CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 42232|Reply: 205

ORKED HARLINA - [U]

[Copy link]
Post time 1-9-2011 02:43 PM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by Jaza2008 at 3-9-2011 20:19

Segalanya bermula dari hati..

jika hati sudah mati..

maka jiwa tidak lagi berseri


SETIAP manusia di dunia ini pasti memiliki sebuah kisah cinta. Tidak kisahlah jika ianya seindah pelangi atau sepahit hempedu. Tidak ada manusia pun di dunia ini yang diberi hati untuk tidak merasai cinta. Di mana-mana sahaja tempat di dunia ini, cinta itu sentiasa wujud. Seorang manusia mati dan rohnya meninggalkan jasadnya, namun tidak cintanya. Kerana cinta tidak akan pernah mati. Tiada sebarang sempadan wujud untuk mengukur seluas mana lautan cinta. Namun hanya manusia yang bercinta sahaja akan tahu mengukurnya. Memberi paksi pada hati agar sentiasa teguh dan tabah.


“Orked, cinta itu ada di mana-mana. Di luar sana akan ada seseorang untuk dirimu sayang. Yang akan menghargai dan menyayangi Orked tanpa alasan. Carilah cinta untuk dirimu sayang..agar Orked tidak terus sesat dalam pencarian. Gapailah tangan seseorang untuk dijadikan pasak kekuatan untuk dirimu. Carilah ianya sayang. Jangan ditunggu cinta yang sudah mati.”


Dia memejamkan mata seraya menggeleng. Suara itu kerap hadir menganggunya. Namun dia tidak pernah serik untuk terus berpegang pada kata hatinya. Tidak! Cinta takkan mati. Tidak akan ada sesiapapun yang dapat merampas cinta di hatinya untuk selama-lamanya. Tidak ayahnya, tidak ibu tirinya Maria dan tidak akan ada sesiapa pun. Mereka semua takkan dapat memaksa dia melupakan semua itu. Tidak sehingga ke akhir hayatnya.


He’s dead Orked. Apa lagi yang kau tak faham?” Suara Arida kedengaran melengking. Teman baiknya itu orang yang paling tidak mampu menerima keadaan dirinya yang tidak terurus selepas majlis pengebumian Idlan berakhir. Dan setelah setahun berlalu, dia masih tidak terurus. Masih hidup dalam dunianya sendiri tanpa pernah ambil peduli hal-hal di sekelilingnya. Semua yang penting dahulu di dalam hidupnya sudah tidak bererti apa-apa lagi sekarang ini.


“Apa gunanya kau mencintai orang yang sudah mati? Untuk apa sakiti diri begini untuk dia?” Arida sentiasa tidak jemu-jemu bertemu dan memujuknya. Hanya dia yang berdegil, tetap memekakkan diri dengan setiap nasihat yang terlontar dari bibir temannya.


“Ini pilihan aku sendiri.” Dia berkeras.


“Pilihan untuk bunuh diri?”


Dia memandang Arida dengan mata bersinar-sinar. Ada perasaan tidak senang di hatinya dengan kata-kata temannya, meskipun dia tahu Arida tidak bermaksud begitu.


“Dah dekat setahun dah dia meninggal. Orang mati takkan kembali Orked.”


Sekali lagi dia membuang pandang ke arah gadis di hadapannya yang bermulut agak lancang hari ini.


“Kalau kau datang hanya nak sakitkan hati aku, baik kau balik aje Ari.” Dia membalikkan tubuh. Matanya terperosok pada sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain buaian jongkang–jongket di kawasan perumahan yang disewanya hampir setahun yang lalu.


Arida mengeluh panjang. Melihat sikapnya yang acuh tak acuh, temannya seolah kehabisan ikhtiar. Perlahan-lahan Arida bangun dari bangku kayu yang mereka duduki.

Pandangan gadis itu mengarah tepat ke arahnya.


“Aku memang nak balik pun, tapi aku tak sanggup tengok kau macam ni Orked. Bila dia meninggal, kau langsung tak menangis. Kenapa?”


“Sebab dia belum mati dalam hati aku! Puas hati?” Herdiknya tanpa sedar. Suaranya yang meninggi membuatkan Arida terdiam tanpa sebarang kata. Tiba-tiba perasaannya bercelaru. Meninggi suara dengan Arida bukan niatnya sama sekali.


“Maaf Ari, aku tak sengaja.” Ujarnya kesal.


Arida hanya diam.


“Katakan sahaja aku perempuan gila atau bodoh. Tapi tidak ada sesiapa pun faham perasaan aku pada dia. Dia lelaki pertama yang datang menyelamatkan aku di saat-saat aku perlukan pelindungan. Dia yang damaikan hati aku setiap kali aku susah hati. Dia juga yang berjaya buatkan aku ketawa ketika bibir aku tak mampu untuk tersenyum. Dialah segalanya Ari. Dan bila tuhan mengambil dia dari aku, aku merasa tuhan telah mengambil nyawa aku sekali. Hati aku dah jadi kembali kosong. Dan hati yang kosong ini tak mampu menangis lagi bila setiap malam aku mengharapkan dia kembali.” Bisiknya mengharapkan agar gadis itu faham dan memahami perasaannya.


Arida memandang wajahnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Nafas Arida mendesah perlahan. Gadis itu menggeleng-gelengkan kepalanya.


“Aku rasa aku dah tak mampu lagi untuk ubah fikiran kau Orked. Apa kata kau pergi bercuti ke mana-mana. Cuba tenangkan fikiran kau. Beri ruang dan kesempatan untuk diri kau sendiri berfikir apa yang baik dan apa yang tak baik untuk diri kau.”


Arida membuka tas tangannya. Sekeping sampul surat dikeluarkan dari dalam beg tangan lalu dihulurkan padanya.


“Apa ni?”


“Tiket kapal terbang.” Sahut Arida selamba.


“Untuk apa Ari?”


“Aku nak kau ambil tiket tu dan pergi tenangkan fikiran. Buat lah apa sahaja yang kau suka asalkan kau kembali ke sini sebagai Orked yang aku kenal dulu.” Ujar Arida lalu beredar pergi.


Dia hanya terpempan melihat susuk tubuh Arida yang berayun pergi meninggalkan kawasan taman permainan di rumahnya. Sebaik kelibat gadis itu menghilang, dia merenung sampul surat di tangannya. Tangannya tanpa sedar merungkai sampul surat tersebut lalu mengeluarkan isinya. Sekeping tiket kapal terbang tidak bertarikh beserta cek atas namanya sebanyak RM50,000 ditatapnya dengan wajah bingung. Di celah-celah tiket kapal terbang terdapat sekeping memo kecil tulisan tangan Arida.

Orked…

Tiket dan cek itu sebenarnya diserahkan oleh Idlan beberapa minggu sebelum dia terlantar di hospital. Dia nak aku serahkannya pada kau. Aku tahu, dia nak kau bahagia walau di mana sahaja kau berada. Jangan ditanya kenapa baru sekarang aku serahkannya pada kau? Kenapa bukan setahun yang lalu? Ini adalah permintaan Idlan sendiri. Hargailah peluang ini Orked. Carilah kekuatan kau yang lalu.


- Arida -


Pengumuman yang bergema di kawasan lapangan terbang KLIA itu mengganggu lamunannya. Panggilan terakhir untuk perjalanan ke Milan berkumandang melalui interkom. Di saat-saat akhir dia menukar fikiran dan bersetuju untuk mencari sekelumit ketenangan dirinya di daerah asing yang tidak sesiapa pun mengenalinya. Mungkin ini lebih baik. Daripada dia menghabiskan sisa-sisa usianya memikirkan tentang Idlan.


Dia bangun dari kerusi yang didudukinya lalu mengeluarkan boarding pass dari dalam saku bajunya. Ketika dia mahu meluruskan tubuh, matanya terpandang sesusuk tubuh lewat di hadapannya sambil mengheret sebuah bagasi troli. Untuk sekejap, wajahnya bertukar kaget. Hatinya berdebar-debar menatap lelaki yang sedang beratur di hadapannya. Tak mungkin dia! Mungkin hanya pelanduk dua serupa. Hati kecilnya tak sudah-sudah mengatakan begitu, sedang matanya asyik memerhatikan lelaki di hadapannya yang berwajah serius. Paling mengejutkannya lelaki itu menaiki penerbangan yang sama dengannya! Tuhan!!

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 1-9-2011 02:52 PM | Show all posts
Post Last Edit by arrnita at 1-9-2011 18:04

Ketika lelaki itu mengambil tempat duduk di kelas ekonomi, dia cepat-cepat melajukan langkah. Dia tidak ingin lelaki itu menyedari kehadirannya. Namun nasibnya malang apabila seorang wanita bersama anak kecil yang berada di hadapannya tiba-tiba berhenti mendadak. Sebelah tangan wanita itu memegang anak kecil berusia dalam lingkungan 2 tahun, manakala sebelah tangan lagi terkiai-kiai mahu membuka ruang penyimpanan barang di atas kepalanya.
        Melihat keadaan itu, dia tidak sampai hati membiarkan sahaja.
        “Kak..saya tolong?” Ujarnya. Wanita itu berpaling. Memandangnya sejenak lalu memberi laluan. Dia segera membuka ruangan penyimpanan di atas kepalanya lalu menyimpan beg-beg kecil wanita itu.
        “Terima kasihlah dik, baik hati adik ni.” Wanita itu tersenyum manis. Dia turut melemparkan senyuman seraya mengangguk. Sebaik wanita itu selesai mengambil tempat duduk, dia meneruskan langkah yang tergendala sebentar tadi. Tapi kakinya entah kenapa tiba-tiba menggeletar. Pandangan itu…renungan itu tumpah ke wajahnya. Benar-benar mirip dengan Idlan.  
        Dia menelan liur, sedikit gugup. Tapi dengan wajah selamba dia meneruskan langkah seraya cuba mencari tempat duduknya sendiri. Dia mendongak memerhatikan nombor-nombor yang berada di atas kepalanya. Jumpa! Dia sempat berpaling. Lelaki itu sedang ralit membaca akhbar The Star. Tapi tempat duduk mereka walaupun berlainan tapi tetap berhampiran. Mahu tak mahu, dengan perasaan resah dan tidak menentu, dia mengambil tempat duduknya.
        Matanya dilarikan dari susuk lelaki itu. Enggan memandang lelaki itu lama-lama, lantaran bimbang hatinya yang cuba diubati akan luka parah semula. Bukankah perjalanan ini sekadar mahu memuaskan hati Arida dan cuba untuk mengubat luka di hatinya sendiri? Bukankah ini yang patut aku lakukan? Tapi kenapa dalam saat-saat begini lelaki yang memiliki iras wajah Idlan itu hadir? Kenapa?
        Seorang lelaki nertubuh agak gempal tiba-tiba bercakap seketika dengan lelaki seiras Idlan itu. Sesekali lelaki bertubuh gempal itu menunjuk-nunjuk ke arahnya. Dia jadi resah sendiri. Dalam masa yang sama tertanya-tanya kenapa lelaki itu menoleh lalu menunjukkan jari ke arahnya. Sejurus kemudian dia mulai sedar, rupa-rupanya lelaki bertubuh gempal itu mahu bertukar tempat dengan lelaki itu. Dan malangnya tempat itu adalah di sebelah kerusinya sendiri. Tuhan! Not here! Not right now! Tapi lelaki itu sudah pun menuju ke arahnya Dia gugup! Tubuhnya langsung mengeras.
        “Sorry, saya kena tukar tempat dengan lelaki tu. Dia nak duduk sebelah wife dan anak saudara dia.” Ujar lelaki itu seraya terus duduk di sampingnya tanpa memberinya ruang dan kesempatan untuk berfikir.
        Tubuhnya terus mengeras di tempatnya. Sebarang pergerakan, sebarang bunyi tidak berani dilontar keluar. Matanya menjeling lelaki di sampingnya yang kelihatan selamba dan santai dengan jaket denim dan jeans. Beg sandang kecil yang dibawanya hanya dipegang di atas riba. Matanya diam-diam beralih ke arah wajah lelaki itu. Setiap lekuk dagu, bentuk wajah, bibir, hidung dan mata lelaki itu diteliti penuh perhatian. Nafasnya berlagu kencang. Dan perasaannya? Debaran yang sama dirasainya tatkala dia berada di samping Idlan.
        Lelaki itu tiba-tiba menoleh. Merenung dirinya yang tidak sempat mahu melarikan anak matanya. Dia terkedu. Perasaan serba salah muncul kerana merenung lelaki itu seperti sekarang. Tapi dia tidak dapat menahan dirinya. Dia tidak mampu melupakan perasaan yang sama yang dirasainya terhadap Idlan.
        “Awak tak apa-apa?” Lelaki itu bertanya.
        Dia menggelengkan kepala.
        “Awak nampak pucat. Betul ni awak tak apa-apa?” Soal lelaki itu bertalu-talu. Renungan itu menjamah wajahnya dengan pandangan aneh. Dia cepat-cepat mengalihkan anak matanya ke luar jendela. Melarikan wajahnya dari terus diperhatikan. Sekaligus mengalihkan matanya dari terus memerhatikan wajah lelaki itu yang membuai perasaannya. Yang pasti dia sedar, lelaki itu bukan Idlan Bukan cinta yang dinanti-nantikannya selama ini. Lelaki itu hanya satu ilusi yang dihantar oleh tuhan untuk mengubat kerinduan yang dirasakannya saat ini.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2011 03:08 PM | Show all posts
Post Last Edit by arrnita at 1-9-2011 18:04

Empat belas jam menaiki penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke Milan, memang perjalanan yang memenatkan. Ditambah pula kapal terbang yang dinaikinya singgah di Thailand. Dari Thailand, barulah dia meneruskan perjalanan ke Milan menaiki pesawat Thai Airways. Dalam perut Thai Airways, lelaki yang duduk disampingnya tidak lagi kelihatan. Dan dia pula tidak ingin terus mencari lelaki itu, meskipun separuh dari hatinya mengkehendaki dia berbuat demikian. Apa gunanya Orked? Dia bukan orang yang kau cari. Wajahnya mirip tapi hatinya bukan untuk kau. Sepanjang penerbangan dia berbisik begitu. Meski jiwanya meronta-ronta inginkan kepastian siapakah lelaki itu, namun dia memaksa dirinya untuk tidak terus menyakitkan hatinya sendiri.
         Dia seperti seorang buta yang berjalan tanpa tongkat di tengah-tengah keributan manusia yang tersadai di Milan Malpensa International Airport. Dia tidak tahu ke mana harus ditujuinya. Tidak ada sesiapapun yang menantinya di situ, dan tidak ada sesiapa pun yang mengenalinya. Di tempat asing itu dia hanya bersendirian. Sengaja dia tidak menghubungi agensi pelancongan ketika di Kuala Lumpur. Malah ketika Arida bertanya, dia hanya mengatakan dirinya akan dijemput orang dari agensi pelancongan. Ketika itu dia sendiri tidak tahu kenapa dia berbohong dengan kawan baiknya sendiri.
        Orked duduk di salah sebuah bangku di kawasan lapangan terbang. Matanya ralit memerhatikan ragam manusia-manusia pelbagai bangsa di hadapannya. Kadang-kala dia juga terserempak dengan beberapa pelancong dari Malaysia. Ketika rombongan itu melewatinya, dia hanya mampu tersenyum. Seusai itu dia kembali termenung. Tidak pasti apa yang harus dilakukannya atau ke mana hala tujuannya. Dia hanya mahu melarikan diri. Sedikit pun dia tidak pernah terfikir lebih dari itu.
        “Adik…” suatu suara menyapa dari arah belakang. Orked berpaling. Melihat orang yang menegurnya ialah perempuan yang ditolongnya di dalam kapal terbang itu, dia segera bingkas bangun dari bangku.
        “Ya kak?” Tanya Orked lembut. Sangkanya perempuan itu perlukan bantuan. Fikirnya pula apa salahnya dia membantu, apatah lagi dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukannya di situ.
        “Adik datang sini sorang-sorang ke?’ Tanya perempuan itu. Anak kecil yang dikendongnya merengek-rengek di dukungan.
        Orked terpanar. Tidak tahu jawapan bagaimana harus diberikan pada wanita itu. Tapi memandangkan orang yang bertanya kelihatan ikhlas dengannya, hendak tak hendak dia mengangguk. Sekadar mengiyakan apa yang benar.
        Dahi wanita itu berkerut mendengar jawapannya.
        “Untuk apa? Berjalan-jalan? Bisnes?” Tanya wanita itu bertalu-talu.
        Sekali lagi Orked terkedu. Pertanyaan demi pertanyaan yang dilontarkan wanita itu membuatkan dia langsung bungkam. Melihat perubahan pada wajah Orked, wanita itu tiba-tiba tersenyum.
        “Maaf, kakak tak sepatutnya banyak bertanya. Kakak cuma hairan tengok adik ni duduk sorang-sorang di situ. Dah dekat sejam lepas flight kita landing. Kakak ingatkan adik ni ikut trip tour dari Malaysia.” Jelas wanita itu beserta senyuman ramah yang tidak lekang-lekang dari bibir.
        “Kenalkan nama kakak Sarah.” Wanita itu menghulurkan tangan.
        Orked teragak-agak mahu menyambutnya. “Orked. Orked Halina.” Ujarnya perlahan. Matanya merayap pada anak kecil di pangkuan Sarah.
        “Oh ya ini pula anak kakak. Iman Rayyad.”
        “Berapa tahun ni kak?”
        “Dah nak masuk dua tahun, buasnya tuhan saja tahu.” Sarah ketawa kecil.
        Orked turut ketawa. Dia asyik menyentuh-yentuh pipi Irman yang agak tembam dan bulat. Comel sekali anak Sarah. Kulitnya putih mulus. Sekali pandang anak itu bukan seperti anak melayu lain. Macam kacukan pun ya!
        “Boleh kakak tahu Orked nak ke mana?” Tanya Sarah semula. Kembali pada pokok persoalan pertama yang belum terungkap.
        “Err..saya nak cari hotel dulu untuk bermalam.”
        “Lepas tu?”
        “Hmm mungkin jalan-jalan di sini.” Lancar Orked menjawab. Dia tidak mahu ketidakyakinannya terus menimbulkan rasa curiga di hati Sarah.
        “Macam ni lah, apa kata kalau Orked ikut kakak balik? Lepas ni kakak nak naik Malpensa Express Train ke Cadorna Staziorne Nor di pusat bandar. Kalau Orked tak kisah, kakak boleh tumpangkan Orked kat rumah kakak sepanjang Orked ada di Milan.” Usul Sarah.
        Orked memandang wanita di hadapannya agak lama. Dia sebenarnya berasa serba-salah. Dia tidak ingin menyusahkan Sarah sebenarnya. Lagipun tujuannya ke Milan kerana tidak mahu membazirkan tiket yang diserahkan oleh Arida tempohari. Jika bukan kerana kemunculan tiket itu dan wang sebanyak RM50,000 yang diserahkan Idlan padanya, tak mungkin dia akan memberanikan diri memijakkan kaki ke tempat yang digelar New Paris oleh setiap pelusuk dunia.
        “Saya tak nak susahkan kakak.” Dia berterus-terang.
        Sarah ketawa kecil mendengar kata-katanya. “Susah apa pulak. Kalau Orked nak tahu kakak tinggal berdua aje dengan anak dekat Bizzore. Suami kakak orang Italy, selalu sibuk dengan urusan kerja. Kakak nak bekerja dia tak bagi. Terpaksa duduk di rumah sahaja jaga si Iman ni. Kalau Orked sudi, kakak boleh bawa Orked jalan-jalan di Milan ni. Free of charge je..kakak tak kenakan bayaran.” Ujar Sarah separuh bergurau.
        Orked tersenyum kecil. Pujukan Sarah sedikit demi sedikit menular di dalam fikirannya. Dengan bersusah payah dia akhirnya mengangguk tanda setuju. Tersenyum lebar Sarah apabila melihat kesanggupannya.
        Dia segera mengikut Sarah ke stesyen keretapi laju stesyen Malpensa Express Train yang terletak di dalam bangunan lapangan terbang itu. Sementara menanti Sarah membeli tiket, Orked mendukung Iman Rayyad yang sudah tertidur. Bibirnya menguntum senyuman ketka asyik menatap Iman Rayyad yang sedang terlentok di bahunya. Comelnya Iman, bila besar nanti tentu handsome dan ramai peminat, Orked tersenyum sendiri.
        Bila Sarah kembali, mata wanita itu terkelip-kelip melihat Iman Rayyad yang sudah tertidur.
        “La tidur pulak budak ni. Selalunya kalau dengan orang lain, dia susah sikit nak tidur. Agaknya dia suka kat kakak Orked dia yang comel ni agaknya.” Sarah mengusik seraya mengambil anaknya dari Orked. Sebelah tangannya menghulurkan tiket pada Orked.
        “Berapa harga tiket ni kak?” Tanya Orked seraya mengambil dompetnya, mahu membayar duit tiket keretapi yang dibeli oleh Sarah.
        “Alah tak payahlah, simpan aje duit Orked tu. Bukan mahal pun, 9 Euro aje.” Ujar Sarah sambil tersenyum. Orked tidak jadi membayar. Di dalam hati dia rasa bersyukur dipertemukan dengan Sarah yang baik hati.
        Tidak sampai sepuluh minit menanti, keretapi ekspress itu tiba di hentiannya. Sarah melompat naik sambil dibantu oleh Orked. Dia turut membantu memindahkan bagasi-bagasi Sarah dari troli. Seorang lelaki berbangsa Italy mahu menawarkan bantuan, namun Orked hanya menggeleng.
        Usai mengangkat bagasi-bagasi wanita itu, Orked turun pula untuk mendapatkan bagasinya sendiri yang masih tertinggal di dalam troli. Namun ketika dia mahu mencapai bagasinya, telinganya menangkap bunyi kanak-kanak menangis. Dia segera berpaling. Seorang kanak-kanak berbangsa Inggeris sedang menangis di sisi ibunya yang sedang berbual-bual menggunakan telefon. Namun perhatian Orked bukan tertumpu pada kanak-kanak itu. Sebaliknya matanya terpaku pada seraut wajah yang berteleku di hadapan kanak-kanak itu sambil menunjukkan mimik wajah lucu untuk memujuk anak kecil itu. Lelaki itu lagi!
        Orked memalingkan wajah. Tuhan! Kenapa wajahnya terlalu mirip dengan Idlan? Kenapa dia mesti muncul di hadapanku pada saat-saat begini?
        “Orked..” wajah Sarah muncul di salah sebuah jendela keretapi yang terbuka luas sambil melambai-lambai ke arahnya. Orked segera mencapai bagasinya. Namun matanya masih mencuri pandang gerak-geri lelaki itu. Si lelaki tiba-tiba menoleh. Bangun dan memandang tepat ke arahnya..
        “Orked, cepatlah. Kejap lagi train ni nak gerak.” Sarah tiba-tiba muncul lalu menarik tangannya. Dia seperti orang bodoh hanya mengikut. Tapi ketika dia menoleh sekali lagi ke arah lelaki itu, mata si lelaki masih meratah wajahnya. Orked terpaku. Idlan! Renungan itu milik Idlan. Renungan dan pandangan yang masih sama seperti dulu!
        Gerabak keretapi mula bergerak. Menyedari keretapi itu sedang meninggalkan stesyen, Orked seperti hilang akal segera berlari ke arah salah sebuah jendela. Entah kenapa ada sesuatu yang menyuruhnya agar terus mencari lelaki itu. Melihat kelibat lelaki di luar sana, Orked sudah tidak mampu menahan getar perasaannya.
        “Idlan!!!” Jeritannya bergema kuat. Nyaring dan mengejutkan hampir sebilangan penumpang-penumpang keretapi express itu. Termasuklah Sarah yang tergaman sambil mendukung Iman Rayyad yang sudah terjaga dari tidurnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2011 09:28 PM | Show all posts
Post Last Edit by arrnita at 1-9-2011 21:30

“Come era?” Tanya seorang lelaki berwajah asing pada Sarah yang baru keluar dari sebuah bilik. Wanita itu memandang suaminya lalu tersenyum. Iman Rayyad yang berada di pangkuan lelaki itu diacah-acah menyebabkan anak kecil itu ketawa. Daud Callisto Abdullah turut ketawa kecil melihat telatah anak kesayangannya.
        “Dorme.” Jawab Sarah sepatah. Merujuk kepada gadis yang sedang tidur di bilik tetamu keluarganya di Corvetto Residence yang terletak 1.8 batu dari pusat bandar Milan.
        “E giusta?” Daud bertanya lagi, ingin tahu.
        Sarah terdiam. Pertanyaan lelaki itu dibalas dengan keluhan. Dia tahu suaminya hanya turut sama mengambil berat.
        “Dia menangis sepanjang perjalanan dari airport tadi. I don’t think that she will be okay, for now.” Ujar Sarah lagi.
        Dia turut hairan dengan sikap Orked sewaktu di dalam keretapi beberapa jam yang lalu. Orked menangis seperti kehilangan sesuatu. Tangisan gadis itu begitu sayu dan meruntun hati sesiapa sahaja yang memandangnya tika itu. Dia juga masih ingat nama yang dijerit oleh Orked berulangkali di atas keretapi tadi. Idlan! Siapa Idlan? Hati Sarah tertanya-tanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2011 09:30 PM | Show all posts
Cahaya menyuluh masuk melalui celah-celah tirai jendela yang tersingkap. Orked masih terpisat-pisat di atas katil. Perasaan keliru dan bingung saling bercambah dalam dirinya. Dia merenung persekitaran bilik tidur yang dilengkapi perabut mewah bergaya Inggeris itu. Cuba mengingati semula bagaimana dia boleh terperosok di atas katil mewah yang asing dari kamar tidurnya sendiri.
        Sejauh yang masih diingatinya, dia mengikut wanita bernama Sarah yang ditemuinya di dalam kapal terbang. Menaiki keretapi ekspress dari Lapangan Terbang Antarabangsa Malpensa sehingga ke Stesyen Cadorna. Di Stesyen Cadorna, mereka dijemput seorang lelaki berbangsa Italy. Tapi siapa lelaki itu dia tidak sempat untuk ambil tahu lantaran matanya yang bengkak-bengkak kelmarin.
        Bunyi daun pintu berkeriut membuatkan Orked berpaling. Di muka pintu, Sarah berdiri sambil tersenyum memandangnya.
        “Orked dah bangun?” Sapa Sarah lalu menghampirinya di birai katil.
        Dia hanya mampu mengangguk.
        “Kak, saya di rumah kakak ya?” Soalnya inginkan kepastian.
        Sarah ketawa besar mendengar kata-katanya. “Yalah kita kat rumah akak, takkan kat hotel kut. Orked tak ingat?”
        Dia menggeleng sambil memegang kepalanya yang berdenyut-denyut sedari tadi.
        “Bilik ni besar macam istana.” Komen Orked tanpa sedar. Dia tidak berniat mahu mengatakannya tapi entah kenapa semua itu meluncur laju dari mulutnya tanpa disedari.
        “Rumah ni sengaja dibina dengan senibina Inggeris dan digabungkan dengan senibina di zaman Renaissance Italy sewaktu era Florence dulu. Suami kakak yang bina rumah ni. Dia seorang arkitek. Nama Islamnya Daud Callisto Abdullah.” Terang Sarah.
        Barulah Orked mengerti kedudukan sebenarnya. Rupa-rupanya Sarah berkahwin dengan warga Italy dan menetap di Milan. Patutlah wajah Iman Rayyan tidak seperti kanak-kanak melayu yang lain.
        “Kakak bekerja?” Tanya Orked ingin tahu.
        Sarah menggeleng. “Dulu akak belajar di Bristol, kemudian waktu bercuti ke Europe dengan kawan-kawan universiti, akak jumpa dengan suami akak. Kami jatuh cinta dan ambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Keputusan yang agak drastik kan?” Sarah ketawa lagi.
        “Mulanya ingat nak kerja, tapi  suami akak tak bagi. Dia minta akak jaga dia aje dan jaga rumahtangga kami. Akak pun tak kisah, lagipun akak suka memasak dan mengemas untuk suami dan anak akak. Dah dekat lima tahun kami kahwin dan sejak tiga tahun yang lalu akak pindah dan menetap di Milan. Setiap tiga bulan sekali, akak akan bawa Iman balik ke Malaysia untuk bertemu keluarga akak kat sana.” Cerita Sarah.
        Orked terdiam. Di dalam hati singgah rasa kagumnya pada Sarah yang berani berkahwin dengan warga asing dan hidup di rantau orang. Kalau jatuh di tempatnya, belum tentu dia akan berani melakukannya.
        “Keluarga kakak macamana? Mereka tak kisah?”
        Sarah tersenyum kecil. “Mula-mula dulu mereka memang menghalang hubungan antara kakak dan Daud. Tapi Daud sanggup ikut akak balik ke Malaysia jumpa keluarga akak. Sebelum tu dia belajar cakap bahasa melayu selama beberapa bulan, supaya senang dia nak berkomunikasi dengan keluarga akak. Dekat berbulan-bulan jugaklah dia tinggal di kampung akak. Lama-kelamaan keluarga akak mampu terima Daud sebagai sebahagian dari keluarga kami.  Dan kami kahwin dan bahagia sehingga sekarang. Iman satu-satunya pengikat cinta kami.”
        Melihat kebahagiaan yang terpancar pada raut wajah Sarah ketika bercerita, Orked tiba-tiba dilanda perasaan sedih. Pilu hatinya melihat cinta murni antara Sarah dan suaminya mampu berakhir ke jinjang pelamin. Sedangkan cintanya musnah di tengah jalan. Sebelum sempat ia mekar dan berkembang.
        “Orked..” panggil Sarah.
        Orked berpaling Terpinga-pinga dia memandang Sarah yang sedang menatapnya dengan wajah serius.
        “Kalau kakak tanya sesuatu, Orked jangan marah ya.” Ujar Sarah.
        Orked terkedu sebentar. “Maksud kakak?”
        “Kakak bukan nak menyibuk. Tapi kejadian semalam buat kakak tertanya-tanya. Kenapa dengan Orked sebenarnya? Siapa lelaki yang Orked panggil waktu kita kat stesyen keretapi tu?” Soal Sarah ingin tahu.
        Orked terpempan. Dia benar-benar tidak menyangka dirinya akan disoal dengan pelbagai soalan demi soalan dari mulut Sarah. Tiba-tiba sahaja ingatannya tumpah pada wajah lelaki seiras Idlan yang ditemuinya kelmarin. Semalaman dia menangis kerana teringatkan lelaki itu. Entah sejak bila dia terlena dengan sisa-sisa airmata masih di pipinya.
        “Maaf kalau Orked tak nak jawab pun tak mengapa. Kakak takkan memaksa.” Ujar Sarah apabila melihat  gadis di hadapannya diam sahaja. Timbul perasaan serba-salah di hati Sarah kerana sibuk mahu mengambil tahu hal yang bukan menjadi urusannya. Dia segera bingkas bangun dari birai katil.
        “Kakak keluar dulu. Lepas Orked mandi dan bersiap, keluar tau. Kakak dah sediakan breakfast untuk Orked. Nanti kita breakfast sama-sama.” Ujar Sarah lalu tersenyum. Dia segera menuju ke arah pintu. Namun belum sempat dia mendahului langkah, suara Orked kedengaran memanggilnya. Sarah berpaling. Terlihat mata anak gadis itu basah ketika memandangnya. Sarah terkejut besar.
        “Orked? Kenapa ni?”
        “Maafkan Orked kak sebab tak mampu nak berterus-terang dengan kakak. Mungkin Orked ni yang sudah gila. Masih terkenang-kenangkan orang yang sudah mati. Orked ke mari sebab nak cuba lupakan dia. Tapi tak sangka sehingga ke mari pun, bayang-bayangnya masih wujud di hadapan mata Orked.” Ujar gadis itu.
        Sarah terkedu. Kata-kata gadis itu membuatkan dia menarik nafas panjang. Jadi itu tujuannya kenapa gadis semuda Orked berani menginjakkan kakinya ke sebuah negara asing? Hanya kerana mahu melupakan seseorang! Tapi siapa lelaki yang membuatkan wajah gadis itu dalam kesedihan? Hati Sarah terus berladung dengan pertanyaan. Kasihan Orked! Tentu cintanya terhadap lelaki itu begitu mendalam. Jika tidak masakan gadis itu menjerit-jerit seperti orang gila semalam
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 1-9-2011 09:34 PM | Show all posts
Selepas bersarapan, Orked mengikut Sarah keluar. Dia sendiri tidak tahu ke mana hala tujuan wanita itu. Dia hanya akur apabila Sarah mengajaknya keluar. Iman Rayyan yang sedang tidur ditinggalkan di rumah pengasuh kanak-kanak itu yang kebetulan tinggal berjiran dengan Sarah tidak jauh dari Corvetto Residence.
        Madam Allegra yang berbadan gempal dan bermulut becok tak sudah-sudah menegur Orked di sisi Sarah, meskipun Orked tidak mampu memahami bahasa Italy yang digunakan wanita itu. Hendak ditanya, dia jadi segan dengan wanita itu.
        Tapi selepas mereka meninggalkan kawasan rumah Madam Allegra, dia mengambil kesempatan bertanya. Sarah ketawa kecil mendengar pertanyaan Orked.
        “Madam Allegra tu memang peramah orangnya. Dia tak fasih berbahasa Inggeris tak seperti suaminya Christiano. Tadi tu dia sebut ‘bello’. Maksudnya cantik. Kata Madam Allegra, Orked ni cantik orangnya.” Jelas Sarah lalu tersenyum.
Orked ketawa kecil mendengarnya. Cantik? Orang Italy puji aku cantik? Rabun agaknya Madam Allegra tu.
“Kenapa Orked ketawa? Tak percaya?” Sarah turut sama tergelak.
“Mana ada Orked ni cantik kak. Madam Allegra tu salah tengok kut.”
Sarah ketawa lebih kuat. “Ada pulak macam tu. Madam Allegra tu memang rabun pun. Tapi rabun dia kali ni kakak pun setuju. Siapa kata Orked tak cantik. Kakak suka tengok muka Orked. Comel! Kalau kakak ada anak perempuan, kakak nak muka anak kakak tu maam muka Orked. Sejuk mata memandang.” Sahut Sarah.
“Kalau macam tu, kakak kena pandang muka Orked ni tiap-tiap hari lah. Barulah melekat ‘comel’ Orked ni pada baby kakak nanti. Ada-ada ajelah Kak Sarah ni.” Orked menggeleng-gelengkan kepalanya seraya tersengih. Lucu mendengar kata-kata Sarah yang dua kali lima dengan Madam Allegra.
        “Kalau nak pandang Orked tiap-tiap hari, nampak gaya Orked kena tinggal kat sinilah. Manalah tahu suatu hari nanti jodoh Orked orang Italy macam kakak.” Usik Sarah penuh bermakna.
        Orked hanya tersenyum mendengar kata-kata Sarah. Dia tidak berhasrat sehingga begitu. Meskipun jodoh dan maut di tangan tuhan, namun dia masih belum sanggup untuk bersuamikan lelaki Italy dan tinggal jauh dari tanahairnya sendiri.
        “Kita sebenarnya nak ke mana ni kak?” Orked tiba-tiba melemncongkan pertanyaan. Dia sudah tidak berminat mahu meneruskan perbualan terakhirnya dengan Sarah, bimbang ianya terus melarat. Topik yang kalau boleh ingin sentiasa dielakkannya.
        Sarah tersenyum sahaja. “Hmm..hari ni kakak nak bawa Orked jalan-jalan kat tempat ni. Hari ni kakak jadi orang bujang sekejap semata-mata untuk Orked.” Ujar wanita itu.
        “Jalan-jalan? Ke mana?”
        “Orkedlah beritahu kakak? Di sini tempat apa yang Orked betul-betul rasa nak melawat?” Soal Sarah lagi.
        Orked terdiam sebentar. Dia memang ada tujuan datang ke Italy sebenarnya. Ada janji yang belum sempat dilaksanakan oleh Idlan padanya. Seketika Orked menarik nafas panjang seraya melontarkan pandangan ke arah Sarah yang masih menantikan jawapannya.
        “Boleh kita ke Duomo Square?”
        Sarah tersenyum. “Pandai Orked teka. Memang kat situlah kakak cadang nak bawa Orked pergi. Sesiapa yang datang ke Milan kalau tak pergi melawat Piazza del Duomo, memang tak sah!” Canang Sarah dengan wajah gembira. Hanya Orked yang tidak terkesan dengan kata-kata itu. Kerana ada suara lain yang meniti di kepalanya saat itu.
        “Abang teringin sangat nak tengok semula Gothic Cathedral di Milan. Masa belajar dulu abang dah pernah pergi tengok. Lagipun semua arkitek macam abang simpan niat yang sama nak melihat antara objek paling cantik dan unik di seluruh dunia.  Tapi lain kali kalau abang pergi lagi, abang nak bawa Orked bersama abang. Orked mesti suka tengok Duomo ni. Bangunan ni dah dibina sejak abad ke-14 lagi, tapi ia masih gagah dan kukuh sehingga ke hari ini.” Cerita Idlan masih disimpannya satu persatu di dalam kepalanya.
        “Kalau kita sampai ke sana nanti, abang nak bawa Orked pergi tengok patung St. Bartholomew, tengok Santa Maria delle Grazie, tengok Castello Sforzesco dan macam-macam lagi.”
        Dia hanya ketawa mendengar kata-kata Idlan.
        “Abang ingat Orked ni macam abang ke? Suka tengok bangunan yang pelik-pelik tu? Kalau Orked nak melawat Milan, Orked cuma nak pergi shopping kat sana. Nak beli Prada, beli Louis Vuitton barulah best.” Dia sengaja mahu mengusik Idlan yang terpisat-pisat memandangnya.
        “Mahal benda-benda tu semua kat sana. Paling-paling kurang mahu cecah R3000 hingga RM5000 untuk sebuah beg. Alah Orked ni membazir ajelah nak beli benda-benda tu semua. Pakai ada beg Prada dan Louis Vuitton yang jual kat sini. Murah je.” Idlan tersengih-sengih memandangnya.
        “Kalau sekadar yang kat Petaling Street tu baik tak payah.” Dia mencebik pura-pura merajuk. Kerana dia tahu Idlan paling suka memujuknya.
        Seperti yang diduga lelaki itu ketawa kecil melihat gerak-gerinya. Idlan menarik bahunya lalu merenungnya penuh asyik.
        “Kalau Orked nak beg Prada tu, Orked kena janji sesuatu dengan abang.” Idlan cuba menggumpan.
        Dia memandang Idlan. Kata-kata lelaki itu membuatkan seluruh perhatiannya tertumpu pada wajah Idlan yang sedang menatapnya.
“Apa?”
“Janji dengan abang yang Orked akan terus cintakan abang sampai bila-bila pun. Kecuali kalau abang sudah mati, Orked kena lupakan abang dan teruskan hidup Orked.” Bisik Idlan.
Dia memandang Idlan yang kelihatan serius. Matanya tanpa disedari sudah mulai merah. Entah kenapa dia benar-benar tidak menyukai kata-kata Idlan yang satu itu.
“Orked tak suka dengar abang cakap macam tu. Kenapa abang selalu suruh Orked lupakan abang kalau abang dah mati? Abang tahu tak, kematian tak pernah menjadi pemisah cinta. Orked akan sayangkan abang, cintakan abang sampai akhir hayat Orked. Mungkin sehingga tubuh Orked reput sekalipun, hati Orked tetap pada abang.” Dia mengakuinya tanpa malu. Cintanya menjadi madah yang paling ikhlas pernah dilafazkannya untuk seorang lelaki.
Orked memejamkan mata. Ada air hangat bertakung di kelopak matanya. Dia memalingkan wajah ke luar tingkap kereta yang sedang dipandu oleh Sarah. Dia tidak ingin wanita itu terus menjadi saksi pada sebuah kelukaan yang dirasakannya saat ini. Kehilangan! Dia sudah kehilangan Idlan. Apa lagi yang tinggal untuk dirinya?
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 1-9-2011 11:27 PM | Show all posts
wah novel terbaru drpd kak nita
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-9-2011 04:30 PM | Show all posts
bukan novel baru mijot, sekadar tulisan bodoh-bodoh sahaja. Bosan punya fsl sehari dua ni, k nita singgah sini baca karya2 org..hehe tiba-tiba terfikir lak nk menulis apa shj yg keluar dr otak..so inilah hasil perah otak yg tak berapa nak perah tu..haha
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 2-9-2011 05:25 PM | Show all posts
Post Last Edit by arrnita at 2-9-2011 17:26

Milan Cathedral atau dipanggil Piazza Duomo oleh orang-orang tempatan, memang antara objek tumpuan pelancong yang cukup indah di bandar Milan. Tidak ada apa yang mampu diungkapkan oleh bibir Orked tatkala dia berdiri tegak di hadapan gereja gothic berusia hampir 200 tahun itu. Matanya mendongak ke arah bangunan berwarna putih krim itu.
Di atas bumbung cathedral itu terdapat beratus-ratus spires berwarna putih yang menambahkan keunikan bangunan tersebut. Manakala di dinding-dinding luar cathedral itu pula, terdapat banyak sculpture berupa patung-patung pada era Gothic Italy yang kelihatan cukup unik setiap satunya. Menurut Sarah, semua scrupture-scrupture pada dinding cathedral itu berjumlah hampir 3000 semuanya.
“Cantik kan?” Ujar Sarah yang entah sejak bila berada di sampingnya.
Dia menoleh memandang ke arah Sarah. Dengan bibir yang tersenyum, dia mengangguk setuju. Memang cantik! Sama seperti yang Idlan gambarkan ketika bercerita tentang salah satu gereja tertua di Lombardy itu.
“Duomo ni merupakan gereja ke empat tertua di dunia. Nak membinanya sahaja kena ambil masa 6 abad.” Sambung Sarah seraya melemparkan pandangan ke arah cathedral itu.
“Enam abad? Lamanya.” Komen Orked.
Sarah ketawa besar. “Kebanyakan bangunan-bangunan di Italy ni memang antara bangunan-bangunan tertua di dunia. Tapi nak bercerita satu-persatu, kakak sendiri tak arif sangat. Kalau abang Daud tu mungkin boleh jelaskannya pada Orked. Dia memang arif dengan semua bangunan-bangunan bersejarah di sini.”
Orked tersenyum. Dia sendiri tidak tergamak mahu menyusahkan Sarah dengan bertanya banyak soalan. Lagipun tujuannya datang ke situ sekadar mahu melawat tempat-tempat yang pernah Idlan ceritakan padanya dahulu. Dan ternyata Idlan tidak pernah berbohong bila mengatakan dia akan mengagumi seni bina Duomo itu.
“Orked tak naik ke atas?”
“Ke atas?”
“Kalau nak kita boleh mendaki tangga ke atas. Dari atas kita boleh tengok pemandangan kawasan sekitar. Tapi kena panjat banyak anak tangga la kalau nak sampai ke atas.” Ujar Sarah.
“Berapa anak tangga semuanya?”
“Dekat 200 anak tangga kut.” Sarah tersengih.
Dia terpempan. Banyaknya!
“Tapi kalau tak nak pun tak apa. Kita boleh naik lif aje ke atas.” Sambung Sarah lagi seraya ketawa terkeheh-leheh. Orked turut menyimpul tawa lantaran dia menyedari wanita itu sedang bercanda dengannya.
“Kalau kat atas kita boleh tengok Madonnina dengan lebih jelas.”
Orked terdiam mendengar kata-kata Sarah. Madoninna?
“Di atas bangunan Duomo tu ada sebuah puncak yang paling tinggi. Kat situlah terletaknya patung Madoninna yang menjadi lambang kemegahan Duomo. Ada orang kata Madonnina dah jadi ikon iklim kat Lombardy tu.” Suara Idlan hadir lagi mengusik kenangan lamanya.
“Maksud abang?”
“Kalau nak tengok bagaimana keadaan cuaca kat tempat tu, tengok aje patung Madoninna tu. Kalau puncak Madoninna tu tak kelihatan, bermakna cuaca kat situ tengah lembab. Kalau cuaca elok, puncak tu akan bersinar-sinar dari jauh.” Cerita Idlan tidak pernah habis. Mata lelaki itu sentiasa bercahaya setiap kali berbicara tentang sesuatu. Itu yang paling dirinduinya tentang lelaki itu.
“Kenapa Orked senyum?” Sarah menegur separuh hairan.
Orked tersentak. Hilang sudah lamunannya diragut suara Sarah yang agak lantang. Terkelip-kelip dia memerhatikan wanita itu.
“Err tak ada apa-apalah Kak Sarah. Orked cuma terkenangkan seseorang.” Ujarnya beralasan.
“Siapa? Idlan?” Sarah menduga.
Dia terkedu. Tak menyangka tekaan Sarah kali ini tepat. Mahu tak mahu dia mengangguk.
“Dulu Idlan pernah janji nak bawa Orked ke mari. Tapi sayangnya tak sempat. Dia pergi dulu sebelum dia sempat tunaikan janjinya.” Bisik Orked sayu.
“Kalau Orked tak keberatan, boleh kakak tahu kenapa Idlan meninggal?” Tanya Sarah ingin tahu. Wajah Orked yang tidak berseri dan muram membuatkan dia berminat mahu mendengar cerita gadis itu. Hatinya teringin benar mahu tahu siapakah lelaki yang berjaya membuatkan anak gadis seperti Orked merantau jauh ke mari seorang diri.
Orked menarik nafas panjang. Pandangannya tenggelam sayu. Wajah lelaki itu kini melambai-lambai di ingatannya. Ternyata, kenangan lalu begitu menghambat perasaanya. Tak sangka dia akan terluka sebegini teruk selepas pemergian Idlan. Kejamnya dunia ini terhadapnya!
Reply

Use magic Report

Post time 2-9-2011 05:45 PM | Show all posts
nita bestnya crite baru....
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-9-2011 05:45 PM | Show all posts
Setahun yang lalu…
        PERUTNYA sudah menggebu kelaparan. Hampir semalaman dia menahan lapar dan dahaga. Berkali-kali dia merayu pada anggota polis yang bertugas di situ supaya dia diberi sedikit makanan untuk menggalas perutnya, namun wanita berbadan gempal itu hanya memandangnya acuh tak acuh.
        “Semalam bila diberi makanan, kamu lempar dan campak ke dinding. Sekarang baru tahu nak makan pulak!” Rungut wanita itu dengan wajah cemberut.
        “Apalah nak jadi dengan kamu ni. Dah elok-elok masuk universiti, ponteng kelas, pergi clubbing, bergaduh lepas tu hisap rokok dan ambil minuman keras pulak. Lama-lama nanti ecstasy pun kamu ambil.” wanita gempal itu tak habis-habis cuba menyakitkan hatinya.
        Dia menoleh ke arah wanita itu. Telinganya berdesing. Berangnya tiba-tiba hadir tak diundang tatkala mendengar ayat penyata wanita berbadan gempal itu.
        “Yang puan sibuk-sibuk ni kenapa? Saya jadi macam ni bukan habiskan duit puan pun.” Herdiknya dengan suara kasar.
        Wanita itu membulatkan biji matanya. “Amboi budak ni menjawab pulak. Bukannya tahu nak berterima kasih dengan  aku. Padanlah bapak kamu pun tak mahu ikat jamin kamu dari lokap ni.” Rungut wanita itu seraya berlalu pergi.
        Berdesing telinganya mendengar kata-kata anggota polis wanita berpangkat konstabel itu. Kata-kata itu membuatkan dia terkenangkan lelaki berkumis tebal yang selalu serius wajahnya.
        “Jangan harap ayah nak jamin kamu kali ni Orked. Kamu tidurlah dalam lokap tu malam ni sampai kamu insaf dengan semua kerenah yang kamu dah buat selama ini.” Kata-kata lelaki itu kembali menyesakkan fikirannya. Ah persetankan! Macamlah aku kisah sangat! Dan hampir semalaman dia tidur beralaskan lantai dan berbantalkan lengan. Kesejukan dalam bilik sel itu mencengkam sehingga ke tulang belikatnya namun dia hanya bersabar. Bukankah itu yang selalu dilakukannya? Hanya bersabar!
        Ketika ini dia terkenangkan arwah uminya. Sifat umi yang lembut dan penyayang membuatkan airmatanya menitis lagi. Dia tidak tahu kenapa airmatanya senang benar mengalir jika  dia terbayangkan wajah uminya.
        “Orked satu-satunya permata hati umi yang paling umi sayangi. Biar apa pun  kata orang, umi percaya pada Orked. Umi tahu Orked anak umi yang baik!” Bicara umi suatu ketika dahulu tergiang-giang di telinganya. Kata-kata itulah yang selalu menyejukkan hatinya tatkala dia terjeruk hati dengan sikap ayahnya sendiri.
        “Umi, kenapa ayah tu macam tak sukakan Orked? Apa salah Orked, Umi?” Pertanyaan itu berulangkali diutarakan untuk santapan telinga uminya. Wanita itu terdiam memandangnya. Keluhan halus meniti keluar dari bibir umi.
        “Orked tak salah sayang. Umi yang salah.”
        “Umi salah apa?” Dia terpinga-pinga menangkis kata-kata ibunya.
        “Ayah Orked tu nakkan anak lelaki. Tapi umi tak mampu lahirkan adik untuk Orked. Ayah tu kecewa sebenarnya.” Bisik umi perlahan. Bagaikan takut kata-katanya singgah di telinga suaminya.
        Dengan wajah bingung, dia diam tak terkata. Dalam usia lima belas tahun, dia sebenarnya langsung tak memahami apa-apa. Dia hanya tahu ayah dan uminya kerap beperang mulut sejak usianya belasan sehinggalah umi meninggal dunia kerana kemalangan di tempat kerja.
        Ketika jenazah uminya dibawa ke kampung, ayahnya langsung tidak balik menjenguk muka. Telinganya sendiri dapat mendengar saudara mara belah ibunya sibuk bertanyakan ayahnya di mana.
        “Mana si Hamdan ni?”
        “Dia sibuk agaknya.”
        “Hai takkan bini meninggal dunia pun sampai tak ada masa nak jenguk.”
        “Biarlah dia orang bisnes. Sibuk dia mengalahkan sibuk perdana menteri.”
        “Jangan-jangan sibuk hala ke lain. Maklumlah lepas ni dah sah-sah jadi duda rebutan. Duit ada, rupa pun ada.”
        Matanya terpisat-pisat memerhatikan celoteh sekumpulan wanita yang duduk di pangkin kayu di hadapan rumah datuknya. Hatinya berang mendengar kata-kata yang tak sayang mulut itu. Pelik juga dia mengenangkan wanita-wanita itu yang hanya tahu bergosip. Bukannya datang nak bersedekah Fatihah pada arwah ibunya, sebaliknya datang nak menambahkan dosa kering.Jika diikutkan hatinya mahu sahaja dia menghambat makcik-makcik itu. Tapi kerana mengenangkan arwah ibunya, dia memaksa diri bersabar.
        Orked meraba-raba pipi yang terasa hangat. Ada air jernih yang mengalir di situ tanpa disedari. Dia terpinga-pinga jadinya. Aku menangiskah? Untuk apa? Umi sudah lama pergi dari hidupnya. Dia hanya sebatang kara meskipun diulit kemewahan yang diberi ayahnya tanpa kasih sayang.
        Tubuhnya dibalikkan. Matanya dengan lekas terpandang teman satu lokap yang disumbat dalam bilik itu malam semalam. Gadis itu sudah lama tertidur. Menurut gadis dari Seremban itu, dia ditangkap kerana mencuri barangan di pasaraya. Dia pula ditangkap pihak berkuasa kerana bergaduh dengan seorang perempuan di kelab malam. Semuanya gara-gara gadis itu mencari fasal dengannya terlebih dahulu. Selebihnya barannya datang akibat air setan yang diteguknya sebelumnya. Apabila kelab itu diserbu pihak berkuasa, sedang-sedang elok dia sedang membelasah gadis yang kurang ajar itu yang menuduhnya merampas teman lelakinya. Entah yang mana satu dia sendiri tidak ingat!
        Tapi inilah bahana akibat kelalaiannya malam itu. Tak fasal-fasal dia menjadi penginap di lokap ini sehingga ada yang sudi mengikat jaminnya. Tapi mengenangkan ayahnya sendiri tidak mempedulikannya, dia sudah tidak menyimpan harapan apa-apa lagi. Hendak menelefon Arida meminta tolong, dia tidak sanggup. Teman sekolejnya itu tidak pernah bersetuju dengan kelakuannya yang dianggap liar dari sehari ke sehari. Hendak menelefon Mira, dia tahu Mira bukannya ada duit yang banyak untuk membantunya.
        Tidurlah Orked! Hati kecilnya berbisik. Tidurlah sehingga hari-hari esok akan terus berlalu dan berlalu. Kerana sesaat yang diharungi amat lambat berputar dalam hidup kau! Tidurlah sehingga kau hanya akan bermimpikan umi yang sentiasa kau rindui siang dan malam.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 2-9-2011 06:14 PM | Show all posts
“ORKED HALINA. Kamu boleh keluar, ada orang datang ikat jamin kamu.” Suara anggota polis wanita berbadan gempal itu kedengaran.
Dia membalikkan tubuh seraya merungut. Bising! Langsung tak boleh tengok aku senang sikit! Kedua-dua tangannya ditekup di cuping telinga.
Namun ketenangannya diganggu lagi. Bunyi hentakan pada palang besi di selnya membuatkan matanya terbuka luas. Dia mendengus kasar seraya berpaling ke arah pegawai polis itu.
“Apa?” Herdiknya kasar.
“Kamu dengar tak? Saya kata ada orang dah ikat jamin kamu.” Ulang wanita itu dengan wajah selamba.
Matanya terbuka luas. Ikat jamin? Siapa? Ayahkah? Mengenangkan dia akan bebas dari bilik besi itu, dia memaksa dirinya bangkit dan membetulkan pakaian yang membalut tubuhnya sejak dua hari yang lalu.
        Sebaik dia dibawa masuk ke dalam sebuah bilik sederhana luas, matanya dengan cepat menangkap sesusuk tubuh yang sedang membelakanginya. Matanya mula mengecil. Siapa pulak ni?
        “Hah ini dia. Saya harap lain kali, encik nasihatkanlah dia baik-baik agar dia tak terjerumus ke dalam salah laku yang tak sepatutnya. Budak macam dia, kalau tak diberi didikan yang baik dan sempurna, lain kali dia akan jadi liar. Saya bercakap ni atas dasar pengalaman. Dah banyak sangat berhadapan dengan kes-kes macam ni.” Ujar anggota polis di hadapannya.
        “Baik tuan, insya allah kami akan didik dia sebaik-baiknya. Saya jamin perkara seperti ini takkan berulang lagi.” Ujar lelaki itu tanpa menoleh ke arahnya. Wajah Orked berkerut. Seingatnya dia langsung tidak pernah bertemu dengan lelaki itu. Suara lelaki itu juga kedengaran asing.
        Belum sempat dia mahu melempiaskan rasa ingin tahu yang bersarang di fikirannya, lelaki itu tiba-tiba menoleh. Secebis senyuman menyulam di wajah itu membuatkan Orked terpanar. Wajah bersih, tampan dan berkulit cerah itu ternyata benar-benar asing dari pandangannya.
        “Orked Halina?” Lelaki itu menyebut namanya. Lancar dan fasih. Tanpa disedari dia mengangguk. Matanya masih terpegun menatap wajah di hadapannya, Hatinya tertanya-tanya.Siapa lelaki itu? Apakah dia tersilap menjamin orang?
        “Mari kita balik sayang,” Ujar lelaki itu seraya menghampirinya.
Dia terus terkedu dan bingung. Sayang? Panggilan apakah itu? Memang sah, lelaki ini tersalah menjamin orang. Entah kenapa hatinya meneka begitu. Tapi percuma sahaja jika dia menidakkannya. Mahukah dia kembali ke tempat kurungan itu lagi? Of course not!
Bibirnya terus mengorak senyuman ke arah lelaki itu sambil mengangguk. Berpura-pura seolah-olah dia mengenali lelaki itu. Padahal otaknya jadi lemas dan berbelit setiap kali dia cuba mengingati wajah itu.
Sesudah meminta diri dari polis yang membantu urusan ikat jamin, lelaki itu terus meluru keluar tanpa memandangnya. Orked terkedu! Tidak tahu apa sebenarnya yang harus dilakukannya. Mahu tak mahu dia terpaksa berlari keluar mengejar lelaki yang tak dikenali itu.
        “Kau siapa? Kenapa kau ikat jamin aku?” Soal Orked ingin tahu.
        Lelaki itu tidak menjawab. Langkah kakinya dihela ke arah sebuah kereta yang diparkir di luar pagar balai polis. Orked yang merasa berang kerana soalannya tidak dijawab, segera menarik lengan lelaki itu sehingga langkah lelaki itu terhenti mendadak.
        “Kau pekak ke ni? Aku tanya kenapa kau ikat jamin aku?” Soalnya dengan nada menengking. Hatinya mula cuak dengan sikap lelaki itu.
        Lelaki itu berpaling seraya menatapnya. “Kenapa? Salahkah? Orked lebih rela tidur kat sel tu semalam lagi?” Lelaki itu memulangkan pertanyaan. Renungan lelaki itu lembut menikam wajahnya. Dia terkedu!
        “Kau siapa sebenarnya?” Matanya meneliti lelaki itu dari atas ke bawah.
        Lelaki itu membuka pintu kereta seluas-luasnya. “Kalau Orked nak tahu, naik dulu kereta ni. Kita balik rumah.” Ujar lelaki itu tenang.
        Orked tiba-tiba ketawa kecil. Lelaki itu mengerutkan dahinya.
        “Kau nak aku naik kereta tu semata-mata sebab kau dah ikat jamin aku? Lepas tu apa? Kau nak jual aku kat sempadan?”
        Si lelaki terkelip-kelip memerhatikan Orked yang naik radang. Tapi sejurus kemudian, senyuman lelaki itu bermain semula di bibir.
        “Jangan senyum macam tu dengan aku. Aku menyampah. Aku benci cara kau senyum begitu.” Getus Orked keras.
        Lelaki itu langsung tidak mempedulikan larangannya. Sebaliknya senyuman itu berganti gelak ketawa yang semakin menyakitkan hati Orked. Dia menjeling lelaki di hadapannya dengan wajah menyinga.
        “Uniknya perangai Orked ni. Patutlah mama bimbang bila abang offer nak pergi jamin Orked. Rupa-rupanya ini yang dia bimbangkan.” Ujar lelaki itu. Selamba dan bersahaja.
        Orked terpempan. Mama? Biar betul! Takkanlah lelaki ni anak isteri baru ayahnya, Maria yang sedang belajar di luar negara?
        “Nama abang Idlan. Riyaz Idlan. Waktu mama abang kahwin dengan ayah Orked setahun yang lalu, abang tak sempat nak balik. Mungkin Orked tak kenal abang. Tapi abang kenal Orked.” Ujar Idlan lembut. Wajah anak gadis yang kelihatan kaget itu ditenung dengan riak bersahaja.
        Wajah Orked berubah sebaik mendengar kata-kata yang diucapkan oleh lelaki itu. Betul tekaannya! Lelaki itu anak tunggal ibu tirinya. Dengan nafas kasar, Orked mahu berlalu dari situ. Tapi Idlan bagaikan mengerti lenggok langkahnya lalu segera menghalang. Tangannya segera memaut bahu Orked yang mahu beredar.
        “Orked nak ke mana ni? Kita kena balik rumah. Mama dan ayah dah tunggu tu.” Ujarnya cuba memujuk anak gadis itu.
        Gadis itu berpaling. “Mama? Dia bukan mama aku! So boleh tak kau jangan berangan nak jadi abang aku pulak? Kau dan mama kau buat aku menyampah!” Getus Orked kasar.
        Idlan terkedu. Nafasnya terasa pijar dengan kata-kata yang keluar dari mulut gadis itu. “Orked, abang tahu Orked susah nak terima abang dan mama abang di dalam rumah tu. Tapi walau bagaimana pun, kita sekarang sudah jadi satu keluarga.” Pujuk lelaki itu.
        Orked ketawa kecil. Wajah Idlan yang serius ditatap dengan pandangan sinis. “Jangan nak bersyarah dengan aku fasal keluarga. Kau langsung tak tahu apa-apa fasal aku. Dah cukup ayah bersyarah dengan aku dan sekarang kau pulak? Terima kasih ajelah.” Gumam Orked lalu segera melangkah laju meninggalkan Idlan yang terpinga-pinga memerhatikannya.
        Idlan hanya mampu menarik nafas panjang. Kelibat Orked yang sedang melintas jalan diperhatikan dengan perasaan bercelaru. Entah apa patut dia cakap pada ayah dan ibunya jika kedua-duanya bertanya di mana Orked yang sepatutnya dibawa pulang ke rumah hari ini? Mahu tak mahu dia masuk ke dalam perut kereta lalu mula menghidupkan enjin keretanya. Jika dalam seharian ini dia harus menjadi pengintip tak bertauliah, nampaknya dia terpaksa melakukannya!
Reply

Use magic Report

Post time 2-9-2011 09:43 PM | Show all posts
Wah nita cerita baru productif betul awak..
macamana tahun ni dpt jemputan ke?
Reply

Use magic Report

Post time 3-9-2011 01:29 AM | Show all posts
ini hasil perah otak yang tak berapa nak perah??? Wowww.... sangat mabeles hasilnya tuh... sila sambung ler lagi cepart2 tau....
Reply

Use magic Report

Post time 3-9-2011 01:48 PM | Show all posts
sambung2....menarik
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-9-2011 04:05 PM | Show all posts
Post Last Edit by arrnita at 3-9-2011 20:48

mmg ni hasil perah otak sbb tulis time raya dua hari lepas..so apa yg ditulis terus dipublish (kalau byk tulisan salah dan sbginya..faham2 ajelah..haha)..nak lepas tension punya fsl..entah pnjng mana tak taulah..klu habis tu habislah kut
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 3-9-2011 04:05 PM | Show all posts
DIA melangkah masuk setelah memberi tips pada seorang penjaga pintu. Setelah dipastikan tidak ada yang mengekorinya, dia segera melangkah masuk ke dalam sebuah pusat karaoke. Lagaknya seperti mencari-cari sesuatu.
        Sebaik sampai di sebuah bilik, bibirnya lantas tersenyum mulus. Tanpa membuang masa dia terus menolak daun pintu. Terdapat kelibat seseorang di dalamnya yang sedang menyanyi. Gadis yang sedang menyanyi menoleh. Melihat temannya sudah sampai, bibirnya segera mengukir senyuman.
        “Kenapa lambat?” Tanya Orked pada temannya.
        “Alah kelas aku baru habis pukul 4 petang. Lepas kelas aku terus berkejar ke mari. Kau pun sabarlah sikit.” Balas Mira.
        “Ada kau bawa?” Orked sudah malas mahu mendengar celoteh Mira. Dia hanya mahukan benda yang dipesannya dari gadis itu.
        Mira tersenyum lalu menghulurkan sebuah beg sederhana besar ke arah Orked. Gadis itu menyambutnya dengan wajah berseri-seri.
        “Thanks, aku tahu kaulah kawan baik aku dunia dan akhirat.” Gelak Orked bersama senyuman lebar.
        “Kau ni dah nekad ke tak nak balik rumah? Habis pelajaran kau macamana?” Mira bertanya ingin tahu. Terkejut juga dia apabila Orked menelefonnya dan memintanya membawa semua pakaiannya ke pusat karaoke itu. Tanpa berlengah dia segera mengemaskan pakaian-pakaian Orked yang berada di bilik asramanya. Itupun kerana Orked kerap bermalam di bilik asramanya dari pulang ke rumah sendiri.
        “Malaslah aku nak peduli, lantaklah. Diaorang pun bukan suka sangat aku balik rumah. Buat masa ni aku nak tenangkan fikiran aku. Aku nak pergi jauh.” Keluh Orked dengan wajah muram.
        “Gila kau Orked. Pihak dekan dah tahu dah fasal kau kena tahan dekat lokap tu. Kelmarin aku nampak bapak kau datang jumpa dengan dekan fakulti.” Canang Mira yang terkejut mendengar kata-kata temannya.
        Orked terdiam. Kanapa lelaki itu datang? Bukankah selama ini ayahnya sering mengatakan tidak akan mengambil tahu sebarang urusan mengenainya lagi?
        “Habis apa kata dekan?” Tiba-tiba dia teringin mahu tahu. Barangkali dia sudah disingkirkan dari kolej agaknya.
        “Entah manalah aku tahu. Tapi waktu aku tiba kat pejabat dekan tu, ayah kau dan dekan tu nampak okey je. Aku rasa tak ada apa-apa la tu. Tak usah bimbanglah. Lagipun kami semua kena warning aje. Takkan kau tiba-tiba nak kena buang pulak. Lagipun kita bukan ada buat apa-apa pun malam tu. Kita cuma bersuka ria aje.” Ujar Mira cuba mempertahankan diri.
        Orked terdiam lagi. Dia memandang ke arah pakaiannya. Bau arak begitu kuat menusuk ke hidung. Memang malam itu dia ada meneguk sedikit arak. Meskipun tidak sampai memabukkan, tapi cukup untuk memulakan kekecohan malam itu.
Segalanya bermula dari seorang lelaki yang cuba menganggunya ketika itu sengaja menawarkan arak padanya. Puas dia menolak tapi lelaki itu bagaikan tidak tahu malu. Entah macamana ketika dia cuba menepis tangan lelaki itu, gelas arak di tangan lelaki itu terus tercurah ke bajunya. Akibatnya sepanjang malam itu dia berbau arak.
        Tak cukup dengan itu, tiba-tiba teman wanita lelaki itu tiba-tiba datang menyerangnya. Dan terjadilah perang mulut yang akhirnya berakhir dengan pukul memukul. Itulah juga sebab terbesar kenapa dia ditahan selama dua hari di lokap. Sebenarnya itu bukanlah kali pertama dia bermalam di lokap. Beberapa bulan yang sudah dia turut diangkut ke lokap apabila pihak polis menyerbu kelab malam yang dijelajahinya.
        Waktu itu marah ayahnya usah di kata lagi. Seperti hendak terbang rumah itu dibuat ayahnya. Lelaki itu memang panas baran, tidak seperti arwah uminya yang lebih lembut dan tenang. Ah buat apa difikirkan tentang lelaki itu? Selama uminya tiada, belum pernah sekalipun lelaki itu memeluknya atau menenangkan hatinya. Dia dibiarkan terkontang-kanting sendirian tanpa arah!
        “Kau tunggu sini sekejap, aku nak salin pakaian kat toilet.” Arah Orked lalu terburu-buru bangun meninggalkan Mira yang terpisat-pisat memerhatikannya.
        Lima belas minit kemudian dia keluar dari bilik air lalu menuju ke arah bilik yang ditempahnya tadi. Tapi belum sempat tangannya mahu menolak pintu di hadapannya, telinganya tiba-tiba mendengar satu bunyi bising. Mata Orked serta-merta terbeliak. Mira!
        Tanpa berfikir panjang, dia segera meluru masuk. Tapi dia pula yang terkejut sebaik melihat Riyaz Idlan sedang membelasah beberapa orang lelaki muda di dalam bilik karaoke itu. Orked serta-merta terpanar. Dia mengerling ke suatu sudut. Mira terjelepuk di situ sambil menangis.
        “Mira kenapa ni?” Soal Orked cemas.
        “Diaorang semua kacau aku. Nasib baik ada encik tu..” Jelas Mira sambil teresak-esak. Orked berpaling. Kata-kata Mira membuatkan dia membuang pandang ke arah Idlan yang termengah-mengah. Melihat hampir separuh mati lelaki-lelaki itu dikerjakan lelaki itu, Orked segera masuk campur. Lengan lelaki itu ditarik menyebabkan Idlan berpaling.
        “Kau dah gila ke? Nanti mati diaorang tu semua.” Jerit Orked.
        Idlan sekadar diam. Orked mengalihkan pandangan ke arah lelaki-lelaki yang terjelepuk kesakitan dengan wajah bengkak-bengkil.
        Sambil mencapai beg sandangnya, dia segera meluru ke arah Mira lalu menarik tangan gadis itu. Sampai di muka pintu dia menoleh ke arah Idlan. “Kalau kau tak nak masuk lokap macam aku, cepat tinggalkan tempat ni sebelum diaorang report polis!” Getus Orked sebelum menghilangkan diri.
        Idlan terkesima. Mahu tak mahu dia segera mengekori kedua-dua gadis itu meninggalkan tempat itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-9-2011 04:38 PM | Show all posts
KERETA yang dipandu Riyaz Idlan berhenti di hadapan sebuah kolej kediaman. Mira meluru turun dari sebuah kereta. Orked yang menemani gadis itu ikut turun.
        “Kau tak apa-apa kan?” Tanya Orked, simpati dengan apa yang berlaku pada Mira. Wajah gadis itu masih kelihatan pucat. Barangkali masih trauma, desis hati kecil Orked. Mira memang agak penakut, tidak seperti Arida yang agak berani dan lantang mengeluarkan pendapat. Tapi jika dia mahukan ketenangan, hanya Mira yang akan menemaninya. Hinggakan di ajak ke kelab malam pun, Mira akan sanggup mengikutnya. Arida sahaja yang sering membangkang kata-katanya.
        Mira berpaling. Dengan senyuman hambar dia menggeleng.
        “Aku tak apa-apa. Kau tetap nak pergi ke?”
        Orked mengerling sebentar ke arah Idlan yang berada di tempat duduk pemandu sebelum mengalihkan pandangan ke arah Mira. Tanpa menjawab kata-kata Mira, dia segera merangkul tubuh gadis itu.
        “Aku cuma nak tenangkan fikiran. Jangan risaukan aku.” Bisik Orked di cuping telinga gadis itu.
        “Betul ke dia tu abang kau?” Tiba-tiba Mira bertanya seraya mengerling ke arah Idlan yang sabar menanti mereka di dalam perut kereta.
        Orked segera melepaskan rangkulannya. Mata melirik tajam ke arah Mira. “Abang tiri okey.” Ujarnya membetulkan kata-kata Mira.
        “Tapi dia tetap abang kau. Aku tengok dia okey. Handsome pulak tu.” Mira tersenyum-senyum sambil mencuri pandang ke arah Idlan yang tidak berniat keluar dari keretanya.
        Serta-merta satu cubitan singgah di kulit lengan Mira. Gadis itu mengaduh kesakitan.
        “Kau ni kan memang pantang tengok lelaki handsome. Dahlah baru kena kacau sikit dah nak nangis, ini dah start ada hati pulak kat budak tu. Memang tak tahu serik,” rungut Orked.
        Mira sekadar ketawa kecil. “Alah apa salahnya, lagipun mata ni kan hak aku. Suka hati akulah kalau aku suka tengok abang Idlan tu.” Balas Mira.
        “Pulak dah! Sejak bila pulak dia jadi abang kau?” Hujah Orked seraya menggelengkan kepala. “Dahlah tu, malas nak layan kau lagi. Aku minta diri dululah. Malam ni jangan kau mengigau yang bukan-bukan pulak. Macam budak kecil! Kena sergah sikit dah nangis.” Cebik Orked sengaja mahu menyakat Mira yang hanya tersenyum sumbing memandangnya.
        “Okey, jaga diri kau baik-baik. Ke mana aje kau pergi nanti, contact aku tahu. Lagi satu jangan lupa kirim salam kat abang Idlan tu.” Pesan Mira bertalu-talu seraya mengenyitkan matanya. Nakal!
        Tanpa mengendahkan celoteh Mira yang tak pernah habis, Orked segera memasuki perut kereta yang tidak dimatikan enjinnya. Idlan segera menggerakkan keretanya meninggalkan perkarangan kolej kediaman lalu menyusur keluar dari kawasan universiti.
        “Kita balik ya.” Pujuk Idlan tiba-tiba.
        Orked membuang pandang ke luar tingkap. “Tak payah. Jalan terus, pergi Bukit Bintang.” Getus Orked selamba.
        “Orked nak ke mana ni?” keluh Idlan. Sudah mati kutu dia mahu memujuk anak gadis itu untuk pulang bersamanya. Sangkanya dengan kejadian yang baru berlaku di pusat karaoke itu, Orked akan serik. Tapi ternyata dia silap menduga.
        “Suka hati akulah nak ke mana pun. Kalau kau tak nak hantar, berhenti aje kat sini. Aku boleh naik teksi.” Balas Orked seraya mendengus kasar.
        Idlan segera menjeling. “Tengok tu asyik aku-kau..aku-kau aje dari tadi. Orked sepatutnya panggil abang ni abang Idlan. Barulah lembut sikit lidah tu.” Ujar Idlan selamba. Namun nada suaranya tetap lembut dan menyenangkan.
        Orked merenung lelaki di sampingnya dengan wajah menyinga. Sakit hatinya mendengar kata-kata Idlan yang dirasakannya seperti menyindirnya sahaja.
        “Yang kau sibuk-sibuk fasal hal aku ni kenapa? Macamana kau boleh ada kat sana tadi? Kau ekori aku ya?” Wajah Idlan dicerlung tajam.
        Idlan terdiam. Memang dia sengaja mengekori Orked dari balai polis kerana bimbangkan keselamatan gadis itu. Apabila dia nampak Orked memasuki pusat karaoke itu, hatinya mula gundah gulana.
Melihat lelaki itu diam sahaja, Orked hanya mampu menarik nafas panjang. Memang betullah seperti apa yang disangka. Lelaki itu memang sengaja mengekorinya. Ini mesti ayah yang suruh! Getus hati Orked mula tidak senang.
“Kau berhenti kat sini!” Suruh Orked tiba-tiba.
Idlan berpaling. Dahinya berkerut seribu.
“Jangan nak buat gila Orked. Sekarang kan hari dah lewat malam. Kalau abang berhentikan Orked kat sini, entah siapa nanti akan berhentikan kereta dan kutip Orked kat sini. Kalau orang baik tak apalah jugak, tapi kalau kena orang jahat? Makan pun tak habis nanti!” Rungut Idlan dengan suara sengaja ditinggikan.
Orked tergaman. Amboi mamat ni! Sesedap mulut aje mengata aku. Baru balik ke sini dah berlagak macam abang aku!
“Sekarang Orked cakap kat abang, Orked sebenarnya nak ke mana?” Soal Idlan serius.
“Aku tak mahu balik rumah.” Putus Orked tegas.
“Itu abang dah tahu. Kalau Orked betul-betul tak nak balik rumah, bagitahu abang Orked nak ke mana? Abang akan bawa Orked ke mana-mana sahaja yang Orked mahu. Itu lebih baik dari abang biarkan Orked sendirian.” Tukas Idlan nekad.
Mendengar kata-kata Idlan, Orked tersenyum sinis. Betulkah lelaki itu akan sanggup membawanya ke mana sahaja? Ke mana sahaja?
Dia melirik ke arah Idlan yang serius memandu. Diam-diam wajah lelaki itu ditelus sepasang matanya. Wajah itu langsung tidak mirip dengan ibu tirinya Maria. Wanita itu berkulit hitam manis, manakala Idlan berkulit cerah. Bibirnya merah tanda tidak merokok. Rambutnya pendek dan dipotong kemas. Warna rambutnya hitam dan tidak perang seperti warna rambut kawan-kawan lelakinya yang suka mengikut peredaran zaman. Dan matanya pula? Aneh, mata lelaki itu cukup indah dan mendamaikan pada kali pertama dia memandang lelaki itu di kamar polis petang tadi.
“Orked belum bagitahu abang lagi Orked nak ke mana.” Idlan tiba-tiba menoleh. Dia terkesima. Tatapan mata Idlan membuatkan dia gugup sebentar. Damn it! Lain kali nak toleh, tolong inform dulu boleh tak! Keluh Orked seraya melarikan anak matanya.
“Mana-mana saja.” Balasnya berpura-pura acuh tak acuh.
“Mana-mana tu ke mana?” Idlan mengembalikan pertanyaan.
“Zouk.” Jawab Orked sepatah.
Mata Idlan terbeliak. Zouk? Biar betul anak dara ni!
“Itu kelab malam kan? Orked nak buat apa ke sana?”
Ketawa Orked meletus. Idlan terpisat-pisat memandangnya. “Hmm..not bad untuk seseorang yang baru balik ke Malaysia. Kau tahu jugak fasal Zouk. Aku kagum.” Ujar Orked sinis.
“Orked belum jawab pertanyaan abang. Orked nak buat apa kat tempat macam tu?” Idlan mengulang pertanyaan.
“Nak buat apa lagi? Aku nak mabuk-mabuk la. Menari puas-puas. Kalau kau nak join pun takde hal. Aku belanja, macamana?” Provok Orked, sengaja mahu menaikkan darah lelaki itu.
Idlan menarik nafas panjang. Dia termenung sendiri mendengar kata-kata anak gadis itu. Namun dia halakan juga keretanya ke arah Bukit Bintang. Zouk! Nama kelab malam itu agak gah bagi anak-anak muda kota.
“Okey, abang akan ikut Orked masuk Zouk malam ni. Orked enjoylah puas-puas. Apa sahaja Orked nak buat, Orked buatlah. Tapi esok, Orked kena ikut cakap abang pulak. Setuju?” Matanya dikalihkan ke arah anak gadis itu. Orked terdiam mendengar kata-katanya kali ini.
“Kalau tak, sekarang jugak abang bawa Orked balik ke rumah.” Ugut Idlan.
Orked mendengus kasar. Terasa berang dengan kata-kata Idlan. “Suka hati kaulah. Sekarang bawa aku pergi Zouk.” Getusnya.
Idlan tersenyum kecil. Dia sudah nekad untuk menurut apa sahaja kehendak Orked malam ini. Kerana esok, Orked akan menjadi miliknya sepenuhnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-9-2011 05:07 PM | Show all posts
MARIA mundar-mandir di hujung katil sedari tadi. Kelibat isterinya singgah di penjuru mata Hamdan. Dia menutup buku seraya meletakkan di tepi katil. Wajah isterinya dipandang agak lama.
        “Tak usahlah bimbang Yah, kejap lagi baliklah budak-budak tu.” Pujuk Hamdan, cuba meleraikan keresahan isterinya. Bosan juga dia asyik terganggu oleh gerak-geri Maria yang serba tidak kena sepanjang petang tadi.
        Maria berpaling. Dahinya berkerut menatap suaminya. “Saya risaukan Idlan.” Bisik Maria.
        “Kejap lagi baliklah tu. Itulah sebab saya larang Idlan tu pergi ikat jamin si Orked, tapi awak tak nak dengar cakap saya. Sekarang awak juga yang susah hati sampai saya pun tak senang duduk.” Keluh Hamdan.
        Maria merenung wajah suaminya dengan tatapan mata gusar.
        “Abang, Orked tu anak awak, perempuan pulak tu. Kenapa awak berdegil sangat tak nak ikat jamin budak tu? Awak tak kasihan ke dia duduk dalam lokap macam tu?” Maria benar-benar tidak bersetuju dengan tindakan suaminya. Meskipun Orked tidak menganggapnya sebagai ibu, tapi dia masih ada hati perut.
        “Budak tu cuma menyusahkan saya aje. Tak habis-habis buat masalah. Sama je perangai macam mak dia.” Rungut Hamdan.
        Maria terdiam. Renungannya singgah lama pada wajah Hamdan yang merah padam. Rahang lelaki itu bergerak-gerak, menandakan kemarahannya sedang menular dari dalam.
        “Apa salah Halida sebenarnya pada awak? Kenapa awak selalu buruk-burukkan orang yang dah meninggal?” Soal Maria ingin tahu.
        Hamdan terdiam. Pandangannya terlontar keruh ke arah isterinya. Dengan wajah berang, dia beredar dari bilik itu tanpa menjelaskan pertanyaan Maria. Bunyi pintu dihempas kuat membuatkan Maria tersentak. Dia menggelengkan kepalanya. Lelaki itu tidak pernah berubah sejak mereka mula-mula kenal dahulu sehinggalah sekarang. Kadangkala dia keliru, apakah keputusannya menerima lamaran Hamdan benar-benar satu keputusan yang tepat dalam hidupnya setelah dia kehilangan Anuar?
        Melihat Hamdan melayan Orked dengan hambar dalam tempoh setahun ini membuatkan dia ragu-ragu. Apakah Hamdan mampu menerima Idlan seperti anaknya sendiri? Tapi sejak Idlan baru balik dari luar negara beberapa hari yang lalu, lelaki itu kelihatan mesra pula dengan Idlan. Layanannya pada Idlan tak ubah seperti anak sendiri, berbeza sekali dengan layanan lelaki itu pada Orked yang sentiasa dimarah dan dijerkah. Kadangkala perangai Hamdan itu membuatkan dia diterpa pelbagai sangkaan buruk. Apakah Orked bukan anak kandung Hamdan dan Halida?
        “Tuan memang macam tu puan. Garang tak bertempat dengan Cik Orked. Kadangkala Mak Piah pun takut kalau tengok angin tuan tu.” Cerita pembantu rumahnya suatu ketika yang lalu membuatkan dia sering tertanya-tanya. Ada apa sebenarnya tak kena antara hubungan suaminya dengan anak perempuannya sendiri.
        “Arwah Halida tu dulu macamana orangnya?”
        “Baik sangat orangnya puan. Lemah lembut, isteri yang baik dan ibu yang penyayang. Tapi maaflah Mak Piah cakap macam ni. Dulu tuan tak hargai langsung kebaikan hati arwah. Sampaikan masa arwah sakit, tuan langsung tak menjenguk arwah. Bayangkan arwah meninggal kat hospital, tuan tak balik pun jenguk mayat arwah. Sebaliknya tuan suruh pihak hospital hantar mayat tu ke kampung.” Cerita Mak Piah benar-benar mengejutkannya.
        “Sejak Puan Halida meninggal, Orked membesar sendirian. Tuan langsung tak nak beri perhatian pada Orked atau sekurang-kurangnya tanyakan makan minumnya. Tuan nampak benci betul pada Orked.”
        Maria menarik nafas. Entah kenapa, cerita Mak Piah terhimbau-himbau dalam ingatannya. Dia sebenarnya kasihankan Orked. Ketika dia mula-mula sampai ke rumah itu setahun yang lalu, berbagai usaha dilakukannya untuk mengambil hati anak gadis itu. Tapi entah kenapa Orked benar-benar tidak menyukainya sehinggakan dia sudah kehabisan ikhtiar. Sudahnya dia terpaksa membiarkan Orked sendirian di rumah itu seperti tidak wujud.
Reply

Use magic Report

Post time 3-9-2011 08:22 PM | Show all posts
Reply 19# arrnita


    salam nita Selamat hari raya.... harap nya citer perah otak segera ni berlanjutan smpai endingnya ya...
jaza letak under novel  umum ya... kalu ada perubahan sila pm... bila free jaza masuk lagi..


Hai semua warga WR....(buat pembaca setia disini)... Selamat Hari Raya tuk korang semua.. ampun dan maaf tuk semua salah dan silap jaza disini... hari ni baru brkesempatan jenguk sini... itupun kejap je ni...
byk rumah yg tak berhias...   kekhilafan dari momod ni....
maybe mek blum abis beraya kot.. jaza ni pun dpt 'terlepas ' masuk sini jap...
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-12-2024 12:26 PM GMT+8 , Processed in 0.081825 second(s), 33 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list