|
Hanisah menunjukkan kad pengenalan OKU milik Dollah dan laporan polis dibuat
mereka sekeluarga. Gambar kecil:Abdullah
JENGKA - Keluarga seorang pemuda OKU di sini merayu bantuan orang ramai untuk mencari anak lelaki mereka yang hilang sejak Khamis minggu lalu.
Hanisah Awang, 56, berkata, anaknya, Abdullah Sulaiman, 28, atau Dollah yang mengalami masalah lembam dan tidak boleh bercakap, hilang ketika mereka sekeluarga membeli-belah di sebuah pasar raya di Jerantut, sekitar jam 11 pagi hari kejadian.
“Dia bersama ayahnya duduk dalam kereta. Ketika ayahnya hendak ambil barang di troli untuk dimasukkan ke dalam kereta, kami tengok dia tiada.
“Dollah kalau berjalan memang laju. Sekejap saja sudah hilang. Puas kami cari di sekeliling pasar raya itu, tetapi tidak jumpa. Padahal jarak bukannya jauh,” katanya.
Kakak ipar Dollah, Suriati Sarin, 28, pula berkata, setelah puas mencari, mereka melaporkan kehilangan Dollah di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut pada jam 3 petang.
“Pada jam 5.30 petang, kami dimaklumkan Dollah ditemui di Kampung Pedah, Jerantut, namun dikatakan dibawa ke JKM. Kami periksa di JKM itu, namun dimaklumkan Dollah dibawa pergi dan ditinggalkan di hentian bas bandar Jerantut,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga tidak putus asa mencari, selain menampal gambar Dollah di beberapa kawasan.
“Ada orang beritahu kami terserempak dengan Dollah di Temerloh, ada kata di Chenor. Kali terakhir kami dimaklumkan Dollah ditemui di simpang Pekan Tajau, Jumaat lepas. Selepas itu, kami tidak tahu ke mana dia menghilang.
“Bagi sesiapa ada maklumat berkaitan, harap dapat hubungi saya di talian 013-9270650 atau 010-9898258,
|
|