarkan kekuatan Jerman Nazi sambil memberikan ancaman perang kepada Kesatuan Soviet. Pada masa yang sama, Jerman bersekutu dengan Empayar Jepun, sebuah lagi lawan KRSS di Timur Jauh dan musuh terbuka dalam Perang Sempadan Soviet–Jepun pada tahun 1938–39.

Pada Ogos 1939, setelah gagal sekali lagi dalam cubaan menjalin sekutuan anti-Nazi dengan Britain dan Perancis, pemerintahan Soviet bersetuju untuk mencapai Pakatan Molotov-Ribbentrop dengan Jerman, menjanjikan tiada penceroboh sesama dua negara serta membahagikan lingkungan pengaruh masing-masing di Eropah Timur. Apabila Hitler menakluki Poland, Perancis dan negara-negara lain yang bertindak dalam satu barisan pada permulaan Perang Dunia Kedua, KRSS mampu membina tenteranya dan menawan semula beberapa bekas wilayah Empayar Rusia ketika menyerang Poland dan Perang Musim Sejuk.

Pada 22 Jun 1941, Jerman Nazi memungkiri perjanjian tidak menceroboh lalu menyerang Kesatuan Soviet dengan angkatan penyerang yang terbesar dan paling hebat dalam sejarah manusia, sekaligus membuka medan pertempuran terbesar dalam Perang Dunia Kedua. Walaupun tentera Jerman mengecapi kejayaan besar pada awalnya, namun kemaraan mereka terhalang dalam Pertempuran Moscow.

Selepas itu, tentera Jerman mengalami kekalahan demi kekalahan teruk, bermula dengan Pertempuran Stalingrad pada musim sejuk tahun 1942–43, diikuti oleh Pertempuran Kursk pada musim panas 1943, dan satu lagi kebuntuan dalam Pengepungan Leningrad, apabila kota tersebut dikepung sepenuhnya atas darat oleh tentera Jerman dan Finland pada tahun 1941–44, menyebabkan warganya kebuluran dan lebih sejuta orang mati tetapi tidak menyerah kalah.

Di bawah pentadbiran Stalin serta kepimpinan para komander seperti Georgy Zhukov dan Konstantin Rokossovsky, tentera Soviet berarak melalui Eropah Timur pada tahun 1944–45 lalu menawan Berlin pada Mei 1945. Pada Ogos 1945, tentera Soviet mengusir pemerintah Jepun dari Manchukuo di China dan North Korea untuk melengkapi kemenangan Pihak Berikat ke atas Kuasa Paksi.


Zaman Perang Dunia Kedua pada tahun 1941–1945 dikenali di Rusia sebagai Perang Patriotik Besar. Dalam pertempuran ini yang menyaksikan antara operasi-operasi tempur yang paling dahsyat dalam sejarah manusia, jumlah kematian tentera dan orang awam Soviet masing-masing mencecah 10.6 juta dan 15.9 juta, iaitu kira-kira satu pertiga semua korban Perang Dunia Kedua. Ekonomi dan prasarana Soviet mengalami kemusnahan besar-besaran tetapi Kesatuan Soviet bangkit sebagai kuasa terbesar yang diakui ramai.

Tentera Merah menduduki Eropah Timur selepas peperangan, termasuk Jerman Timur. Pemerintahan-pemerintahan sosialis tanggungan diasaskan di negara-negara satelit blok Timur. Selaku negara bersenjata nuklear kedua di dunia, KRSS menjalin Pakatan Warsaw dan menyertai perjuangan demi penguasaan dunia yang bergelar Perang Dingin, yang mana Amerika Syarikat dan NATO menjadi lawannya. Kesatuan Soviet mengeksport fahaman Komunis kepada Republik Rakyat China dan Korea Utara yang baru ditubuhkan, disusuli oleh Cuba dan banyak lagi negara lain. Banyak sekali sumber Soviet diperuntukkan dalam bantuan kepada negara-negara sosialis yang lain.

Selepas kematian Stalin dan zaman pemerintahan kolektif yang singkat, pemimpin baru Nikita Khrushchev mengutuk amalan pemujaan tokoh Stalin serta melancarkan dasar "penyahstalinan". Sistem buruh hukuman pula diperbaharui dan ramai banduan yang dilepaskan dan dipulihkan. Pada masa yang sama, ketegangan dengan Amerika Syarikat memuncak lagi apabila kedua-dua negara itu berbalah tentang penghantaran misil Jupiter AS di Turki dan misil Soviet di Cuba.

Pada tahun 1957, Kesatuan Soviet melancarkan satelit buatan manusia yang pertama di dunia, Sputnik 1, maka bermulanya Zaman Angkasa Lepas. Angkasawan Rusia, Yuri Gagarin menjadi manusia pertama yang mengorbit Bumi dengan menaiki kapal angkasa Vostok 1 pada 12 April 1961. Selepas Khrushchev disingkirkan pada tahun 1964, datangnya satu lagi zaman pemerintahan kolektif sehingga Leonid Brezhnev menjadi pemimpin. Zaman 1970-an dan awam 1980-an dikenali sebagai Zaman Genangan apabila pertumbuhan ekonomi menjadi lembap dan dasar-dasar sosial terbantut. Pembaharuan Kosygin yang bertujuan memencarkan sedikit ekonomi Soviet dan menganjakkan penekanan daripada industri berat dan senjata kepada industri ringan dan barangan pengguna, disekat oleh kepimpinan Komunis yang konservatif.

Pada tahun 1979, tentera Soviet memasuki Afghanistan atas permintaan kerajaan komunis negara itu. Zaman pendudukan ini menyusutkan sumber ekonomi dan berlarutan tanpa mencapai hasil politik yang bermakna. Akhirnya, tentera Soviet berundur dari Afghanistan pada tahun 1989 kerana berdepan dengan kecaman antarabangsa, peperangan gerila anti-Soviet yang berulang-ulang (dan dibantu oleh AS), serta kekurangan sokongan warga Soviet.

Mulai tahun 1985, pemimpin Soviet terakhir, Mikhail Gorbachev memperkenalkan dasar-dasar glasnost (keterbukaan) dan perestroika (penstrukturan semula) dalam cubaan memodenkan negara serta menjadikannya lebih demokratik. Bagaimanapun, ini mencetuskan kebangkitan gerakan nasionalis dan pemisah yang kuat-kuat belaka. Sebelum tahun 1991, ekonomi Soviet adalah yang kedua terbesar di dunia,[56] tetapi pada tahun-tahun terakhirnya, Kesatuan Soviet dibelenggui oleh kekurangan barangan di kedai runcit, kurangan belanjawan yang meruncing, dan letusan pertumbuhan bekalan wang yang menyebabkan inflasi.

Pada Ogos 1991, tentera cuba merampas kuasa daripada Gorbachev dengan tujuan memelihara Kesatuan Soviet, tetapi gagal dan menyebabkan pemerintahan sosialis menemui penghujungnya. KRSS dibubarkan dan berpecah menjadi 15 negara pasca-Soviet pada Disember 1991.


Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-5-2014 03:30 PM | Show all posts

Persekutuan Rusia



Persekutuan Rusia

Boris Yeltsin dilantik sebagai Presiden Rusia pada Jun 1991, dalam pilihan raya presiden langsung yang pertama dalam sejarah Rusia. Sewaktu dan selepas perpecahan Soviet, dijalankannya pembaharuan besar-besaran seperti penswastaan dan pembebasan pasaran dan perdagangan,termasuk perubahan-perubahan hebat yang berasaskan "terapi kejutan" yang disyorkan oleh Amerika Syarikat dan Tabung Kewangan Antarabangsa. Malangnya, semua ini mengakibatkan krisis ekonomi besar yang menyaksikan KDNK dan keluaran industri susut 50% dalam tahun 1990-95.

Langkah penswastaan ini banyak mengalihkan kawalan perusahaan daripada agensi kerajaan kepada pihak-pihak yang menjalin hubungan dalam sistem kerajaan. Ramai ahli perniagaan yang baru kaya melarikan tunai dan aset yang bernilai berbilion-bilion ruble keluar dari negara. Kemelesetan negara dan ekonomi menyebabkan runtuhnya perkhidmatan sosial; kadar kelahiran merosot mendadak manakala kadar kematian melambung naik. Jutaan rakyat jatuh ke dalam kancah kemiskinan, dari takat kemiskinan 1.5% pada akhir zaman Soviet, kepada takat 39–49% pada pertengahan tahun 1993.Tahun 1990-an menyaksikan amalan rasuah dan kekacau-bilauan yang melampau, kebangkitan kongsi gelap dan jenayah yang ganas.

Tahun 1990-an juga dibelenggui oleh pertempuran bersenjata di Kaukasus Utara dalam bentuk perkelahian etnik tempatan dan pemberontakan pemisah Islamis. Semenjak puak pemisah Chechnya mengiystiharkan kemerdekaan pada awal 1990-an, mereka berjuang dalam perang gerila sekejap-sekejap ke atas tentera Rusia. Serangan pengganas terhadap orang awam turut dijalankan oleh para pemisah, khususnya krisis tebusan teater Moscows dan pengepungan sekolah Beslan, yang menyebabkan ratusan orang maut dan menarik perhatian sedunia.

Rusia mengambil alih tanggungjawab menjelaskan hutang luaran KRSS, walaupun jumlah penduduknya hanya separuh daripada KRSS sewaktu dibubarkan. Kurangan belanjawan yang melangit menyebabkan krisis kewangan pada tahun 1998 dan menyebabkan KDNK merosot lagi.

Pada 31 Disember 1999, Presiden Yeltsin menyerahkan jawatannya kepada Perdana Menteri yang baru dilantik,Vladimir Putin. Putin kemudiannya memenangi pilihan raya presiden 2000. Beliau menumpaskan pemberontakan Chechnya, namun keganasan sekali-sekala berlaku di seluruh Kaukasus Utara. Harga minyak yang melambung tinggi dan mata wang yang lemah pada mulanya disusuli oleh peningkatan permintaan, penggunaan dan pelaburan dalam negara, telah membantu ekonomi Rusia tumbuh selama sembilan tahun berturut-turut, maka menambah baik taraf hidup serta menyerlahkan pengaruh Rusia di mata dunia. Biarpun kebanyakan pembaharuan yang dilakukan oleh pemerintahan Putin dikecam kerana tidak demokratik oleh negara-negara Barat, namun kepimpinan Putin disanjungi ramai di Rusia kerana berjaya mengembalikan ketenteraman, kestabilan dan kemajuan negara.

Pada 2 Mac 2008, Dmitry Medvedev dipilih untuk menjadi Presiden Rusia, manakala Putin menjadi Perdana Menteri.


Reply

Use magic Report

Post time 16-5-2014 04:26 PM | Show all posts
nice info..
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 18-5-2014 10:20 PM | Show all posts
Ok, aku merge semua thread pasal russia ko menjadi satu thread tentang russia. nak kredit aku buleh bagi. tak yah buka thread banyak banyak lenkali. nah kredit sebakul. keh keh keh.
Reply

Use magic Report

Post time 18-5-2014 10:28 PM | Show all posts
dear tuan tanah, thread thread ko dah banyak ilmiah. tapi avatar tak berapa semengah. keh keh keh. tolong la tukar avatar ko kepada yg elok sikit.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 19-5-2014 12:51 PM | Show all posts
winamp05 posted on 18-5-2014 10:28 PM
dear tuan tanah, thread thread ko dah banyak ilmiah. tapi avatar tak berapa semengah. keh keh keh. t ...

2 kan abg lokman mane leh tukar avatar,dia ckp kalu avatar lain xserasi ngn dia...
Reply

Use magic Report

Post time 19-5-2014 02:12 PM | Show all posts
anak mata aku gigih membaca info..skali bile anak mata terpaku kat avatar TT, aku tertelan air liur..terasa umpama aku baru lepas hidu ketiak busuk orang tu..euwww....

btw, nice info..aku memang nak tau sangat pasal Rusia ni sbb susah betul nak faham pasa negara komunis yang satu ni..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-5-2014 10:54 AM | Show all posts
winamp05 posted on 18-5-2014 10:28 PM
dear tuan tanah, thread thread ko dah banyak ilmiah. tapi avatar tak berapa semengah. keh keh keh. t ...

hey abang pestol punya avatar jangan nk pertikaikan. Original Trade mark tu mana le tuka

abang ni bekas pensyarah kalu la u percaya..
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-5-2014 10:56 AM | Show all posts
skuter_buruk146 posted on 19-5-2014 02:12 PM
anak mata aku gigih membaca info..skali bile anak mata terpaku kat avatar TT, aku tertelan air liur. ...




russia ni mmg power dalam weapon.
Reply

Use magic Report

Post time 20-5-2014 11:17 AM | Show all posts
pestol posted on 20-5-2014 10:54 AM
hey abang pestol punya avatar jangan nk pertikaikan. Original Trade mark tu mana le tuka

   ...

tak kesah la bekas pensyarah sekali pun. saya pun pensyarah juga. keh keh keh. tapi kasi la trademark kita nampak semengah sikit. makan masa org nak kenal kita dengan trademark baru. tapi lama lama org tau juga.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-5-2014 11:23 AM | Show all posts
winamp05 posted on 20-5-2014 11:17 AM
tak kesah la bekas pensyarah sekali pun. saya pun pensyarah juga. keh keh keh. tapi kasi la tradem ...

xmo.....ni adalah gmbar abang yang paling best in this forum. i wouldnt change anymore please... U mana u mensyarah?
Reply

Use magic Report

Post time 20-5-2014 12:28 PM | Show all posts
pestol posted on 20-5-2014 11:23 AM
xmo.....ni adalah gmbar abang yang paling best in this forum. i wouldnt change anymore  please. ...

U Biarlah Rahsia Keh keh keh

Reply

Use magic Report

Post time 23-5-2014 03:55 AM | Show all posts
pernah terbaca sewaktu raja rusia bernama vladimir memilih agama antara kristian dan islam...dia memilih kristian kerana islam tidak membenarkan penganutnya minum arak...nanti saya try cari artikel tu...
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 23-5-2014 04:03 AM | Show all posts
Holy Vladimir

According to legend, Vladimir had to choose between three religions: Christianity, Islam and Judaism. It was also important to decide what kind of Christianity was better for Russia: The so-called Latin Orthodox – Catholicism – or the Eastern Orthodox.

When neighboring nations heard about Prince Vladimir’s intention to adopt a national religion, they sent ambassadors to persuade the Prince to adopt their faith. Vladimir listened carefully to them all.  

The very first messengers came from the Volga Bulgars, who had already accepted Islam. But Vladimir saw their prohibition laws as a strain on the Russian soul. The ambassadors of the Western Catholic Christians also failed, because their faith had been rejected once already by Vladimir’s ancestors. Judaism was rejected as “the religion which did not even help the Jews to keep their own land.” Vladimir finally chose Eastern Byzantine Christianity. For many decades, Russia and Byzantine had close political and commercial relations.

http://russiapedia.rt.com/promin ... thology/vladimir-i/
Reply

Use magic Report

Post time 30-7-2014 05:13 PM | Show all posts
winamp05 posted on 18-5-2014 10:20 PM
Ok, aku merge semua thread pasal russia ko menjadi satu thread tentang russia. nak kredit aku buleh  ...

ni ada lagi satu belum merge
http://mforum.cari.com.my/forum. ... &extra=page%3D6

thread by pestol jugak
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 08:04 AM GMT+8 , Processed in 0.102364 second(s), 34 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list