|
Oleh Michelle Gun
Konsert Muzika Ekstravaganza kembali untuk tahun kelapan dengan acara kali ini menyaksikan persembahan penghormatan kepada selebriti terkenal Datuk Sheila Majid dan Anita Sarawak.
Acara anjuran bersama stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan syarikat media Singapura, Mediacorp turut menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah tahun ini.
Menampilkan barisan bintang popular tanah air dan Singapura, konsert berkenaan disiarkan secara langsung dan serentak menerusi saluran TV2, Astro Muzik Aktif serta Mediacorp TV12, Suria pada jam 8.30 malam ini.
Bertemakan Power Of Dream atau Kuasa Impian, pentas Muzika Ekstravaganza digegarkan dengan persembahan artis Malaysia iaitu Black, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Soo Wincci, Mawi, RJ dan kumpulan Paladdin.
SEBAHAGIAN artis yang akan mengambil bahagian di dalam konsert malam ini.
Manakala barisan pe–nyanyi dari Singapura adalah Awi Rafael, Aliff Aziz, Sleeq, Maiya Rahman dan Daly Filsuf.
Saksikan gandingan pengacara Muaz yang mewakili Malaysia bersama selebriti terkenal Singapura, Huda Ali selain persembahan lawak daripada Apek dan Azrul.
Dikenali sebagai Rampaisari pada 2005, konsert tahunan itu akan dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Menteri Komunikasi dan Informasi Singapura Dr Yaacob Ibrahim.
Timbalan Ketua Pe–ngarah Penyiaran Strategik RTM Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, konsert kali ini lebih menonjolkan artis muda berjaya dengan berbekalkan semangat dan impian mereka dalam industri seni tanah air.
“Selain menggabungkan artis dari kedua-dua negara, rancangan ini diserikan dengan persembahan instrumental solo untuk lebih menarik ditontoni,” katanya di sidang media Muzika Ekstravaganza, kelmarin.
Beliau berkata, tema Power Of Dream dipilih sejajar dengan perkembangan rangkaian media sosial seperti YouTube, Twitter dan Facebook yang menjadi landasan luas bagi pasaran komoditi seni Malaysia serta Singapura.
Turut hadir pada sidang media itu Naib Presiden Kanan Mediacorp Suhaimi Jais dan Naib Presidennya, Sabariah Ramilan.
Credits: hmetro.com.my |
|