|
Trofi Piala Dunia FIFA 2014
KUALA LUMPUR - Peminat bola sepak tempatan sekali lagi berpeluang melihat dari dekat trofi bola sepak berprestij yang menjadi dambaan dunia, trofi Piala Dunia, yang akan dipamer di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini 5 Januari ini.
Menurut Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Kuala Lumpur antara lokasi persinggahan trofi itu dalam Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA 2014.
Trofi itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 3 Januari dan ini diikuti pelbagai aktiviti yang diatur oleh Coca-Cola, selaku rakan kongsi korporat FIFA.
Ketika ini trofi itu berada di Myanmar dan akan ke Thailand esok dan berada di sana selama tiga hari sebelum ke Vietnam (31 Disember hingga 2 Januari).
Kembara trofi itu bermula dari Rio de Janeiro, Brazil, atau secara tepatnya dari lokasi patung Christ the Redeemer, monumen terkenal di bandar raya tersebut, pada 12 September lalu.
Jelajahnya meliputi 88 negara dan wilayah, dengan jarak perjalanan keseluruhan kira-kira 150,000 kilometer dalam tempoh 267 hari sebelum kembali ke Brazil yang akan menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Dunia 2014. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/pe ... ia-di-pwtc-1.234782
|
|