|
DIAM tak diam, Ramadan semakin tiba ke penghujungnya. Bermakna, Syawal pula bakal menjelma sedikit masa lagi.
Tentunya dalam hari-hari terakhir Ramadan, ramai yang mula mempertingkatkan amal ibadah. Tidak kurang juga ada yang membuat persiapan raya.
Begitu juga yang dirasai buat penghibur nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 34, yang turut teruja menyambut ketibaan Syawal.
Sama seperti tahun sebelumnya, menurut Siti, dia akan menyambut raya pertama di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Kuala Lipis, Pahang dan kampung suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, 54, di Sungai Petani, Kedah.
"Mengikut perbincangan Siti dan Datuk, kami akan berhari raya di sini terlebih dahulu dan pada tiga atau empat hari raya baru pulang ke kampung.
"Tapi kami tidak berbincang lagi sama ada pulang ke Kuala Lipis terlebih dahulu atau Sungai Petani. Siti tunggu kejutan dari Datuk," ujarnya yang kini semakin cantik bertudung.
Ditanya mengenai persiapan raya, Siti berkata, dia bertuah kerana ada beberapa pereka fesyen sudi memberikannya baju raya yang sudah siap dibuat.
Selain itu, persiapan lain seperti kuih raya, hanya ditempah sejak awal Ramadan.
"Persiapan sama seperti sebelumnya, Siti dan Datuk hanya bersederhana sahaja, walaupun mesti ada yang tidak percayakan? Tidak ada menukar perabot atau sebagainya, hanya menghias rumah sahaja.
"Lagipun Siti dan Datuk lebihkan keperluan anak-anak, yang penting pakaian raya mereka. Manakala Siti pula rezeki murah tahun ini, Siti dapat banyak baju yang cantik daripada pereka fesyen.
"Kuih pula Siti tempah sahaja, nak buat pun tak pandai sangat (ketawa). Manakala hidangan pagi raya, biasanya ibu mertua akan sediakan ketupat daun palas, rendang dan kuah kacang pada pagi raya," katanya yang akan bercuti selama seminggu sahaja.
Kerinduan Siti
Mengakui Syawal adalah masa yang paling bermakna untuk berkumpul bersama seluruh keluarga, Siti juga masih mengingati kenangan menyambut Aidilfitri sewaktu zaman kanak-kanaknya yang disifatkannya sebagai paling indah.
“Masa kecil dulu, seronok jalan keliling kampung bersama rakan-rakan untuk kutip raya. Setiap rumah pasti kami akan singgah. Memang penat, tetapi berbaloi apabila dapat duit raya,” katanya.
Dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang, figura popular ini tidak dapat menyembunyikan kepiluannya apabila terkenangkan bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail yang menemui Ilahi pada 15 Februari 2009.
Merupakan antara anak yang rapat dengan arwah, perasaan sebak itu sukar dibendung lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan. Hanya tinggal kenangan, Siti dan keluarganya pasti akan mengunjungi pusara arwah di hari raya.
"Setiap kali raya, memang kerinduan terhadap arwah abah semakin menebal. Jadi untuk mengubat kerinduan, Siti akan menziarahi pusara arwah apabila pulang ke kampung kelak," katanya.
Kongsi tip kecantikan
Sama seperti tahun sebelumnya, sempena musim perayaan ini, Siti yang juga Presiden SimplySiti telah memperkenalkan dua produk terbaru khusus untuk pengguna setianya iaitu bedak dwi-cara Argan Wonder dan Argan Wonder Mascara.
Argan adalah bahan semula jadi terkini yang dikatakan dapat membantu merangsang pengeluaran kolagen dengan cepat sekali gus membantu mencantikkan dan melambatkan proses penuaan.
“Seakan menjadi tradisi SimplySiti untuk memperkenalkan koleksi kosmetik istimewa dengan tema dan pembungkusan eksklusif setiap kali menjelang Syawal," katanya.
Buah tangan terbaru
Dalam kesibukan membuat persiapan raya, keluarga dan perniagaan, Siti turut berkongsi khabar gembira buat seluruh peminat setianya.
Menurut Siti, dia kini dalam proses merakamkan album terbarunya dan menariknya, Siti kini kembali membawa muzik pop, balada dan moderade di dalam album terbarunya.
"Ini adalah projek terbaru Siti bersama Universal Music dan khabarnya mereka menghabiskan hampir RM200,000 untuk album baru Siti.
"Kemungkinan besar akan ada 10 buah lagu di dalam album ini dan pemilihan lagu juga masih di buat. Ada juga perancangan untuk berduet dengan penyanyi dari seberang, tetapi semuanya masih dalam perancangan.
"Tapi kalau Siti kongsikan semua yang tiada kejutan pula, jadi untuk peminat setia Siti nantikanlah album terbaru daripada Siti ini nanti," ujarnya teruja. Last edited by rosemary70 on 5-8-2013 01:14 PM
|
|