LONDON 18 Sept. - Peminat telefon pintar iPhone 5S mula berkampung di luar kedai utama Apple, di sini semalam menjelang pelancaran rasmi gajet itu pada Jumaat ini. Peminat tegar pertama gajet keluaran syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) itu, mula dikesan memasang khemah di luar kedai gajet berkenaan di Regent Street dan bersedia untuk menjual tapak tersebut pada harga empat angka. Menurut Gad Harari, 17, dia sedang menghabiskan malam keduanya di khemah sementara itu yang dibinanya menjelang empat hari pelancaran model terbaharu iPhone yang dibangunkan dengan pengimbas cap jari. Katanya, dia telah pun menolak tawaran sebanyak 200 pound (RM1,034) daripada peminat lain yang mahu mendapatkan tapak khemahnya dan menjangkakan orang ramai akan menawarkan harga sehingga 1,000 pound (RM5,171) bagi tujuan itu. Remaja itu yang mula membina khemahnya bersama seorang lagi rakannya, Noah Green, 17, bagi berlindung daripada cuaca basah di bawah sebuah khemah yang dilengkapi dengan gajet terkini termasuk komputer riba MacBook. ''Kami selalu menjadi antara individu pertama yang mendapatkan gajet terbaharu iPhone. Saya sampai malam tadi untuk menjadi orang pertama membeli gajet iPhone terbaharu itu. ''Ia adalah cara anda menunjukkan kesungguhan anda terhadap produk keluaran Apple serta pada masa sama berpeluang untuk menjual tapak ini pada harga tinggi kerana sudah pasti ada individu yang mahukannya,'' katanya. Harrari dan Green berkata, mereka merancang untuk membeli iPhone 5S yang buat pertama kali diperkenalkan minggu lalu beserta iPhone 5C. Kedua-dua gajet terbaharu Apple itu akan dijual pada Jumaat ini bermula pukul 8 pagi waktu tempatan. - AGENSI
|