Edited by FOTHER-MUCKER at 7-2-2026 08:53 PM
Polis tidak benarkan perhimpunan GARAH di Sogo malam ini Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis tidak membenarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadual berlangsung di ibu kota malam ini, diteruskan atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH pada 3 Februari lalu mengenai rancangan mengadakan perhimpunan aman pada jam 8 malam di lokasi itu.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkaitan termasuk pemilik premis di sekitar kawasan perhimpunan yang dicadangkan.
"Ketua Polis Daerah Dang Wangi turut mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur perhimpunan GARAH pada 5 Februari bagi meneliti perkara berkenaan.
"Semalam, pihak polis menerima surat bantahan daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harissons serta beberapa premis lain di sekitar lokasi perhimpunan berhubung kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan yang berada di kawasan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, menerusi maklumat bebas pihak polis turut memperoleh maklumat yang menunjukkan kemungkinan berlaku gangguan ketenteraman serta ancaman keselamatan kepada masyarakat di sekitar lokasi perhimpunan.
Katanya, lokasi itu dijangka dipenuhi orang ramai yang hadir untuk membeli-belah sempena sambutan beberapa perayaan, sekali gus meningkatkan risiko terhadap keselamatan awam.
"Selepas membuat pertimbangan menyeluruh berdasarkan risikan keselamatan yang dijalankan, pihak polis memutuskan untuk tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan berkenaan.
"Perhimpunan ini dijangka boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang awam, justeru pihak polis mengambil keputusan untuk tidak membenarkan," katanya.
Dalam pada itu, Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadirkan diri ke perhimpunan berkenaan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau mengganggu keselamatan awam.
"Pihak polis akan memastikan keselamatan serta kesejahteraan awam sentiasa diutamakan," katanya.
|