|
|
FILEM: Jiwa tersasar anak muda
SUMBER HARIAN METRO
JIWA Taiko ke Jiwang Taiko? Itulah yang dibisikkan beberapa teman tatkala menonton filem ini. Sejujurnya, bagi pengikut setia karya Osman Ali, dia dikagumi kerana keberaniannya mengangkat realiti kehidupan ke layar perak.
Jiwa Taiko bukanlah karya aksi pertama sutradara muda ini kerana sebelum ini pernah muncul dengan Anak Halal yang dibintangi Farid Kamil, Maya Karin, Fasha Sandha, Raja Farah dan ramai lagi nama besar.
Tidak jauh berbeza dengan Anak Halal, Jiwa Taiko membawa penonton menyusuri pergolakan hidup anak muda yang tersasar namun berusaha kembali ke jalan benar yang dipadatkan lagi dengan nilai persahabatan, cinta tiga segi serta pengorbanan.
Pun begitu, Jiwa Taiko bukanlah persembahan terbaik Osman. Jika dibandingkan dengan Anak Halal, naratifnya nampak lebih kemas dan berisi namun Jiwa Taiko seakan hilang tempo hingga mengundang persoalan apa sebenarnya yang ingin disampaikan Osman.
Bahkan terlalu banyak adegan sentuhan dan ciuman bagi menggambarkan rasa sayang dalam persahabatan dilihat agak melampau. Tambah hangat dengan aksi 'daring' samseng seksi, Pinto, lakonan Bront Palarae meratah berahi tubuh Lara (Nadiya Nissa) yang kecewa apabila cintanya tidak kesampaian.
Satu percubaan berani dari Osman yang berpotensi mengundang pelbagai respons. Begitu juga dengan tatu di tubuh watak lakonan Remy yang mengimamkan solat di tepi pantai walhal di kalangan sahabatnya ada yang pernah mengimamkannya dalam penjara. Dalam konteks ini bermakna masih ada orang lain yang lebih layak menjadi imam dan paparan itu boleh mengelirukan penonton khususnya golongan muda.
Seperti yang diakui kebanyakan penggiat seni, penonton sekarang sudah bijak menilai bahkan ada antara mereka sangat peka. Ada yang boleh menerima adegan ranjang filem luar tetapi untuk karya tempatan, selalu mereka persoalkan perlukah babak 'daring' seperti itu?
Apapun, pujian harus diberikan kepada barisan pelakon lebih-lebih lagi Bront dan Nadiya kerana tampil dengan lakonan gred A. Ada peningkatan dalam persembahan Nadiya bahkan dia sangat menyerlah hingga menenggelamkan Diana Danielle.
Filem ini mengisahkan pertembungan dua sahabat, Firman dan Pinto yang dulunya sama-sama menjadi penjenayah kecil tetapi kini masing-masing memilih jalan hidup berbeza. Firman memilih dunia yang penuh nilai cinta dan kasih sayang sebaliknya Pinto menjadi taiko dalam dunia gengsterisme.
Pergolakan tercetus apabila Pinto menuntut janji Firman untuk terus hidup dan mati dalam dunia hitam. Apabila tuntutan janji bertukar menjadi dendam membara, seluruh persahabatan bergelora.
Pinto mengancam rakan-rakan Firman termasuklah sahabatnya, Lara dan kekasihnya, Trisya. Demi mempertahankan nilai persahabatan, Firman dan Pinto melancarkan pertarungan hidup dan mati.
DATA
FILEM: Jiwa Taiko
ARAHAN: Osman Ali
PELAKON: Remy Ishak, Bront Palarae, Diana Danielle, Nadiya Nissa, Fizz Fairuz, Mislina Mustafa dan Beto Khusyairi
GENRE: Aksi/Drama/ Romantik
TAYANGAN: 14 Jun 2012
ULASAN: Shakilawati Abd Rahman |
|