
Tun Wan Junaidi (empat kanan) ditemani isteri tercinta memotong kek ulang tahun kelahiran beliau yang ke-80 di atas kapal Royal Kuching Cruise di Tebingan Kuching, malam tadi. Turut kelihatan anak-anak, cucu dan menantu beliau. - Gambar Penerangan
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi telah menghadiri Majlis Makan Malam bersama Kepimpinan Sarawak sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 beliau, malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Penerangan Sarawak, majlis penuh bermakna itu turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan kepimpinan tertinggi negeri lainnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Agama Astana Ustaz Syed Mohd Rusydi Wan Yusup sebelum diteruskan dengan jamuan makan malam bersama para tetamu kehormat dan jemputan khas di atas kapal Royal Kuching Cruise di Tebingan Kuching.
Selesai jamuan, Tun Wan Junaidi bersama isteri menyempurnakan upacara memotong kek sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-80 diikuti dengan upacara pemotongan kek sambutan ulang tahun ke-9 Abang Johari sebagai Premier Sarawak.
Majlis turut meraikan hari lahir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-69.
Para tetamu turut dipersembahkan dengan tayangan video khas ‘Dirgahayu Tuan Yang Terutama Tun’ bersempena tahun kedua pelantikan Tun Pehin Sri Wan Junaidi sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, selain video istimewa nukilan Toh Puan Fauziah khas buat suami tercinta.
Majlis menjadi lebih menyentuh perasaan apabila Toh Puan Fauziah turut menyampaikan sebuah sajak khas bertajuk ‘Di Hadapan Semua, Aku Memilih Namamu’ yang ditujukan kepada Tun Wan Junaidi.
Acara diakhiri dengan sesi rakaman gambar kenangan Tun Junaidi bersama para tetamu kenamaan dan jemputan.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan menteri serta timbalan menteri Kabinet Sarawak, dif-dif kenamaan dan jemputan lain.
Sumber : Utusan Borneo
|