- Jasni (kiri) menerima sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai daripada Hanif (kanan) ketika berkunjung ke rumahnya, semalam.
[url=]<[/url] 1 / 1 [url=]>[/url]
HULU BERNAM – Seorang isteri tabah menjaga suaminya yang kini terlantar setelah mengalami serangan strok sejak awal November tahun lalu.
Jasni Mohamed Junid, 44, kini bergantung harap pada sumber pendapatan dengan menjual nasi lemak setelah suaminya, Samsir Zainal Abidin, 49, yang menjadi tempatnya bergantung kini tidak dapat bergerak.
Menurutnya, suaminya berkhidmat selama 26 tahun sebagai kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
"Saya jual nasi lemak di tepi jalan dekat perumahan ini saja. Tak banyak untung pun tapi cukuplah dari langsung tidak ada," katanya yang ditemui ketika kunjungan Belia Sekopi Daerah Hulu Selangor (Belia Sekopi) di rumahnya di Taman Bernam Jaya, semalam.
Jasni berkata, suaminya mula dikesan mengalami tanda-tanda strok ketika kembali dari berkursus pada awal September 2013.
"Suami dilihat tak dapat seimbangkan pergerakan ketika berjalan dan hari demi hari tahap kesihatannya kian menurun.
"Saya bawa suami buat pemeriksaan di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) dan kami diminta buat temu janji untuk rawatan seterusnya di Hospital Sungai Buloh (HSB). Selang beberapa hari kemudian, suami mengalami serangan strok yang teruk sehingga dia koma selama dua hari,” katanya.
Katanya, suaminya terpaksa menjalani pembedahan pada 24 November 2013 setelah mengalami darah beku pada saluran darah di kepala, paru-paru dan paha.
"Strok yang menyerang suami berpunca dari darah beku tersebut. Selepas selesai menjalani rawatan di HSB, suami dibenarkan pulang, namun belum pulih sepenuhnya dan masih bergantung pada bekalan oksigen.
"Tak ada rawatan lain yang boleh dibuat kecuali susulan pada April nanti. Saya akan berusaha dapatkan rawatan alternatif untuk memulihkan sepenuhnya penyakit suami," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Belia Sekopi, Hanif Khan Sairan berkata, kunjungan mereka bukan saja untuk memberi dan menyampaikan sumbangan makanan keperluan harian daripada Penaung Belia Sekopi, Zam Hasri Jaafar, tetapi untuk mengajak lebih ramai pihak untuk membantu.
“Kami melihat Samsir memerlukan kerusi roda untuk membantu pergerakannya selain bantuan susu dan kain lampin dewasa.
“Kami harap ada badan kebajikan, pertubuhan bukan kerajaan, orang berkemampuan yang prihatin bagi memberi sumbangan untuk keperluan harian keluarga ini,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/ju ... a-keluarga-1.239952
|