|
REMBAU – Seorang bayi berusia dua bulan terselamat dalam kemalangan apabila kereta yang dipandu datuknya terbabas ke kanan jalan selepas mengelak anjing di kilometer 38, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, bayi berkenaan, Kisya Irdina Abu Suffin yang menangis selepas kejadian dikejarkan ke Hospital Tampin oleh orang awam.
Menurut salah seorang mangsa, Nabila Syahira Mohd Ali, 17, ketika kejadian dia bersama empat ahli keluarganya dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor ke rumah saudara mereka di Chembong, Rembau.
“Ketika itu, saya terlelap seketika sebelum terdengar mak, Mariani Mohd Yassin, 50, menjerit ‘abang’ ke arah ayah saya, Mohd Ali Md Kasim, 52. Sedar-sedar sahaja kami sudah terbabas ke kanan jalan dan separuh kereta di dalam longkang.
“Mujur semasa kejadian, mak memegang erat anak buah saya yang baharu berusia dua bulan. Saya bersama kakak, Fatin Nadhirah Mohd Ali, 21, duduk di belakang,” katanya.
Sementara itu, saksi kejadian, Ishak Jamaludin, 23, ketika kejadian, dia sedang mengisi minyak kereta pelanggan dan terdengar bunyi dentuman sebelum melihat sebuah kereta jenis Proton Persona terseret di dalam longkang.
“Saya dan orang awam yang berada di kawasan berhampiran terus berkejar ke kereta berkenaan bagi menyelamatkan mangsa.
“Jika diikutkan memang di kawasan ini sudah banyak berlaku kemalangan, namun ini baharu pertama kali membabitkan tembok keluar kawasan pam minyak Petronas Kota dirempuh," katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, kereta itu dipercayai terbabas ke kanan jalan dan terheret kira-kira empat meter di dalam longkang. Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan serius.
http://www.sinarharian.com.my/ed ... terselamat-1.228892
Last edited by silentwinner on 9-12-2013 01:24 PM
|
|