CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2133|Reply: 0

Jari atau Penyepit

[Copy link]
Post time 7-11-2013 01:39 PM | Show all posts |Read mode
Mungkin bukan pelik lagi melihat orang menyuap makanan terutama nasi menggunakan tangan. Namun pastinya masih ada yang tertanya-tanya sedangkan sudu dan garpu tersedia di depan mata.

Pengalaman seorang teman penulis yang ditanya temannya yang berbangsa Inggeris mengenai cara makan ini, menarik minat untuk kita kongsikan di sini. Wanita asal Scotland itu ingin tahu kenapa makan tidak menggunakan sudu dan garpu sedangkan ia lebih sopan dan bersih.

Teman penulis menjawab.

“Ada tiga sebab, pertama tangan lebih bersih jika dibandingkan sudu yang diguna di kedai makan kerana ia dibasuh sendiri bukan orang lain.


“Kedua, yakin bahawa tangan hanya individu itu saja yang guna, tidak seperti sudu yang dipakai ramai. Ketiga, percaya bahawa tangan lebih bersih kerana belum pernah jatuh dalam longkang,” katanya.


Kebiasaannya, orang Melayu menggunakan tangan untuk bersantap. Tak kira juadah apa sekalipun, ia adalah antara adab yang diamalkan sejak zaman nenek moyang.

Dari sudut sains, makan guna tangan kanan dapat mengaktifkan bahagian kiri otak lalu menimbulkan reaksi positif dalam tubuh manusia. Tambahan pula ketika menjamu selera, makanan mudah dihadam.

Sebaliknya bakal terjadi bila guna tangan kiri di mana lebih berfungsi kepada otak kanan. Difahamkan, ia dikaitkan dengan sifat negatif malah meniru perilaku syaitan yang penuh hasad dengki dan pentingkan diri sendiri.

Bukan itu saja. Rata-rata remaja kini menyatakan bahawa makan guna tangan dianggap kolot dan kekampungan. Bahkan ada yang ‘tak lalu’ makan jika ada orang sekeliling yang makan sehingga jilat jari. Geli-geleman!

Benar, tidak ada salahnya untuk makan menggunakan sudu mahupun garpu terutama jika mengambil makanan dari piring lain.

Secara logiknya, jika anda makan makanan yang berkuah seperti sup, laksa dan kari tentu guna sudu. Bayangkan bila guna tangan pasti orang di sekeliling memandang lebih aneh.

Meskipun itu, ia terpulang kepada cita rasa masing-masing asalkan pandai menjaga kebersihan tangan atau alat makan lain yang digunakan. Penyakit pun sukar untuk menyerang.

Makan guna tangan turut beri kebaikan kerana ia mampu membuatkan seseorang itu merasai benda tajam yang terdapat dalam makanan. Contoh terdekat tulang ikan. Dengan itu dapat hindarkan diri daripada tercekik lalu buat selera makan ‘mati’.

Pakai tangan turut memberikan rasa sedap kepada makanan yang disuap ke mulut tidak seperti sudu yang sudah bercampur dengan bahan logam tertentu. Ada yang beranggapan guna tangan buat perut rasa lebih kenyang.


Sudu atau penyepit

Makan guna sudu dan garpu biasa dilihat ketika menghadiri jamuan rasmi atau makan malam. Tentunya anda tidak mahu dilihat ‘kolot’ guna jari-jari tangan. Namun kalau terhidang dengan daging liat, mulalah terkial-kial untuk memotong.

Memang ada betulnya, guna sudu memudahkan dan jimat masa kerana tidak perlu mencuci tangan sebelum dan selepas makan. Bahkan penulis perhatikan, ada yang mengelap sudu dengan tisu atau sapu tangan bagi memastikan ia bersih sebelum digunakan. Mungkin tidak yakin dengan kebersihan yang diberikan oleh penyedia makanan.

Berbeza penyepit atau lebih dikenali sebagai ‘chopstics’ bagi masyarakat Cina. Sukar bagi mereka yang baru pertama kali menggunakan penyepit sehingga makanan yang diambil kerap terjatuh. Namun kalau sudah biasa, bukan masalahnya. Malah penyepit ini bukan lagi ‘milik’ kaum Cina kerana rata-rata rakyat Malaysia tahu menggunakannya.

Pembantu produksi sebuah syarikat swasta, Darwina Abdul Azizis, 23, akui sukar menggunakan penyepit makanan pada awal percubaannya dan ambil masa untuk pandai pakai perkakas berkembar itu. Namun lama-kelamaan ia seronok menggunakan penyepit ketika menikmati makanan.

“Saya akui, guna penyepit memerlukan masa, tambahan pula pertama kali guna. Sedangkan sebelum ini lebih suka guna tangan atau sudu. Namun Ia terpulang kepada jenis makanan yang diambil.

“Pertama kali mencuba, ayah yang ajar sehingga pandai menggunakannya. Pun begitu, kalau makan nasi lebih suka guna tangan tapi jika membabitkan makanan seperti mi, saya akan guna penyepit,” katanya.

Menurut Nadzirah Mohd Rosli, 23, beliau belajar guna penyepit ketika menonton sebuah drama Cina lalu cuba praktikkan di rumah.

“Setiap petang saya suka tonton drama Cina yang rata-ratanya guna penyepit ketika makan. Jadi dari situ timbul minat untuk cuba pakai sehingga sekarang. Tapi tidaklah semua jenis makanan kerana makan guna tangan lebih mudah kerana ia adalah tradisi masyarakat Melayu kita,” katanya yang membuka perniagaan secara talian Internet.


Adab ketika bersantap

Jika makan secara berkumpulan, perhatikan rakan di sebelah anda sama ada mengikut etika makan yang betul atau tidak. Pun begitu, sekiranya ada tingkah lakunya kurang menyenangkan anda, tegur dengan berhemah. Ada beberapa adab yang boleh membantu rakan remaja ketika menghadiri majlis rasmi.


1. Tas tangan

Tas tangan dan kaum wanita tidak dapat dipisahkan terutama ketika menghadiri majlis rasmi, malah ia harus sedondon dengan pakaian yang digayakan. Jika guna tas tangan besar, letakkan ia di atas lantai sebelah kiri bersebelahan kerusi anda. Sekiranya sederhana besar letakkan di belakang tempat duduk dan jika ia terlalu kecil, letak di bawah napkin atas paha anda.


2. Pilih garpu

Pertama kali menjejakkan kaki ke majlis rasmi, tentu ada tidak betah menggunakan sudu dan garpu. Malah masih ragu-ragu untuk guna yang mana terlebih dulu. Ingatlah, ia harus menggunakan bahagian luar kemudian bahagian dalam.


3. Hirup sup tanpa bunyi

Hirup sup pun ada caranya. Ambil sup harus bermula yang hampir dengan anda dan ke arah luar. Jika ia masih panas tidak sesekali meniup sehingga sejuk. Jamah dulu roti dan jika diberi pembuka selera, letak garpu di dalam mangkuk atau piring.


4. Ambil bahagian kecil roti

Jika ingin makan roti seharusnya ambil bahagian kecil dan letakkan di atas piring anda. Jangan sesekali ambil roti dan terus sapukan mentega di atasnya kerana kelakuan itu tidak sopan di meja makan.


5. Hidangan ayam atau daging


Kebiasaannya garpu akan diletakkan di sebelah kiri dan pisau sebelah kanan anda. Ia memudahkan anda untuk memotong makanan itu. Namun anda boleh mengubah posisi garpu di sebelah kanan jika tidak selesa selepas memotong daging.


6. Jangan makan secara gelojoh

Ketika makan, jangan sesekali mengunyah makanan penuh dalam mulut biar perlahan dan nampak sopan kerana ia turut membuatkan orang sekeliling kurang selesa jika anda berbuat demikian di hadapannya.


7. Jangan letak siku atas meja


Harus diingatkan, ketika sedang menjamu selera, jangan meletakkan siku di atas meja kerana ia menampakkan anda tidak berminat untuk makan. Kemudian tidak menundukkan muka ke piring makan kerana melihatkan diri yang tidak sopan. Gunalah sudu dan garpu yang disediakan di atas meja sebaiknya.


8. Kedudukan napkin lepas makan

Jika sudah habis menikmati makanan yang disediakan, letakkan ia di sebelah kanan anda. Jika ingin ke bilik air pastikan napkin diletakkan atas meja bukannya atas kerusi.


9. Makanan tertumpah

Perkara ini sering terjadi terutama ketika anda sedang rancak bersembang dengan rakan semeja lalu air atau makanan berkuah tumpah atas meja. Jika ia berlaku, minta pelayan membersihkannya sendiri, begitu juga sekiranya napkin jatuh ke lantai.

Sumber : Kosmo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 04:32 AM GMT+8 , Processed in 0.054097 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list