PUTRAJAYA - Kenaikan tarif elektrik baharu berkuat kuasa 1 Jan 2014 masih tidak mencukupi untuk menampung kos dan perbelanjaan Tenaga Nasional Bhd (TNB). Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan berkata, TNB masih perlu meminjam untuk bangunkan infrastruktur berikutan infrastruktur sedia ada di Semenanjung Malaysia sudah berusia. "Sistem pembekalan atau penghantaran baharu perlu dibangunkan dari selatan ke Lembah Klang yang memerlukan perbelanjaan berbilion-bilion ringgit. "Begitu juga loji jana kuasa baharu perlu dibina dan ini membabitkan banyak sumber kewangan untuk 20 tahun akan datang terutama semakin banyak loji jana kuasa ditamatkan operasi akibat tamat tempoh," katanya pada 'Sesi Penerangan Penetapan Tarif Elektrik Di Semenanjung Malaysia' disertai lebih 40 wakil dari Persatuan Industri dan Pengguna di sini. Menurut Ahmad Fauzi, TNB membelanjakan sekitar RM6 bilion hingga RM 7 bilion setiap tahun untuk perbelanjaan modal dan penyenggaraan infrastruktur berbanding keuntungan direkodkan tahun ini sebanyak RM4.6 bilion. - Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_09.htm#ixzz2nuE0Pkid
Hakcipta terpelihara
|