KUALA LUMPUR - Seorang pegawai pemasaran dan dua rakannya melalui detik mencemaskan apabila disamun sekumpulan lima lelaki bersenjata parang di Lorong Rahim Kajai, Taman Tun Dr. Ismail di sini awal pagi semalam. Kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu berlaku ketika ketiga-tiga mangsa termasuk dua wanita itu sedang minum sebelum didatangi oleh suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna emas. "Suspek yang keluar dari kereta mengacu parang ke arah mangsa yang berusia lingkungan 20-an sambil mengarahkan mereka menyerahkan barang berharga. "Antara barangan yang dilarikan ialah telefon bimbit, kad bank dan wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM6,000." kata satu sumber ketika dihubungi di sini semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
|