|
KUALA LUMPUR - Pembinaan jejantas pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan bangunan di ibu kota, akan diperluaskan bagi keselamatan warga kota sekali gus memberi nilai tambah kepada pemilik bangunan berkenaan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kemudahan itu juga membolehkan orang ramai bergerak dari satu tempat ke tempat lain tanpa risiko melintas jalan raya yang sibuk.
Menurutnya, beberapa bangunan yang dihubungkan di pusat bandar terutamanya daripada stesen tren telah diwujudkan, dan kini ia akan ditambah dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas seterusnya menjamin keselamatan orang ramai daripada kes jenayah di jalanan seperti ragut.
“Kemudahan yang disediakan ini ternyata memberi manfaat kepada warga kota terutamanya di kawasan sibuk, di mana mereka boleh meletakkan kenderaan masing-masing di satu-satu tempat dan kemudiannya bergerak ke setiap bangunan menggunakan jejantas disediakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan jejantas pejalan kaki berbumbung, dari stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sultan Ismail ke stesen Monorel Medan Tuanku, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalannya, Datuk Dr Loga Bala Mohan; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Adnan Mohd Ikhsan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib; Pengerusi Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Tan Sri Ismail Adam; Ketua Eksekutif Pengangkutan Awam Bandar NKRA Prasarana, Datuk Ahmad Suhaili Idrus dan Pengarah Urusan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar.
Pembinaan jejantas sepanjang 680 meter itu, dilaksanakan Prasarana membabitkan peruntukan kos sebanyak RM14.2 juta.
Mengulas berhubung aktiviti mengemis dan golongan gelandangan yang sering mengambil kesempatan dengan menjadikan jejantas sebagai lokasi kegemaran mereka, Tengku Adnan berkata, ia merupakan cabaran yang perlu dihadapi di ibu kota.
“Pelbagai pendekatan dilaksanakan agensi bertanggungjawab dalam memastikan golongan ini tidak terus mencemarkan imej negara, termasuk membantu mendapatkan pekerjaan serta tindakan penguatkuasaan terhadap golongan warga asing,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Phesal berkata, pihaknya kini mencapai persepakatan bersama beberapa pihak termasuk CIMB pemilik bangunan IJM bagi mewujudkan jejantas di bangunan yang bukan membabitkan stesen tren.
“Terbaru kita akan membina jejantas antara pusat beli-belah Sogo dan Kompleks Pertama. Objektif penuh adalah mewujudkan jejantas antara Maju Junction, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kompleks Pertama, bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menara DBKL sendiri secara berperingkat bagi memudahkan pergerakan orang ramai,” katanya.
• Petikan Berita Online •
|
|