MUAR: Polis menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM52,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Parit Bulat, dekat Parit Jawa, di sini, Selasa lalu. Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam dan risikan anggotanya sebelum menyerbu rumah berkenaan pada 10.50 pagi.
Kata Azman, pemeriksaan lanjut di rumah itu menemui dadah syabu seberat 87gram (gm), ganja (370gm) serta 80 biji pil ecstacy.
"Polis turut menemui sepucuk pistol angin dan satu kelopak peluru berisi sebiji 'Ball Bearing' yang disembunyikan di rumah berkenaan.
"Dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 4,200 penagih di daerah ini dan kawasan berhampiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, kelmarin.
Azman berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 40-an dan mereka dipercayai dalang utama sindiket pengedaran itu.
Katanya, susulan penahanan itu, pihaknya turut menahan tujuh lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an dalam beberapa tangkapan berasingan di sekitar daerah ini.
"Tujuh lelaki berkenaan ditahan kerana cuba mendapatkan bekalan dadah daripada suspek. Ujian air kencing kesemua 10 suspek itu juga didapati positif dadah jenis syabu bagaimanapun hanya seorang suspek (berusia 40-an) memiliki rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah kekerasan,"
|