|
NAMA 6ixth Sense sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri muzik tanah air. Hampir semua lagu mereka telah mendapat tempat di hati peminatnya seperti Tanpa, Khatimah Cinta, Tak Bisa Memilihmu, Cinta Yang Sempurna dan Menyesal.
Namun, sejak kebelakangan ini, mereka seolah-olah menyepi dari industri seni. Rupa-rupanya, mereka sedang sibuk menjalankan promosi ke Indonesia bagi memasuki pasaran di sana dan pada masa sama, mereka mendidik band baru bernama Sakura.
6ixth Sense telah menubuhkan syarikat Putih Production Sdn Bhd dan Sakura merupakan artis pertama mereka.
“Kami ada buka syarikat di mana kami mencari artis untuk dilahirkan dan artis pertama kami ialah Sakura.
“Sakura membawa konsep Pop dan mereka sudah keluar dengan single pertama mereka berjudul Setelah hujan,” kata pemain drum 6ixth Sense, Wan kepada Sinar Harian Oneline ketika ditemui pada sesi fotografi untuk hari raya di butik Omar Ali.
Menurutnya, vokalis Sakura, Mell juga telah berduet dengan Fiq Mentor melalui lagu runut bunyi drama adaptasi popular, Setia Hujung Nyawa yang menjadi kegilaan sebelum ini.
Ketika ditanya apa peranan 6ixth Sense terhadap band Sakura, Adi memberitahu, mereka bertindak sebagai produser sekali gus mentor buat band tersebut.
“Kami bertindak sebagai produser dan pada masa menjadi mentor buat mereka.
“Perancangannya, kami akan cari lagi artis-artis yang lain. Kalau dapat solo, kita buat solo tetapi yang pertama ini kami hasilkan sebuah band muzik,” katanya.
Berkongsi mengenai aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini, 6ixth Sense akui mengurangkan aktiviti seni mereka.
“Untuk aktiviti seni sepanjang berpuasa tak banyak sangat. Ada beberapa rakaman untuk hari raya nanti selebihnya kami ada kesibukan masing-masing. Untuk 6ith Sense sendiri kami kurangkan aktiviti,” katanya.
Bercakap tentang Hari Raya Aidilfitri akan datang, kelima-lima anggota 6ixth Sense bakal pulang beraya di kampung masing-masing.
“Hari raya nanti kami balik kampung untuk bercuti. Selalunya memang seminggu pertama kami tak akan ambil sebarang undangan persembahan.
“Masing-masing balik Perak, Indonesia dan ada yang beraya di Kuala Lumpur sahaja.
|
|