Kuala Lumpur: Brahim’s Holdings Berhad kini dalam peringkat akhir perbincangan untuk memuktamadkan perjanjian dengan kerajaan Arab Saudi mengenai penyediaan makanan kepada jemaah haji di Makkah. Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Datuk Ibrahim Ahmad berkata, perjanjian berkenaan untuk membekalkan dan menyediakan makanan kepada jemaah haji yang menunaikan fardu berkenaan terutama ketika di Mina dan Arafah dijangka dimulakan pada 2014.
“Selepas beberapa siri pertemuan, kami kini sudah sampai ke peringkat akhir perbincangan dan ia dijangka dapat dilaksanakan jika tiada sebarang masalah,” katanya.
Menurutnya, untuk fasa permulaan pihaknya akan menyediakan makanan bagi jemaah haji dari negara Asia Tenggara yang dijangka mencecah 400,000 orang.
“Sebagai permulaan, kami akan menyediakan makanan untuk jemaah haji dari negara rantau Asia Tenggara dan untuk tujuan itu kami akan membina kilang yang juga menjadi dapur utama bagi kerja penyediaan makanan,” katanya kepada Bisnes Metro selepas pelancaran ulang tahun ke-25 Brahim’s di sini, semalam.
Ibrahim berkata, kontrak penyediaan makanan dilakukan dengan kerjasama kerajaan Arab Saudi dan tidak membabitkan mana-mana agensi lain dari Malaysia.
Brahim’s lebih dikenali sebagai penyedia perkhidmatan katering dalam pesawat melalui syarikatnya Brahim’s Airline Catering Sdn Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai LSG Sky Chefs - Brahim’s Sdn Bhd dengan rakan kongsinya Penerbangan Malaysia (MAS) dan dianggap sebagai operasi dapur halal penerbangan terbesar dunia yang dimiliki sepenuhnya syarikat Malaysia.
Makanan yang dihasilkan dihidangkan dalam lebih 30 syarikat penerbangan dengan kira-kira 50,000 hidangan disediakan setiap hari.
Selain itu, ia turut memasarkan pelbagai produk berasaskan sos dan hidangan sedia dimakan di bawah jenama Brahim’s yang turut boleh didapati di lebih 25 negara di seluruh dunia.
Syarikat berkenaan turut menjalin kerjasama di beberapa negara dalam sektor pembuatan untuk menghasilkan makanan sedia dimakan antaranya di Jordan, Jepun dan China.
Last edited by R2D2 on 21-2-2013 12:35 PM
|