Jika dilihat penampilan dan personalitinya di kaca televisyen, pasti ramai yang tidak menyangka pelakon yang pernah meraih gelaran Pelakon Wanita Terbaik ini berperangai buruk terhadap krew-krew produksi. Kisah ini disampaikan oleh seorang krew produksi yang terlibat dengan sebuah penggambaran yang melibatkan pelakon wanita ini beberapa bulan lalu.
Menurut sumber itu, sepanjang tempoh penggambaran berlangsung, pelakon wanita ini langsung tidak mahu bertegur sapa dan bergaul dengan krew-krew produksi terlibat. Malah, dia juga minta diberi layanan istimewa dengan meminta sebuah bilik persalinan yang luas dan selesa biarpun dia tahu lokasi penggambaran itu diadakan di sebuah pusat membeli-belah.
Apabila kemahuannya tidak dituruti, pelakon ini mengugut untuk meninggalkan lokasi penggambaran. Malah, menengking dan marah-marah pengurus produksi yang cuba menjelaskan situasi yang dihadapi. Dek kerana terlalu mengikut emosi, pelakon wanita ini juga mengungkit bayaran yang diterimanya tidak berbaloi kerana perlu bekerja dalam tempoh yang panjang.
Persoalannya, kalau tidak puas hati dengan bayaran yang diberikan, mengapa sanggup menerima tawaran tersebut? Apabila sudah sampai di lokasi baru hendak bising-bising memang nampak sangat dia tidak profesional. Kalau ya pun pihak produksi yang salah, cubalah berbudi bahasa sedikit. Cakap elok-elok supaya masalah boleh diselesaikan dengan baik!
|