KOTA KINABALU, 29 Oktober - Seorang lelaki ditahan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu di sini manakala tiga lagi rakannya ditahan di lapangan terbang Hong Kong Sabtu lepas, dan polis menemui dadah jenis kokain diikat pada paha mereka.
Kesemua mereka termasuk seorang wanita itu adalah dari Pulau Pinang dan dipercayai anggota sindiket dadah yang sama.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, polis menemui dua kilogram kokain bernilai RM500,000 diikat di kedua-dua paha lelaki yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).
"Lelaki tempatan berusia 31 tahun itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika melepasi pemeriksaan beg dan badan di balai perlepasan untuk penerbangan ke Hong Kong pada 5.45 pagi.
"Pemeriksaan ke atas badan suspek menjumpai empat paket kokain yang dibalut di kedua-dua paha dengan setiap paket seberat 500gm," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - Bernama