CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2695|Reply: 3

[C]-Stethoscope[U]

[Copy link]
Post time 12-11-2012 06:36 PM | Show all posts |Read mode
“ Doktor Ainiyah, jom kahwin!” hampir tersembur jus oren yang baru hendak memasuki saluran asophagus Dr. Ainiyah tatkala mendengar kata-kata lelaki yang entah muncul dari mana.

Tisu yang berada di sebelah gelas dicapai sambil matanya liar melihat ruang kantin Hospital Serdang, khuatir jika ada kakitangan hospital yang mendengar apa yang jurutera seorang ini katakan yang kini mengabil tempat di kerusi yang berhadapan dengannya. Boleh kecoh ni kalau dapat tahu dek mereka nanti. Dapat dibayangkan gosip doktor workaholic dilamar di kantin hospital tersebar nanti kerana mulut-mulut mereka. Ainiyah menarik nafas lega apabila melihat semua pengunjung kelihatan begitu asyik menjamu selera.

“Apa yang Doktor tengok tu?” soalan dari jurutera bertuah itu membuatkan Ainiyah mendengus geram. Sudah tiga hari lelaki ini muncul tanpa diundang.

Tajam sahaja matanya memandang lelaki dihadapannya kini. Kalau boleh, mahu sahaja di buat aksi boxing di sini. Tapi lelaki itu haram di sentuh maka ditahan sahaja tangan yang sedari tadi terasa menggeletar.

“Lawak Maharaja Lawak apa yang yang Encik Hafizi cuba persembahkan pada saya ni?” tanya Ainiyah sinis. Terasa getaran hebat di dada. Sudahlah dirinya ini sedang dalam proses memperbaiki sifat agak panas barannya itu tapi kini bala ini pula yang menimpanya.

“ Tidak ada lawak dalam kata-kata saya Cik Nurul Ainiyah Jafni. Saya benar-benar ingin membina masjid dengan awak sebagai isteri saya “ kali ini lembut sahaja Hafizi berbicara.

Silapnya juga kerana terus meluahkan isi hatinya tanpa sebarang pembuka bicara atau ayat bunga-bunga. Siapa yang tidak akan marah jika baru je nak teguk air, tiba-tiba sahaja entah dari mana orang gila muncul terus ajak kahwin. Dan orang gila itu tidak lain tidak bukan dirinya juga.

Ya, hatinya benar-benar gila dengan gadis bertudung pink labuh di hadapannya ini. Gadis ini yang berjaya mencuri hati bekunya itu. Ada keayuan dan kelembutan dalam kekasaran gadis ini sebenarnya dan dia terpaut hati dengan sikap gadis manis ini. Teringat pertemuan kali pertama dengan doktor wanita ini.

Kemalangan kecil yang berlaku di tempat kerjanya sehingga menyebabkan tangannya patah sebenarnya terkandung hikmah yang amat besar buatnya. Terlayar dingatannya bagaimana layanan wanita itu yang lemah-lembut tapi berdedikasi dalam menjalankan tugas sepanjang dua bulan tangannya dirawat. Segala kesakitan tidak terasa sakitnya jika Dr. Ainiyah tersenyum manis kepadanya. Nah, lihatlah betapa angaunya dirinya.

Disangka dia akan sentiasa menatap Dr. Ainiyah lama lebih lagi, namun dua minggu lepas balutan simen di tangannya sudah pun di buka. Kini tiada alasan lagi untuk dia datang menatap wajah itu. Teringat dia akan pesanan dari rakan serumahnya seminggu lalu.

“Fizi, aku tahu kau sukakan perempuan tu, tapi aku nak ingatkan kau tak elok kau jadi begini. Angau semacam je.Kalau kau benar-benar sukakannya, jadikanlah dia seorang yang halal untuk kau, kawan. Sesungguhnya itu yang lebih baik dari kau lalai je.” Teguran dari Naufal membuatkan Hafizi berfikir panjang.

Benar,nama Dr. Ainiyah je yang selalu meniti bibir setiap kali dia dan rakan-rakan serumahnya duduk beristirehat di ruang tamu. Dr. Ainiyah buat itu, Dr. Ainiyah buat ini, Dr., Dr., dan Dr. Tiba-tiba rasa malu bertandang dalam hati. Nampak sangat yang dia sukakan gadis itu. Lantas keputusan sedrastik ini di ambil setelah di soal selidik rakan sekerja yang akrab dengan Dr. Ainiyah mengenai status gadis itu. Alhamdulillah, gadis itu juga masih solo.
Wajah gadis dihadapannya kini dipandang. Berkerut sahaja wajahnya.

“Encik Hafizi tahu tak yang kita ini kenal hanya sebagai sebagai seorang doktor yang merawat pesakitnya. Tidak lebih dari itu.” Ainiyah cuba menerangkan mengenai status perhubungan mereka dengan suara yang agak tegas. Mungkin dapat menyedarkan lelaki itu.

“Saya tahu. Tapi saya memang serius untuk menjadikan Dr. Ainiyah sebagai isteri saya. Saya tidak memaksa Dr. untuk menerima lamaran saya tapi sekurang-kurangnya fikirkannya terlebih dahulu” bicara Hafizi lembut. Ainiyah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Serabut! Masih tidak fahamkah lelaki ini yang dia memang tidak mahu langsung berbicara tentang hal ini.

“Kalau begitu pergilah berjumpa dengan ibu bapa saya bukan dengan saya!. Saya tidak akan buat keputusan dalam hal ini.” tempelak Ainiyah. Ini sahaja yang dia boleh lakukan setakat ini. Mungkin dengan ini, lelaki itu tidak akan mendekatinya lagi. Berani ke nak jumpa Tuk Bilal Masjid Kampung Mempelam? Tercetus ketawa dalam hatinya.

“Kalau begitu boleh beri alamat rumah awak? Saya tidak tahu rumah awak di mana?” Uhuk..uhuk..Ainiyah tersedak lagi. Baki jus oren sudah tidak boleh dihabiskan. Biar benar?

“Encik..encik  nak buat apa?” tutur Ainiyah satu persatu. Katakan tidak Encik Hafizi..katakannnn…

“Iyelah, bagaimana saya nak hantar rombongan kalau tidak tahu alamat si empunya badan” Ah, bala. Kata-katanya tadi akhirnya memakan diri. Sekarang hatinya sudah seperti dilanda tornado. Sangat-sangat kucar-kacir. Ainiyah terdiam sebentar tidak tahu untuk berbicara lagi.

“Cari sendiri!!” balas Ainiyah akhirnya sebaik sahaja bangun dari meja makan. Laju sahaja kakinya melangkah meninggalkan Hafizi yang terpinga-pinga. Ayah! Anak kesayangan ayah ini dilamar orang!!

************************************************************************





Peristiwa di kantin Hospital Serdang seminggu lalu sudah dilupakannya. Encik Hafizi juga sudah tidak muncul-muncul lagi selepas itu.Ainiyah menarik nafas lega. Lega, sangat lega. Sesak fikirannya jika lelaki itu benar-benar mengotakan kata-katanya.
Ingatan Ainiyah kembali mengingati wajah lelaki itu. Hafizi itu bukanlah seorang yang kacak. Sekadar rupa biasa-biasa sahaja namun penampilan lelaki itu yang kemas dan segak itu memancarkan aura seorang lelaki yang berkaliber. Mungkin disebabkan kerjayanya sebagai seorang jurutera mekanikal yang menuntut kekemasan dalam berpakaian atau itu memang gayanya. Entahlah, dia bukan tahu menahu tentang lelaki itu.

Ainiyah memejamkan mata. Katil yang empuk ini menarik perhatiannya untuk tidur. Hari ini dia bercuti dari tugasnya. Rakan-rakan serumahnya, Mira,Airi dan Su pagi-pagi sudah keluar ke tempat kerja.  Ainiyah pula selepas menunaikan solat sunat Dhuha terus kembali terbaring di atas katil. Lelah shift malam semalam masih lagi terasa. Baru sahaja dia hendak ke alam mimpi, kedengaran telefonnya berbunyi. Perlahan tangannya mencapai telefon bimbitnya.

“Assalamualaikum” Ainiyah memberi salam. Kedengaran suara pemanggil di hujung talian mejawab salam. Terukir senyuman di bibir. Suara ayah menyapa pendengarannya.

“Ainiyah shift malam ke semalam?” lembut sahaja Abdul Rahman menyoal. Suara anak gadisnya yang kedengaran agak serak itu yang membuat dia mengagak yang anaknya kerja malam.

“Ya. Pukul 7 pagi tadi baru balik. Ayah dengan ibu sihat?”

“Alhamdulillah sihat. Anak ayah pula sihat? dah solat sunat ke pagi ni?”

“Alhamdulillah,sihat je. Aini baru je habis solat tadi.” Selalu sahaja ayahnya bertanyakan tentang solat sunat jika ayahnya menelefon di
waktu pagi. Alhamdulillah, anak ayah ini masih lagi menunaikannya walaupun sudah tinggal berasingan.

“Emm..Ayah sebenarnya ada hal sikit nak cakap. Tapi untuk ayah bercakap dalam telefon ni tak sedap la pula rasanya. Aini cuti kan hari ni. Boleh Aini balik ke rumah petang ni?” Akhirnya terluah juga tujuan utama dia menelefon anaknya. Ainiyah terasa pelik. Kenapa tidak boleh bercakap di telefon. Mustahak sangatkah hal itu? Namun di simpan saja persoalan itu di benak pemikirannya.

“Boleh je. InsyaAllah lepas Zuhur nanti Aini bertolak” Balas Aini sebaik sahaja jam di atas meja dikerlingnya.

“Baiklah, ayah pun dah cakap apa yang perlu. Pergilah tidur. Aini masih lagi penat kan?” tutur lelaki tua itu. Tidak mahu mengganggu masa rehat anak gadisnya. Dia mengerti anaknya itu masih lagi penat sebaik sahaja mendengar suara serak anaknya tadi. Bekerja pada waktu malam tidak sama dengan waktu siang.

“Baiklah, ayah. Kirim salam pada ibu ya? Assalamuaalaikum.” Ainiyah member salam. Kedengaran ayahnya menjawab salam sebelum talian itu diputuskan oleh ayahnya. Telefon bimbit di letak kembali ke sisi meja. Mata semakin memberat. Perlahan-lahan mulutnya terkumat-kamit membaca doa pendek sebelum tidur.

"Ya Allah. Dengan namaMu hamba hidup, dan dengan namaMu hamba mati"
************************************************************************
Jam menunjukkan pukul dua pagi. Tidurnya tadi tidak begitu lena.  Kipas siling bilik lamanya itu direnung walaupun sebenarnya pergerakan kipas itu membuatkannya lebih pening lagi. Namun tidaklah sepening dengan hal yang di khabarkan ayahnya selepas makan malam tadi. Terkejut besar dia apabila ayahnya memberitahu ada orang yang masuk meminang dia. Okey, sepatutnya tidaklah terkejut sebab sudah menjadi lumrah kalau seorang gadis di pinang orang untuk di jadikan isteri. Tapi yang membuatkannya terkejut ialah dari siapa rombongan itu datang.


“Mohd. Hafizi Abdul Karim namanya. Aini kenal?” laju dia menggeleng kepala tatkala ayahnya menyebut nama lelaki yang meminangnya. Masakan dia mahu menceritakan kepada lelaki tua itu yang lelaki bernama HAfizi itulah yang tak habis- habis datang mengganggu anak gadisnya dengan lamaran untuk berkahwin. Malulah dia.

“Bila mereka datang?” soal Ainiyah malu-malu. Malu sebenarnya bila bersoal tentang hal kahwin ini ketika usianya sudah mencapai umur 28 tahun. Tambahan pula, tidak di sangka yang lelaki itu benar-benar menjejaki alamat rumahnya. Mana Encik Hafizi itu dapat maklumat?

“ Dua hari lepas, hari Jumaat petang.” Jawab Abdul Rahman sambil memandang anak gadis di hadapannya ini yang sedang erat memeluk lengan isterinya, Salmah. Malulah tu.

Ainiyah hanya mengangguk-angguk kepalanya sebagai tanda faham. Namun, hatinya masih bergolak tentang jawapan ayahnya. Nak di tanya dia malu, tapi dia perlu bertanya juga kerana ini soal kahwin. Bukan boleh buat main-main!

“Ermm… jadi apa pandangan ayah, ibu?”

Abdul Rahman memberi isyarat dengan pandangan matanya kepada Salmah. Biarlah sahaja isterinya yang berbicara soal itu. Perempuan lebih lembut dalam berbincang soal jodoh.

“Begini, ibu dan ayah dah pun tengok orangnya. Memang nampak baik dan latar belakang dia pun nampak elok sahaja. Tapi ini soal hidup kamu, Aini. Ibu mahu kamu yang membuat keputusan. Istikharahlah untuk minta petunjuk. Jangan buat keputusan terburu-buru. Aini dah menginjak ke alam dewasa. Umur pun dah sesuai sangat untuk berkahwin. Jadi fikir-fikirkanlah” lembut sahaja Salmah bertutur.

Biarlah anaknya sahaja yang membuat keputusan walaupun sebenarnya dia berharap sangat kali ini anaknya menerima lamaran itu. Sebelum ini semua lamaran di tolak kerana katanya hendak membina kerjaya terlebih dahulu. Tapi kini, umur anaknya itu sudah menghampiri umur 30. Dia juga naik risau. Apabila melihat anak-anak orang lain yang sudah berkahwin dan beranak-pinak terdetik juga rasa cemburu. Yelah, anak gadisnya itu sahaja satu-satunya anak pengikat kasih antara dia dan Abdul Rahman. Kepala Ainiyah diusap lembut. Sayangnya dia pada anaknya begitu menggunung.


Peristiwa di ruang tamu tadi terus hilang di fikiran Ainiyah tatkala bunyi rintik-rintik hujan yang memecahkan kesunyian malam . Lantas, Ainiyah bangun dari katil lalu menuju ke bilik air. Bersiap sedia untuk menghadap Kekasih abadi, Allah S.W.T.  

**********************************************************************************


Ainiyah duduk bersantai di ruang tamu rumahnya sambil membaca buku. Terasa sangat bosan jika teman serumahnya tiada. Lantas hanya buku yang menjadi penemannya.

“Baca apa tu?” tegur satu suara sehingga menyebabkan buku di tangan terus sahaja terpelanting. Ainiyah terus memandang pemilik suara tadi yang kini sudah ketawa kecil.

“ Allahuakbar, bila abang sampai? Buat Aini terkejut je” Ainiyah bangun dari sofa lantas mencapai tangan Hafizi untuk disalami sebelum tangannya mencubit lengan suaminya. Geram sungguh bila di tegur senyap-senyap begitu. Suaminya mengaduh kesakitan namun sengihan masih lagi tersungging di bibir.

Ya, inilah dia teman serumahnya turut juga sebagai teman sekatil, sebantal dan yang paling pentig teman hidup dan matinya, InsyaAllah. Tubuh suaminya itu dipeluk kemas bagi menghilangkan rasa rindunya.
Alhamdulillah, akhirnya dia menerima peminangan keluarga Hafizi walaupun pada mulanya agak berat untuk dia menerima hakikat. Selepas dia membuat solat istikharah hampir seminggu, hati dia berat mengatakan lelaki itu yang bakal menjadi imamnya. Petunjuk yang datang tidak semestinya datang melalui mimpi akan tetapi petunjuk dari Allah itu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Dan kini dia bahagia dalam limpahan mahabbahNya.

“Eh, nak pergi mana tu?” soal Hafizi apabila melihat isterinya cuba berjalan meninggalkan dia.

“Nak ambil air untuk abanglah. Abang mesti dahaga air kan” Ainiyah berasa pelik apabila di soal begitu. Tangannya turut dicapai Hafizi lalu dia di dudukkan di sofa.

“Kan abang dah kata, untuk beberapa bulan ni Aini tak perlu layan abang sangat. Biar abang je buat sendiri. Ibu mengandung kena banyakkan berehat. Lagipun, abang tak dahaga.” Tutur Hafizi lembut. Tempat di sebelah isterinya di ambil. Perasaan kasih sayang terhadap isterinya begitu menggebu. Tangannya lembut mengusap perut Ainiyah yang nampak membulat.

“Baiklah abang sayang. Eh, awal pula abang balik? Tak kerja ke hari ni?” soal Ainiyah. Sekarang baru pukul 11. Awal lagi ni.

“Tak, abang ambil cuti separuh hari. Takkan nak tinggal isteri abang ni seorang je kat rumah. Mak kan balik kampung semalam  tengok orang meninggal” Hafizi mengingatkan Ainiyah tentang ketidaan ibunya. Risau juga dia jika ada apa-apa terjadi. Isterinya itu bila-bila masa sahaja boleh bersalin. Ibunya pula terpaksa pulang ke kampung sekejap apabila jiran terdekat ibunya meninggal dunia.  Kerja boleh lagi untuk bertolak ansur namun keadaan isteri tersayangnya tidak boleh.

“Alah, InsyaAllah Ainiyah tak apa-apa. Due kan minggu depan”beritahu Ainiyah sambil memegang wajah suaminya dengan penuh kasih. Betapa terserlah kasih sayang suaminya itu buatnya.

“Yelah..abang tahu. Dah solat sunat Dhuha ke tadi?” tanya Hafizi sambil menarik lembut kepala Ainiyah ke bahunya. Diusap lembut rambut separas bahu isterinya itu. Ainiyah ketawa kecil sebelum mengangguk kepalanya.

Kalau dahulu ayahlah yang selalu bertanyakan tentang solat sunat Dhuha, tapi kini Hafizi pula yang mengambil alih. Syukur di atas jodoh
yang diatur olehNya. Betapa bahagianya dia . Kalau sebelum bernikah dahulu, betapa dia rimas dengan sikap Hafizi yang selalu bertanyakan tentang dirinya. Tapi kini itulah sikap Hafizi yang menunjukkan betapa suaminya itu mengambil berat akan dirinya. Rasa cinta dalam hati buat suaminya semakin lama semakin bercambah dah tidak pernah surut. Indahnya cinta yang disulami dengan perhubungan yang halal. Alhamdulillah. Moga-moga bahagia ini kekal selamanya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 14-11-2012 10:44 AM | Show all posts
nice story
Reply

Use magic Report

Post time 19-11-2012 11:16 AM | Show all posts
sukeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeee..... mau lagikkkkk
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2012 08:58 PM | Show all posts
terima kasih..tapi nak buat lagi cerita yang sama tak boleh la.otak beku heheheh
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-5-2024 12:41 AM GMT+8 , Processed in 0.055999 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list