|
BANDAR SRI SENDAYAN - Kewujudan restoran dan premis menjual minuman keras di taman perumahan yang majoritinya merupakan masyarakat Islam di sini, mendapat bantahan penduduk sekitar.
Selain masalah minuman keras yang dijual seolah-olah tanpa pengawalan, kewujudan sebuah kedai makan berkaraoke turut didakwa menganggu ketenteraman penduduk sekitar.
Justeru, penduduk di Taman Nusari Bayu 1, 2 dan 3, Taman Nusari Aman 1 dan 2, Taman Bukit Sendayan serta Taman Sendayan Indah sebulat suara membuat bantahan secara rasmi, kelmarin.
Memorandum bantahan ditandatangani penduduk itu diserahkan kepada wakil setiap premis yang disampaikan sendiri ahli jawatankuasa surau taman berkenaan sambil diiringi beberapa penduduk, kira-kira jam 3 petang.
Pengerusi Surau Taman Nusari Bayu 1/ Nusari Aman 1, Shafie Muhammad Al-Hafiz, 36, berkata, selain peniaga terlibat, pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan Jabatan
Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) turut dimaklumkan mengenai perkara itu.
“Bantahan dibuat atas beberapa faktor. Antaranya, lebih 80 peratus penghuni di sini beragama Islam, justeru tidak memerlukan minuman keras.
“Selain itu, kita dapati tiada kawalan ketat dilakukan ke atas pembelian arak bagi individu beragama Islam dan remaja di bawah umur. Ini boleh memburukkan keadaan berikutan premis terletak berhampiran pelbagai institusi pendidikan,” katanya.
Sementara itu, berhubung masalah kedai makan berkaraoke pula, bunyi bising keterlaluan pada waktu malam menyebabkan rata-rata penduduk merungut.
Pengerusi Surau Taman Sendayan Indah / Bukit Sendayan, Mejar Zamri Ab Rahman, 42, berkata, penduduk dan jemaah surau sering terganggu semasa melakukan ibadah terutamanya pada
Ramadan ini berikutan karaoke dijalankan hingga lewat pagi dan ada kalanya mencecah waktu sahur.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Suraimi Hamdan, 44, berkata, dia amat kecewa dengan sikap pemilik premis yang seolah-olah sengaja enggan mempedulikan etika penjualan minuman keras.
“Bayangkan, pelbagai jenis minuman beralkohol diletakkan begitu sahaja berdekatan rak telur dan minuman kanak-kanak tanpa rasa bersalah. Tidak mustahil, kanak-kanak akan terkeliru dan terambil minuman tersebut,” katanya.
Ruslee Paim, 33, pula berkata, botol minuman keras yang dibuang merata-rata bukan sahaja mencemarkan pemandangan, malah persekitaran.
Dalam pada itu, mengulas gangguan bunyi bising dihadapi, Mohd Harif Che Sapian, 31, berkata, dia sekeluarga tertekan dan tidak selesa dengan keadaan yang berlaku memandangkan jarak rumah dengan kedai lebih kurang satu kilometer sahaja.
“Memang sukar hendak tidur, lebih-lebih lagi bagi mereka yang ada anak kecil. Bunyi bising melampau itu tidak ubah seperti rewang kenduri kahwin, tetapi berlaku setiap malam,” katanya. |
|