Perkenalan SS dengan artis baru biasanya banyak menjurus kepada cerita bagaimana bagusnya bakat mereka, potensi lakonan dan nyanyian serta misi untuk menjadi sehebat Shila Amzah atau Yuna. Itu lebih berfaedah bukan? Namun lain pula halnya yang SS dengar mengenai seorang pelakon baru yang cantik ini kerana awal-awal lagi sudah menerima berita kurang enak mengenai empunya diri.
Bukan SS mahu jatuh hukum terlalu awal namun terkejut juga SS apabila mendapat tahu benda yang negatif mengenai pelakon berkenaan.
Begitulah yang dikhabarkan seorang kawan SS apabila mengetahui secara tidak sengaja perangai pelakon itu yang suka tukar teman lelaki, kata orang macam tukar baju.
Ceritanya, teman SS itu baru-baru ini ada membuat sesi wawancara dengan pelakon berkenaan dan sementara menunggunya bersiap, teman SS terserempak sahabat lamanya lalu berborak.
Dalam rancak bersembang, rupanya kawan kepada kawan SS itu mengenali pelakon berkenaan dan mulalah dia bercerita bahawa dia memang kenal sangat pelakon itu daripada kekasih pelakon cantik itu sendiri.
Kemudian datang pula satu lagi cerita lain. Kata sumber yang baru ini pula, pelakon baru berkenaan sedang menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki kacak dan yang pasti, ia bukan lelaki yang dikatakan oleh sumber SS yang pertama itu.
Nampaknya pelakon wanita baru itu tengah pasang dua teman lelaki pada satu masa. Hai, boleh tahan juga perangai–nya yang suka ada ‘spare parts’ apabila berdampingan.
Apa yang SS harap, bawa-bawalah berfikir dengan waras cik adik oi, bukan apa takut nanti jadi ‘Cerekarama’ pula kalau dua teman lelakinya bertemu serentak. Bukankah lebih baik fokus dulu soal kerja kerana lakonan pun belum teruji lagi.
|