Seremban: Seorang pembantu gerai ayam ditemui dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dengan kesan kecederaan di kepala dan muka di Pasar Besar Seremban, di sini, semalam, dipercayai dipukul individu tidak dikenali sebelum ditinggalkan di situ. Difahamkan, lelaki berusia 48 tahun itu ditemui berhampiran gerai di tingkat dua pasar berkenaan oleh rakannya yang kebetulan mahu membersihkan kawasan berkenaan untuk berniaga, kira-kira jam 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menyiasat motif serangan itu sama ada mangsa dirompak atau mendapat kecederaan sendiri berikutan lelaki itu masih tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).
“Berikutan mangsa masih tidak sedarkan diri, kita tidak dapat mengetahui bagaimana dia mendapat kecederaan di kepala sekali gus merakam percakapannya.
“Justeru, kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan mahu orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, rakan mangsa yang enggan dikenali berusia 40-an berkata, ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ namun masih boleh menggerakkan kakinya seperti meminta pertolongan.
MANGSA diusung ke hospital menaiki motosikal rakannya.
“Saya sedar mangsa berada di celahan gerai apabila dia mengangkat kedua-dua kakinya untuk memaklumkan dia berada di situ. “Sebaik menjenguk, saya terkejut melihat kepala dan muka mangsa berlumuran darah sebelum terus menghubungi pasukan paramedik untuk menghantarnya ke hospital,” katanya.
Menurutnya, dua minggu lalu kejadian sama berlaku yang menyebabkan seorang lelaki cedera selepas disamun di tandas awam di pasar berkenaan.
Last edited by the_killer on 8-7-2013 08:04 AM
|