Kepada yang tidak perasan, penyanyi hip hop terkenal tanah air, Joe Flizzow sebenarnya sudahpun memiliki perniagaan kedai gunting rambutnya sendiri yang telah beroperasi sejak lapan bulan lalu.
Ditemui portal murai.com.my, Joe Flizzow telah memperkenalkan dengan penuh bergaya salah satu sentuhan kedai gunting rambut miliknya dalam satu acara pembukaan sebuah butik fesyen baru-baru ini.
Apa yang pasti, kedai gunting rambut yang dikenali sebagai Joe's Barber Shop dan beroperasi di Subang Jaya, Selangor itu memiliki tarikannya tersendiri kerana mengetengahkan bukan sahaja khidmat potong rambut, malahan bercukur yang cukup popular dikalangan golongan lelaki.
"Joe's Barber Shop turut menyediakan perkhidmatan tattoo rambut, dreadlocks dan banyak lagi pada harga serendah RM10 hingga RM20.
"Sebenarnya, memiliki kedai gunting rambut adalah impian saya sejak sekian lama dan hanya selepas dua tahun merancang barulah sekarang ianya menjadi kenyataan.
"Saya sedar, lelaki masa kini sangat mementingkan keterampilan dan kemunculan kedai gunting rambut ini banyak membantu bagi memberi penampilan lebih segak kepada golongan lelaki tanpa perlu berbelanja besar. Apatah lagi perkhidmatan yang kami berikan mengikut perkembangan terkini.
"Semuanya bermula apabila saya memiliki tukang gunting rambut saya sendiri selama dua tahun dan sejak itu saya berfikir untuk membuka kedai gunting rambut sendiri . Inilah hasilnya," katanya yang turut hadir bersama salah seorang pakar jurugunting kedainya.
Joe's Barber Shop beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 11 malam dengan memiliki empat orang tukang gunting rambut berpengalaman yang mampu memberi penampilan tersendiri setiap kali kunjungan.
Antara selebriti yang pernah mendapat khidmat potongan rambut atau bercukur di kedai gunting rambut Joe's Barber Shop seperti Aizat, Zizan, Ajai, pemain bola sepak negara dan tidak ketinggalan aktres kecil molek, Nora Danish.
Terletak di kawasan perumahan berhampir kediamannya, Joe Flizzow berkata premis perniagaan seluas 500 kaki persegi itu di selesakan dengan rekaan dalaman berkonsepkan bandaraya New York lama dan retro.
Bagi memperindahkan lagi suasana dalam kedai gunting rambutnya itu, alunan muzik Jazz dan Hip Hop dimainkan sebagai keunikan tersendiri untuk gaya hidup muda mudi masa kini.
"Kalau nak tahu lokasi kedai gunting rambut ini adalah lokasi di mana kumpulan Too Phat dipertemukan dan saya rasa amat terharu kerana kedai gunting rambut ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi buat kumpulan kami.
"Namun apa yang lebih utama, kedai gunting rambut ini adalah dikhususkan untuk memberi khidmat kepada masyarakat yang tinggal di kawasan ini yang telah sekian lama menyokong kejayaan saya dari belakang," katanya.
Alamat: Joe's Barber Shop, No 18-G SS15/8B, 47500 Subang Jaya, Selangor. Waktu operasi: 11 pagi - 11 malam Harga : RM10 - RM 20 Telefon: 011-15103115
|