- Pengkaderan Umno: Media sosial dioptimum
- Datu
- k Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
[url=]<[/url] 1 / 1 [url=]>[/url]
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata media sosial akan menjadi satu jambatan penting dalam usaha membentuk generasi pelapis melalui program pengkaderan parti.
Beliau berkata ini antara rombakan yang akan dibuat terhadap modul pengkaderan Umno supaya seiring dengan peredaran zaman.
"Saya diberi tanggungjawab melaksanakan sistem pengkaderan dan saya fikir modulnya perlu diubah. Pada 2018 kita akan ada lebih kurang lapan juta pengundi baharu.
"Kita tahu pengundi baharu ada cita rasa dan pola pemikiran yang berbeza, jadi kita kena beri pendedahan terutama dalam aspek pemberian maklumat melalui media sosial," katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan BernamaTV di Wisma Bernama di sini malam tadi.
Menurutnya lagi, usaha akan dibuat untuk memperkukuh kumpulan media baharu Umno dari kalangan anggota parti itu dan Barisan Nasional.
"Selama ini kita defensif, bila orang serang baru nak jawab. Tapi dalam perkara ini (pengkaderan), kita tak perlu serang tapi perjelaskan dasar kerajaan dan parti supaya seimbang antara yang hak dan yang batil," jelas Ahmad Zahid.
Ditanya sama ada langkah memperkasa 'cybertroopers' Umno akan membawa kepada pertembungan dengan 'Red Bean Army' yang dikatakan dibelakangi pembangkang, beliau berkata jumlah 'tentera' Umno perlu ditambah untuk terus menguasai khalayak.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas menekankan keperluan mengukuhkan pengkaderan parti dengan mendoktrinkan jati diri Umno kepada para anggota agar budaya kepartian berakar umbi dan terpateri dalam sanubari 'orang Umno' bagi memastikan kelangsungan Umno.
Dalam konteks politik, pengkaderan secara ringkasnya bermaksud program atau agenda yang digariskan untuk mempersiapkan kelompok pemimpin muda dan golongan profesional untuk menjadi generasi pelapis yang benar-benar menghayati ideologi dan roh perjuangan parti. - Bernama
|