|
FILEM terbaru aktor popular, Aamir Khan yang berjudul Peekay dikatakan bakal memecah rekod 'cium' dalam industri Bollywood, selain begitu mengejutkan ramai peminat.
Manakan tidak kerana filem terbitannya bersama Rajkumar Hirani itu, bukan saja menampilkan babak cium paling banyak, bahkan paling lama berbanding mana-mana filem Bollywood sebelum ini.
Filem lakonan Aamir yang bergandingan dengan bintang muda, Anushka Sharma, itu bakal menemui penonton pada tahun hadapan dan dikatakan akan mencetuskan kontroversi hebat.
Merintis kembali perjalanan kerjaya aktor itu, Aamir bukanlah nama asing dalam industri perfileman Bollywood. Memiliki rupa paras tampan, aktor kelahiran Mumbai, India ini sangat berpengaruh di Bollywood. Bermula dengan penampilan pertamanya menerusi filem,
Qayamat Se Qayamat Tak (1988) arahan sepupunya sendiri, Manssor Khan, bintangnya menyerlah di layar perak dan kemudian banyak mendapat tawaran berlakon.
Filem seperti Dil (1990), Jo Jeeta Wohi Sikandar (1992), Hum Hain Rahi Pyar Ke (1993) dan Rangeela (1995), menjadi antara filem awal yang berjaya melonjakkan namanya.
Kerjaya seni Aamir tambah menyerlah menerusi filem Raja Hindustani bersama aktres cantik Karisma Kapoor dan menjadi titik permulaannya sebagai hero utama di Bollywood. Bukan saja dinobatkan sebagai Aktor Terbaik menerusi Filmfare Award, filem lakonannya itu turut meraih kutipan ketiga paling tinggi di India pada 1990. Sejak itu, penampilan Aamir menerusi beberapa filem seperti Ishq, Ghulam dan Mela turut mencapai kutipan pecah panggung.
Seiring usianya, Aamir tampil dengan karakter yang lebih matang menerusi filem Ghajini (2008) dan 3 Idiots (2009) sebagai Ranchodas Chanchad.
Dua filem ini ternyata memberi kepuasan dan kejayaan besar kepada Aamir sebagai pelakon bertaraf A di Bollywood. Selain masih mengekalkan gelaran Aktor Terbaik menerusi Filmfare, dia turut mencipta sejarah dengan meraih keuntungan besar terhadap kedua-dua filem itu.
Tidak hanya berada di takuk sama, Aamir kemudian menubuhkan produksi sendiri, Aamir Khan Productions. Menerusi produksinya itu, Aamir bukan sahaja bertindak sebagai pelakon, bahkan sebagai penerbit dan juga pengarah. Percaturannya juga dilihat matang, apabila menghasilkan filem-filem yang bercorak kritikan dan kemasyarakatan. Misalnya, menerusi Lagaan (2001), filem pertama terbitannya itu telah berjaya membuka mata masyarakat apabila diangkat sebagai Filem Asing Terbaik di Academy Awards ke 74.
Rentetan kisah cium dalam filem terbarunya itu mengundang pendapat bagi segelintir peminat, bahawa Aamir mungkin sudah terdesak untuk mengekalkan popularitinya di layar perak. Namun, laporan video majalah, Lehren, mengatakan, babak cium itu bukanlah dilakukan atas permintaan Aamir, sebaliknya ia lebih kepada strategi Rajkumar yang ingin memecah rekod terhadap pembikinan filem Bollywood.
"Di Bollywood, setiap penerbit dan pengarah ingin bersaing dari segi apa saja. Bukan saja dari kutipan box-office tetapi juga perkara remeh-temeh dalam sesebuah filem.
"Begitu juga dengan filem Peekay yang ingin menonjolkan kelainan menerusi babak cium," menurut sumber.
Sejauh manakah kebenarannya, kita perlu saksikan sendiri filem ini di pawagam nanti.
Isteri sangat memahami
Beralih mengenai kehidupan peribadinya, Aamir sangat beruntung kerana memiliki isteri yang memahami kerjayanya. Isterinya, Kiran Rao yang juga seorang penerbit dan pengarah tidak pernah menghalang Aamir untuk membintangi filem dengan mana-mana heroin sekalipun.
Bersama-sama berada dalam lapangan seni, membuatkan pasangan ini lebih mengenali dan memahami karier masing-masing. "Saya faham tugasnya sebagai pelakon dan saya tidak akan menghalang apa jua berkaitan kariernya. Sebab itulah kami masih bersama sehingga hari ini," ujar isterinya itu.
Sebelum ini Aamir pernah berkahwin dengan Reena Dutta, pelakon sampingan dalam filem Qayamat Se Qayamat Tak dan dikurniakan dua anak, Junaid dan Ira. Bagaimanapun, selepas 15 tahun, mereka mengambil keputusan berpisah.
Kemudian Aamir bertemu cinta baru dengan Kiran, selepas kedua-duanya bekerjasama dalam filem Lagaan. Pada Disember 2005, pelakon itu mengambil keputusan untuk mengahwini Kiran dan setahun selepas itu memperoleh cahaya mata pertama mereka, Azad Rao
Khan, yang lahir dari proses ibu tumpangan.
|
|