Rasanya ramai terhibur menonton aksi comel Izara Aishah, Aeril Zafril dan Fasha Sandha dalam telefilem Cinta Mat Semperit yang ke udara di TV3 pada malam raya lalu. Bagaimanapun, di sebalik kisah ‘comel’ itu, ada perkhabaran kurang indah sampai ke telinga Sha. Khabarnya, ketika penggambaran, ada yang naik angin apabila Izara Aishah beberapa kali datang lambat ke lokasi. Dengarnya, kelewatan itu mengganggu kelancaran jadual penggambaran, malah ada artis terpaksa menunggu lama.
Kalau lambat sejam mungkin boleh dimaafkan, tetapi ini katanya dua hingga tiga jam. Siapa tak naik hantu apabila terpaksa menunggu kemunculan pelakon cantik itu.
Kalau Izara maklumkan awal dia tidak dapat hadir awal, mungkin tidak jadi isu, tetapi apabila dia hanya bersikap selamba apabila sampai ke lokasi seolah-olah tidak buat sebarang kesilapan, itu yang bikin hati orang panas.
Apapun, Sha hanya mendengar dari sebelah pihak. Mungkin Izara ada alasan sendiri mengapa beberapa kali datang lambat sepanjang penggambaran berlangsung.
Manalah tahu dia terikat dengan penggambaran lain dan terpaksa berkejar-kejar dari dua lokasi atau mungkin dia tidak sihat.
Apa punca sebenarnya, hanya Izara ada jawapannya.
|