Orang Sweden Pakat Bertudung Tanda Solidariti
Usah pelik jika mendapati ramai orang Sweden tiba-tiba mengenakan tudung kepala dan memuatnaik gambar tersebut di Twitter dan Instagram mereka, sejak akhir-akhir ini.
Meskipun tidak memeluk Islam, tindakan itu dilakukan sebagai tanda solidariti membantah satu jenayah yang berlaku berpunca daripada kebencian terhadap wanita Islam bertudung yang berlaku di negara itu.
Dalam kejadian Jumaat lepas, seorang wanita mengandung terpaksa dikejarkan ke hospital selepas diganggu dan kepalanya dihentak ke kereta oleh suspek yang masih belum dapat dikesan.
Punca serangan dikenalpasti disebabkan oleh tudung kepala yang dipakai wanita terbabit. Malah ketika kejadian, tudungnya turut dikoyakkan penyerang.
Selepas insiden berkenaan tersebar, beberapa wanita Islam lain mula muncul melaporkan bahawa mereka pernah dihina dan diganggu kerana memakai tudung kepala.
Susulan itu, sebuah kempen dinamakan ‘hijab outcry’ (hijabuppropat) dilancar untuk memupuk kesedaran masyarakat di samping memohon Menteri Kehakiman Sweden, Beatrice Ask agar dapat memastikan wanita bertudung di negara itu mendapat hak kebebasan beragama dan tidak lagi disakiti sama ada menerusi lisan mahupun fizikal.
Masyarakat Sweden yang tidak bersetuju dengan insiden berkenaan turut menunjukkan solidariti dan menyokong kempen dengan memakai tudung kepala tanpa mengira agama.
Antaranya termasuk Ahli Parlimen dari Parti Green, Asa Romson dan personaliti TV, Gina Dirawi. Malah, terdapat juga kaum Adam yang ikut serta melakukan perkara ini.
Gambar mereka bertudung kemudiannya dimuat naik di laman sosial Instagram dan Twitter dengan menggunakan hashtag #hijabuppropet.
|