CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1879|Reply: 0

VW Toureg TDI

[Copy link]
Post time 5-7-2013 11:47 AM | Show all posts |Read mode




BARISAN model Volkswagen Toureg di dalam negara ditawarkan dengan pilihan: petrol, diesel dan juga hibrid.

Bersama transmisi 8-kelajuan automatik dan sistem sofistikated pacuan semua roda memberikan kelebihan untuk kegunaan off road dan meningkatkan kestabilan.

Berpeluang memandu varian diesel, Toureg TDI bukan sahaja memberikan penjimatan bahan bakar yang mengagumkan, malah mampu menangani kawasan paling lasak sehinggalah meluncur di lebuh raya dalam keselesaan mewah.

Dapat dilihat populariti kereta dalam segmen SUV semakin berkembang. Ia seolah-olah kebanyakan model yang asalnya personaliti off-road telah dibesarkan kepada segmen yang memihak kepada keselesaan pemanduan.

Peralihan ini semakin jelas. Dan menerusi pengenalan Volkswagen Touareg ia menjadi salah satu daripada SUV (kenderaan utiliti sukan) yang berpaut kepada off road tetapi  dikembangkan kegunaannya kepada harian.

Toureg juga pernah mencipta rekod dunia dengan melintasi 23000 kilometer perjalanan di sembilan buah negara dalam tempoh 17 hari sahaja.

Luaran Rekaan luaran jentera yang pernah menjuarai rali Dakar ini tampil ringkas. Penggunaan gril krom melintang pada bahagian hadapan dan bawah dan penggunaan hidung yang boleh didapati pada Golf membuatkan jentera kelihatan lebih luas dan kesan ini benar-benar mengukuhkan pandangan hadapan Toureg.

Lampu hadapan bi-xenon yang disepadukan dengan lampu LED berbentuk U dan bentuk badan yang lebih dramatik di bawah lampu memberikan penekanan yang lebih ketara.

Kelompok lampu belakang juga  lebih kecil dan boleh didapati pada Golf. Bampar belakang turut dilengkapi dengan peresap bersama dua paip ekzos  krom yang disepadukan kemas. Dari pandangan belakang, Touareg mudah dicam.

Boleh dikatakan kereta ini tidak meninggalkan resipi tradisional 4x4 yang lebih macho dengan memberikan penekanan dalam tampilan ringkas tetapi masih bergaya dan kacak.

Kabin

Masuk ke bahagian dalam, kemasan yang digunakan adalah berkualiti tinggi. Kualiti plastik lembut bercampur baik dengan kepingan logam. Penggunaan warna Black Piano Lacquer pada bahagian papan pemuka, panel pintu dan konsol tengah menampilkan imej eksklusif.

Sementara itu, penggunaan stereng tiga jejari kemasan kulit dengan pelbagai fungsi bersama kawalan pedal shifter memudahkan  tumpuan pada jalan raya.

Bahkan, tawaran bumbung panorama yang luas sehingga ke belakang dan bukaan bumbung matahari separuh begitu sesuai untuk menikmati cuaca petang dan santai di pesisir pantai.

Selain itu, penyelarasan kerusi hadapan elektrik dengan 14 cara bersama fungsi memori cukup memudahkan. Bentuk kerusi yang lebar memberi sokongan yang selesa untuk bahagian belakang tanpa terasa letih untuk perjalanan jauh.

Ruangan kepala dan kaki juga masih cukup untuk ketinggian rakyat Malaysia untuk bahagian hadapan dan belakang. Bagi saya ia masih luas.

Satu perkara yang saya kagum tentang Toureg ialah skrin RNS 850 dengan empat kamera ‘Area View’ 360 darjah. Ia merangkumkan bersama imej langsung daripada empat kamera (depan, belakang, cermin sisi) untuk memberikan gambaran atas Touareg melalui pusat skrin TFT.

Ia juga turut memberi amaran melalui bunyi yang sangat tepat dan membantu.

Hal ini kerana, Touareg adalah kereta yang besar dan sistem berkenaan benar-benar membantu saya apabila ingin memarkir sisi dan melalui laluan parkir  yang sempit.

Selain itu, anda juga boleh memilih kamera yang anda mahu dengan memilih menerusi skrin sentuh berkenaan. Sebaik melihat aplikasi berkenaan bukan sahaja saya yang berkata ‘Oooo’ melihat bagaimana ia berfungsi tetapi juga rakan yang lain.

Menerusi skrin sentuh berwarna itu juga, anda boleh mengakses radio, Bluetooth dan navigasi. Selain menunjukkan sebuah kompas (dengan nama jalan yang anda berada), ketinggian dan sudut stereng.

Prestasi

Model Toureg TDI yang dibawakan oleh Volskwagen Group Malaysia (VGM) ini merupakan jentera pertama diesel yang dibawa masuk ke pelabuhan negara. Boleh dikatakan ia merupakan kenderaan unggul yang lebih sejajar dengan kemahuan pengguna SUV moden.

Ia begitu solid dan tidak terlalu terasa seperti trak. Dan tidak perlu bimbang kerana VGM telah menyesuaikan enjin Toureg dengan kualiti diesel Euro-2M negara.
Memandu Toureg merentasi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menuju ke Pulau Pinang, tentunya diesel memberikan penjimatan minyak.

Dengan isian penuh dari Slim River, Perak ke Batu Feringi, Pulau Pinang (tidak termasuk sesat) dan kembali semula ke Perak esoknya, saya dapat melakukan perjalanan sejauh 550 kilometer dengan isian penuh. Ditambah pemanduan agresif di lebuh raya ia cukup impresif.

Hakikatnya ia adalah sebuah kereta yang laju dan mampu memberikan pecutan sebaik pendikit ditekan ke lantai. Apabila momentum membina, anda akan mendaki kelajuan dengan cepat.

Walaupun di awal pecutan terasa berat, namun sebaik tork dirasai dan pertukaran gear 8-kelajuan yang lancar, untuk meluncur laju di lebuh raya bukan satu masalah. Saya juga tidak pernah terbau busuk asap diesel.

Bagaimanapun dari segi kawalan badan, Toureg sedikit goyang tetapi  minimum. Bagi saya jika mahu dibandingkan dengan Mazda CX-5, kadar olengan badan Toureg lebih baik.

Namun, melalui jalan Teluk Bahang yang bersimpang-siur, sedikit memeningkan buat penumpang belakang. Selain badan yang sedikit goyang dan penyandar kerusi barisan kedua yang menegak, ia kurang selesa.

Dari segi kawalan stereng juga cukup responsif. Ia bertindak balas dengan tepat tanpa tersasar ke laluan sebelah walaupun jarak setiap selekoh adalah dekat. Kenderaan juga adalah stabil hasil daripada Program Kestabilan Elektronik (ESP).

Casis juga menawarkan maklum balas  baik di jalan raya walaupun sedikit keras.  Secara peribadi, saya suka fakta bahawa rim 19 inci itu sendiri tidak terlalu tebal dan  tidak merasa buatan berat. Respons brek juga adalah kukuh dan meyakinkan.

Apa yang perlu ditambah baik hanyalah dari segi kedapan udara kerana saya dapat mendengar bunyi angin dengan jelas dan raungan tayar ketika di lebuh raya.

Saya sukakan Toureg dengan pandangan tinggi, stereng ringan dan ekonomi bahan api yang baik. Ia bergantung kepada apa yang anda mahukan. Touareg ada segala-galanya. Adakah anda mahu membayar untuk jenama ini? Itu terpulang kepada anda.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-12-2024 08:38 PM GMT+8 , Processed in 0.042636 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list