|
PEDAS - Seorang penjaga tokong, dekat sini terkejut mendapati tabung menyimpan wang di dalam tokong berkenaan dipecahkan dan diumpil serta wang di dalamnya dilarikan, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, Tee Yong Foo, 64, baru sahaja pulang dari minum pagi di kedai berdekatan tokong berkenaan.
Menurutnya, kebiasaannya dia membuka tokong sekitar jam 6 pagi bagi membolehkan mana-mana individu berkunjung dan melakukan upacara keagamaan.
"Apabila tokong dibuka, saya akan keluar untuk minum pagi sebelum pulang semula ke tokong. Bagaimanapun tadi (semalam) apabila saya buka pintu saya lihat ada serpihan tabung bersepah di lantai.
"Saya dapati wang syiling dan kertas yang dianggarkan bernilai RM400 lesap. Jika diikutkan, jawatankuasa tokong ingin membuka tabung ini pada 28 Ogos ini tapi sayangnya tak sempat," katanya.
Yong Foo berkata, buat masa ini dia masih lagi belum membuat laporan polis kerana urusan berkenaan diserahkan kepada pengerusi tokong berkenaan.
"Sepanjang saya menjaga tokong yang sudah seusia saya ini, sudah dua tiga kali kes kecurian sebegini berlaku," katanya.
|
|