|
Penyanyi Rock tanah air Datuk Ramli Sarip bersama Ahli Lembaga Pengarah Koloni Karyawan Aman Jaya (Port) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (tengah) dan Aminudin Hashim (kiri) pada sidang media di Ipoh mengenai Program Blues Buat Teman Tour 2014 yang akan diadakan pada 22 Mac 2014 ini.
Ramli Sarip temui peminat di Ipoh 22 Mac
PENYANYI rock lagenda Datuk Ramli Sarip, juga dikenali sebagai "PapaRock", akan menemui peminatnya di Perak 22 Mac ini dalam siri jelajahnya 'Blues Buat Teman' yang bermula bulan lepas.
Ramli berkata Ipoh mempunyai erti tersendiri baginya dan menyifatkan konsert yang diadakan kelak sebagai perjalanan jiwa dan apresiasi muzik untuk penonton.
Konsert ini akan berlangsung selama lebih kurang tiga jam dan kami berjanji akan memberi persembahan terbaik bersama The Soul Journey, sebuah band tempatan yang dianggotai mereka yang berpengalaman lebih 35 tahun dalam bidang muzik," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ramli yang telah menghasilkan 12 album solo dan dianggap sebagai perintis gerakan rock di Singapura, berkata melalui siri jelajah ini juga beliau ingin mencungkil bakat tempatan melalui bengkel muzik yang turut dikendalikan rakannya, pemain gitar bertaraf antarabangsa, Man Kidal.
Konsert ini diadakan dengan kerjasama People of Respected Talent (PORT), sebuah pertubuhan milik kerajaan negeri Perak yang ditubuhkan pada 2011 sebagai platform untuk menganjurkan acara berunsur kesenian.
Katanya bengkel muzik itu terhad kepada 50 peserta. Berlangsung di Kinta Riverfront Hotel di sini, tiket untuk menyaksikan konsert istimwewa ini berharga RM53, yang boleh dibeli di PORT dan beberapa cawangan di seluruh Perak.
Konsert itu juga akan menampilkan beberapa artis tempatan terkenal seperti Man Kidal, Tom Anuar Roza Rasul dan penyanyi kelahiran Perak, Mus May. - Bernama
|
|